Suka atau tidak, kita
kena mengakui bahawa perkembangan Syiah di negara ini semakin membarah dan
memerlukan satu tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa. Sejak Revolusi Iran 1979,
pengaruhnya menjalar ke seluruh dunia. Apa yang kita lihat di Lebanon, Iraq,
Syria, Bahrain dan banyak tempat ia membawa pertempuran yang dahsyat dan
menyebabkan negara-negara Islam menghadapi pertikaian yang panjang.
Isu Syiah di negara ini bukanlah bukan satu
perkembangan baru kerana menurut data yang diperoleh, fahaman ini telah aktif sejak
lebih 10 tahun dahulu, namun kebelakangan ini ia dilihat semakin meningkat.
Mungkin dari satu
segi ada yang merasakan, Syiah bukanlah satu masalah yang meruncing dan
memerlukan satu tindakan yang drastik. Namun tanpa di sedari bahaya fahaman ini
adalah merupakan satu ancaman yang boleh menjahanamkan sesebuah negara.
Pertembungan dua fahaman bukan sahaja boleh menimbulkan
kekeliruan tetapi ia juga mampu mencetuskan bahaya dalam kalangan ummah.
Situasi ini tidak boleh dipandang remeh, kerana semua pihak bertanggungjawab
khususnya pihak berkuasa perlu memainkan peranan yang aktif dalam mengekang
fahaman ini dari menular.
Secara dasarnya, Syi’ah bukanlah merupakan
satu mazhab baru sebagaimana yang didakwa, ia secara keseluruhannya adalah merupakan
ajaran baru yang jauh daripada Islam dari sudut aqidah dan ibadah. Mereka mengaburi
mata umat Islam dengan mengatakan mereka sebahagian daripada Islam melalui dua
pendekatan utama iaitu “Taqiyyah”
yang bermaksud berpura-pura dengan fahaman Syi’ah, dan yang kedua seruan cinta kepada keluarga Rasulullah
(Ahli Bait).
Sejarah telah membuktikan perpecahan yang berlaku
dalam kalangan umat Islam di zaman permulaan Islam adalah disebabkan fitnah
yang dicetuskan oleh pengikut fahaman berkenaan. Terlalu banyak catatan
mengenainya dalam sejarah Islam antaranya gerakan Ibnu Saba' (seorang Yahudi) yang mencetuskan huru-hara di zaman
pemerintahan Saidina Uthman termasuk perang saudara, Peperangan Jamal, Siffin
dan sebagainya.
Pada tahun 1175 Hijrah, Najaf Ali Khan pemimpin Syiah
yang menguasai Delhi masa itu pernah menghukum Syah Waliyullah dengan
merenggangkan pergelangan tangannya kerana mengarang kitab 'Izalatu al-Khafa'
bagi mengatasi kekeliruan yang ditimbulkan oleh Syiah tentang Khilafah para
Khulafa Ar-Rasyidin.
Melalui kajian ilmu, didapati Syiah merupakan golongan
yang sesat lagi menyesatkan. Mereka tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah
Wal Jamaah. Pegangan mereka juga dilihat bercanggah dengan al-Quran dan hadis
Nabi SAW.
Terdapat tiga kategori golongan Syiah iaitu: Syiah
mughaliyah (pelampau), Syiah Rafidah (Imamiyah) dan Syiah Mu'tadilah
(Zaidiyah).
Daripada tiga golongan Syiah ini, Syiah Rafidah atau
Imamiyah merupakan golongan yang paling dominan dan berkembang dalam dunia pada
hari ini. Mereka merupakan majoriti Syiah yang mengatakan imamnya Ali adalah
dengan nas, Ali telah menaskan imamah anaknya Hassan manakala Hassan telah
menaskan imamah saudaranya Hussein.
Begitulah seterusnya imamah itu berpindah dengan nas
kepada anak-anak Hussein sehinggalah kepada Muhammad bin Hassan al-Askari yang
pada pendapat mereka dia ghaib semasa kecil dan akan muncul sebagai Imam Mahdi
pada akhir zaman dengan membawa kebenaran dan keadilan.
Mereka dikenali dengan Syiah Imamiyah kerana pegangan
mereka kepada 12 imam yang dianggap sebagai maksum (bebas daripada
segala dosa dan kesalahan). Mereka ini
juga dinamakan golongan Rafidah kerana mereka menolak imamah Abu Bakar, Umar
al-Khattab dan Uthman Affan dengan hujah bahawa Nabi Muhammad SAW mewasiatkan
kepada Ali sebagai khalifah selepasnya.
Namun disebabkan kejahilan masyarakat tentang fahaman ini, ia telah digunakan sepenuhnya oleh gerakan Syiah untuk menyeludup masuk ke dalam masyarakat Malaysia. Dan yang paling membimbangkan ia dilihat semakin menular di kalangan orang muda dan mahasiswa terutama IPT.
Kewujudan fahaman Syi’ah di IPT boleh
dibahagikan kepada dua. Golongan pertama dikenali sebagai Ahli Gerakan Syi’ah.
Golongan ini bergerak dan berusaha keras untuk merekrut mahasiswa-mahasiswi di
IPT. Ia dilakukan melalui usaha propaganda menyeleweng mereka melalui edaran
risalah, laman sosial dan menyelinap masuk ke gerakan mahasiswa massa. Khalid
Ismath sebagai contoh adalah merupakan ciri-ciri golongan pertama yang menyesatkan
ini.
Golongan kedua adalah golongan yang
terpengaruh dengan fahaman Syi’ah berpunca dari kejahilan dan kurang
pengetahuan berkenaan kesesatan ini. Golongan ini mudah terpengaruh kerana
digembar-gemburkan dengan fitnah kononnya Syiah hanyalah salah satu mazhab.
Semua pihak perlu jelas bahawa Syi’ah adalah
ajaran sesat dan bukanlah sebahagian daripada Islam. Syi’ah menerusi ajaran dan
kitab-kitabnya mengajar mencela sahabat Rasulullah SAW, menggalakkan
perkahwinan “Mut’ah” ala-ala pelacuran,
menyambut hari Karbala dengan mencederakan diri sendiri, dan adakah ini semua
sebahagian daripada Islam?
Menurut sumber juga fahaman ini telah dikesan
menular masuk di kebanyakan IPT melalui pensyarah, mahasiswa dan para peniaga
warganegara Iran yang kemudiannya menjalankan usaha dakyah mereka. Usaha ini
dilihat memberikan inspirasi kepada warga tempatan yang berfahaman Syi’ah untuk
turut terlibat dalam menyebarkan fahaman ini. Sebagai contoh dakyah mereka melalui
risalah produk Air Mineral ECPI yang ditulis di dalam bahasa Melayu telah
dikesan pengedarannya secara meluas di kebanyakan IPT.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya
kementerian yang bertanggungjawab perlu memikirkan kaedah yang terbaik bagi
mengelakkan perkara ini dari terus merebak. Cukuplah dengan segelintir anak-anak
muda yang telah semakin terpengaruh dengan budaya dan ideologi songsang
pembangkang. Kerana tanpa sebarang pengawalan yang berkesan, adalah tidak
mustahil suatu hari nanti, negara ini ditadbir oleh mereka-mereka yang telah
rosak akidahnya ekoran fahaman ini.
No comments:
Post a Comment