18 August 2013

Kerajaan Kelantan Seperti ‘Kerajaan Punch Card’





Seperti yang telah diduga, kenyataan terbaru penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri Kelantan mendapat kritikan yang berterusan dari pimpinan, penyokong Pas yang jumud dan taasub. Ada yang cuba memberikan komen dengan secara ‘berlapik’ tetapi ada juga yang terus menyerang beliau dengan kata-kata hinaan dan cemuhan.


Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ dan ‘pemerintahan Islam’ yang ingin ditegakkan oleh Pas seperti yang sering dihebahkan di pentas-pentas ceramah mereka. Pada satu ketika, mereka berperwatakan seperti seorang ahli agama persis ulama, namun apabila dikritik mereka mula melompat tidak keruan.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang terkenal dengan panggilan Prof Agus itu sebelum ini telah mengkritik kerajaan Kelantan yang disifatkan telah ‘kering dan miskin idea’ dalam merancang agenda pembangunan negeri.

Menurut beliau, setelah 100 hari rakyat memberikan kembali mandat untuk mentadbir tiada sebarang perubahan ketara yang dapat dilihat dalam sistem politik di negeri yang ingin dikenali sebagai ‘Serambi Makkah’ itu.

Tidak cukup dengan itu beliau turut melabelkan kerajaan Pas Kelantan sebagai ‘Kerajaan Punch Card’ yang hanya masuk pejabat pada jam 8.00 pagi dan pulang pada jam 5.00 petang.

“Persoalannya, jika sekadar meneruskan dasar lama, mengapa tidak meneruskan ‘projek Lebuhraya Rakyat’? Mengapa diam sahaja dengan ‘projek stadium’? Teruskanlah sahaja dua projek lama tersebut kerana ia membawa manfaat untuk rakyat” soal beliau.

Tambah menarik, Agus turut mengatakan, satu-satunya pembaharuan yang dapat dilihat, hanya berhubung kebenaran yang diberikan untuk kaum wanita negeri itu bagi menyertai ‘musabaqah A;-Quran.

“Maka, apa yang barunya dengan dasar kerajaan sekarang? Jika betullah pemerhatian ini, saya kira ini amat malang bagi rakyat Kelantan yang mengharapkan kerajaan negeri lebih baik dari yang dahulunya” tegas beliau lagi.

Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan teguran yang dilemparkan itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan pantas membidas kenyataan tersebut sambil mengatakan andaian tersebut sebagai semberono dan rambang.

“Dalam 100 hari nak bina bangunan pun takkan boleh siap.

“Sekarang ini apabila dia kata begitu saya persoalkan balik apa yang dia mahu kerajaan negeri buat dalam masa 100 hari, dia tidak bolehlah tuduh sembarangan,” ujar Nik Amar.

Kenyataan balas yang berbaur kemarahan itu, jelas membuktikan pimpinan kerajaan Pas Kelantan tidak boleh menerima teguran. Ini mungkin disebabkan kerana, disebabkan gelaran ustaz, tok guru dan ‘ulama’ yang diberikan oleh pengikut mereka telah menyebabkan mereka merasakan ‘perfect dalam setiap segi’.

Itu belum lagi dikira komen-komen yang dikirimkan oleh penyokong dan ahli-ahli Pas yang jumud dan taasub melalui lama-laman media sosial seperti Facebook dan Twitter. Selain tidak dapat menerima pandangan tersebut, mereka juga cuba mengalihkan persoalan dengan menyalahkan orang lain.

Kononnya ia berpunca dari kerajaan pusat, royalti minyak dan sebagainya. Namun dalam banyak-banyak komen yang dibaca, ada beberapa isu yang menarik untuk dikongsi kan bersama. Ada di kalangan mereka turut menyalahkan pimpinan Pas negeri yang dikatakan bertindak zalim dan terlalu sibuk dengan agenda politik.

Sebagai contoh, mereka mengatakan kegagalan semua projek-projek yang dinyatakan tadi adalah berpunca dari sikap dendam pemimpin Pas terhadap bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Ini kerana menurut mereka kesemua projek tersebut adalah merupakan idea dan inisiatif Husam ketika memegang jawatan. Oleh yang demikian, sudah tentu musuh politik beliau tidak berminat untuk meneruskan pembangunan tersebut.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa pandangan yang meminta agar kerajaan negeri Pas Kelantan untuk mengambil kembali Husam agar berkhidmat semula bagi meneruskan kembali kecemerlangan kepimpinan kerajaan Kelantan.

Walaupun semua kenyataan tersebut boleh dipertikai, namun di masa yang sama ia turut menguatkan lagi andaian yang mengatakan politik dalaman Pas Kelantan pada ketika ini sedang bergolak. Nampaknya budaya ‘cah keting’ turut menghantui Pas sehingga menjejaskan pentadbiran dan pembangunan negeri tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...