21 August 2013

Cabaran UMNO Salur Maklumat




Oleh : Zulkifli Jalil

PERGOLAKAN politik terbaharu di Mesir yang mengorbankan ribuan nyawa selain Syria yang telah pun bermandi darah, menjadi iktibar betapa kestabilan dan keharmonian negara sejak sekian lama ini perlu dihargai.

Di satu sudut, kita tidak dapat menolak akan kaitan peristiwa berdarah ini dengan arus mendesak globalisasi yang terus bergerak cepat dan kian kukuh. Sama ada kesan globalisasi itu negatif atau positif, berhubung kait dengan sempadan teknologi maklumat yang sukar dikekang lagi, kita perlu terima hakikatnya.

Bagi UMNO, sesetengah pihak mungkin melihat perubahan tarikh pemilihan kepimpinan tertingginya dan Majlis Tertinggi (MT) dari 5 Oktober ke 19 Oktober ini selain pelanjutan tarikh mesyuarat cawangannya dari 31 Ogos ke 15 September, suatu perkara biasa.

Namun dari satu segi ia ada kaitan dengan tuntutan globalisasi itu sendiri. Antaranya, perubahan tarikh ini untuk disesuaikan dengan kunjungan Presiden China dan Presiden Amerika Syarikat pada awal Oktober, yang mana persediaan untuk menerima kedatangan tetamu dua negara kuasa ekonomi global ini perlu dibuat. Pada masa sama, pembentangan Bajet 2014 juga dijadualkan Oktober.

Bagi 3.3 juta ahli UMNO, pemilihan parti yang dibuat dalam pasca selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini mempunyai makna yang cukup besar untuk survival parti. Ini perlu direnung dan diambil iktibar oleh semua peringkat parti - cawangan, bahagian, MT dan kepimpinan tertinggi - bahawa dengan asakan globalisasi, menyebabkan sama ada UMNO survive atau tidak, bergantung kepada budaya dan sifat berhati-hati ahli dan pemimpinnya terhadap sesuatu yang baru diperkenalkan.

Dalam hal ini, ahli-ahli UMNO jangan sesekali membenarkan keuntungan jangka pendek 'menutup mata kita' kepada kerugian jangka panjang. Tiada apa yang kekal di dunia ini termasuk UMNO tetapi riwayat parti tidak perlu dipendekkan kerana sikap tidak berhati-hati, tidak cekap dan gila dengan keuntungan yang cepat.

Perjuangan UMNO masih belum selesai. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh UMNO. Orang Melayu dan bumiputera lain belum cukup kuat untuk dibiarkan mereka mempertahankan diri tanpa pimpinan dan lindungan UMNO. Krisis berdarah di Mesir dan Syria serta kegawatan ekonomi di beberapa negara Eropah berkait rapat dengan politik dan masa depan negara terbabit, yang menuntut semua pihak memahami dengan baik keadaan sebenar.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh cawangan-cawangan dan bahagian UMNO yang sedang dan akan bersidang, sekali gus menentukan kepimpinan pelbagai peringkat yang baharu. Jika diambil kira pergerakan sebilangan bahagian setelah tiga bulan PRU-13 berlangsung, dikesan masih ada bahagian parti yang tidak peka dan seolah-olah tidak mahu berubah. Atau enggan menongkah arus globalisasi.


Misalnya, ada satu bahagian di utara tanah air kalah 0-4 (tiga kerusi DUN dan satu Parlimen) dalam PRU 5 Mei lalu tetapi sampai 'la ni' apa pun tak buat? 'Tidur' sahaja. Mesyuarat bahagiannya pun baru sekali diadakan, itu pun kira-kira empat minggu lepas. Tetapi dalam laman sosial facebook (fb), wah! bukan main sekali lagak ketua bahagiannya. Dimuatkan secara terang-terangan aktivitinya. Sekejap percutian keluarga ke Hong Kong, sekejap lagi 'rombongan' ke seberang sana. Lepas kalah teruk pilihan raya, ditunjukkan dalam fb, asyik sahaja makan angin.

Dalam bulan puasa baru-baru ini pun, langsung tidak kelihatan program-program anjuran bahagian itu. Peruntukan untuk cawangan, yang sepatutnya ada, tidak turun. Ahli parti dalam bahagian yang dianggarkan mencapai 14,500 orang pun terus tertunggu-tunggulah apa bentuk post mortem kekalahan teruk daripada ketua bahagian.

Cuma, UMNO bahagian itu bernasib baik kerana masih ada sentuhan-sentuhan daripada sayap-sayap parti, iaitu Pemuda, Wanita dan Puterinya. Pergerakan Pemuda dan Puterinya terus menjalankan tanggungjawab mendekati rakyat. Baru-baru ini, Pemudanya mengambil peranan menyalurkan bantuan kepada kira-kira 800 penduduk miskin dengan anggaran peruntukan sekitar RM40,000. Wanita pula tidak kurang hebatnya dengan program tadarusnya dan bantuan hari raya.

Kepimpinan UMNO bahagian pula buat apa? Jika dalam keadaan macam ini, wajarkah ahli parti nak pertahankan jawatan ketua bahagian pada pemilihan 19 Oktober ini? Paling terbaharu, khabar yang hinggap di telinga penulis ialah soal penyaluran peruntukan untuk penduduk setempat. Selain tak mampu menguruskan peruntukan dengan baik, didakwa pula ada ketirisan dalam soal penyalurannya. Bukan itu sahaja. Tak tahu pula macam mana nak dapatkan sumber dari luar - tak ada inisiatif - jadi, bagaimana mahu bantu ahli parti dan rakyat di kawasan itu?

Sebab itu dalam keadaan macam ini, bukan suatu yang luar biasa apabila UMNO bahagian itu kalah 0-4 kepada pembangkang. Sebelum ini pada 2008, ada lah juga satu kerusi. Tidak pula pulang dengan tangan kosong, 1-3. Menurut orang UMNO yang berani meluahkan isi hatinya kepada penulis, ini bukan pertama kali peruntukan tidak turun ke bawah. Dengan 'hati kering' yang dibawa ketua bahagian terbabit, insiden itu berulang setiap tahun.

Apa pun, seluruh 191 bahagian dan ribuan cawangan UMNO perlu mengambil iktibar bahawa dalam perkara tertentu kita perlu berubah dan menjadi global untuk capaian terkini. Dalam teknologi komunikasi maklumat misalnya, ia banyak membantu kepada perkembangan serta kestabilan parti, ekonomi dan tidak semestinya membunuh identiti parti dan negara.

Dalam usaha menjadi warga global ini, pemimpin bahagian dan cawangan UMNO perlu berbangga terhadap sejarah, perbezaan budaya dan tradisi, justeru globalisasi bukan pemusnahnya.  Sebaliknya identiti parti mampu kekal sehingga 100 ke 200 tahun sekali pun. Seluruh pimpinan bahagian perlu menyalurkan maklumat kepada masyarakat setempat agar penduduk mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai parti dan kepemimpinan negara.


Mereka boleh mengagihkan maklumat berkenaan di mana-mana sahaja. Tidak kiralah di kedai kopi atau tempat-tempat lain. Yang penting maklumat itu sampai kepada kumpulan sasaran. Dan mereka juga boleh melangkau lebih jauh dengan penggunaan kaedah yang sama. Cumanya, isi serta bahan kandungan itu disesuaikan dan diberi nilai tambah dengan keadaan dan senario setempat serta segala impak globalisasi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...