16 August 2013

Berganding Bahu Banteras Syiah




Laporan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan terdapat kira-kira 250,000 pengikut Syiah yang bergerak aktif selepas mengenal pasti 10 kumpulan itu di negara ini, cukup mengejut dan memeranjatkan khalayak.


Malah ramai yang melahirkan kerisauan dan kegusaran dengan pendedahan ini. Hal ini kerana jumlah 250,000 bukanlah suatu angka yang sedikit, yang sekali gus menunjukkan bahawa pengikutnya semakin hari semakin bertambah walaupun fatwa pengharaman Syiah sudah sangat jelas.

Malah jumlah 10 kumpulan yang bergerak aktif berbanding hanya beberapa kumpulan minoriti sahaja 10 tahun yang lalu juga mencetuskan persoalan bagaimana perkara seumpama ini boleh dibiarkan terus berlaku.

Apakah elemen kelemahan dalam aspek penguatkuasaan sekali lagi dilihat berlaku dalam hal seumpama ini? Hal ini penting untuk direnungi bersama kerana Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996 lagi telah mewartakan bahawa Syiah diharamkan kerana penularan fahaman itu boleh mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam negara ini.

Ini menunjukkan peraturan dan undang-undangnya cukup jelas namun peliknya bagaimana jumlah pengikut serta kumpulan yang aktif terus meningkat secara mendadak. Malah dalam hal ini penulis percaya bilangan pengikutnya mungkin jauh lebih banyak kerana jumlah yang dilaporkan hanyalah yang dapat dikesan oleh KDN. Bagaimana dengan kumpulan yang tidak dapat dikesan atau bergerak secara rahsia dan sembunyi?

Lebih memeranjatkan apabila Penolong Setiausaha KDN, Zamihan Mat Zin mendedahkan bahawa tiga tahun yang lalu ada kumpulan yang pernah hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon pengiktirafan minoriti Syiah di Malaysia. Ternyata para pengikut fahaman ini semakin berani dan sanggup melakukan apa saja untuk melebarkan sayap mereka di seluruh pelusuk negara.

Justeru semua pihak yang terlibat perlu berganding bahu membanteras penyebaran dan penularan fahaman ini dengan segera. Ia perlu dilakukan dari peringkat akar umbi lagi supaya tidak terus merebak. Hal ini penting kerana kita khuatir andai kita leka dan lalai ia akan merebak menjadi virus yang sukar dikawal lagi.

Jumlah tangkapan yang pernah dibuat sebelum ini iaitu pada 1996 dan 2012 jelas menunjukkan kita masih belum mampu mengekang ajaran fahaman ini dari terus menular. Buktinya Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) baru-baru ini menyerbu dan menahan dua individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Dalam hal ini perlu diingat bahawa para pengikutnya bukan calang- calang orang di mana ada dalam kalangan mereka terdiri daripada individu yang berlatar belakang pendidikan yang tinggi serta golongan profesional.

Modus operandi penyebaran juga dikatakan semakin canggih dengan adanya laman sosial yang membolehkan proses penyebaran dan pengrekrutan ahli baharu dapat dilakukan dengan mudah dan pantas.

Oleh yang demikian proses memerangi ajaran ini juga perlu diubah mengikut peredaran zaman. Maka besarlah harapan kita agar aspek penguatkuasaan terus diperkasakan agar isu ni dapat dibendung, ditangani dan diperangi secara berhemah dan menyeluruh.

Cukuplah perpecahan yang sedang berlaku di negara kita dalam kalangan umat Islam atas sebab perbezaan ideologi politik. Kita tidak mahu perpecahan bertambah parah akibat perbezaan mazhab dan anutan agama pula.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...