Showing posts with label Ibrahim Ali. Show all posts
Showing posts with label Ibrahim Ali. Show all posts

07 September 2013

Ibrahim Ali Wajar Pecat Ketua Wira Perkasa @IrwanFahmiid @WiraPerkasa




Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mengulangi kenyataannya agar Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi, meminta maaf kepada Dato’ Seri Najib Razak kerana mendesak beliau agar meletak jawatan. Desakan Irwan Fahmi dibuat melalui blognya yang kemudiannya tersebar luas di laman-laman sosial.

Alasan Irwan ialah Dato’ Seri Najib telah gagal menjaga kepentingan bumiputera sepanjang pemerintahannya. Selaku Perdana Mneteri, Najib juga dituduh terlalu menjaga kepentingan minoriti dan terdesak meraih undi mereka.

Kenyataan Irwan menimbulkan persoalan di kalangan rakyat berkenaan apa yang sedang berlaku dalam kerajaan. Apatah lagi dengan desas-desus yang tersebar berkenaan pertemuan Perkasa dengan Dato’ Seri Najib yang dikatakan ‘panas’ di mana Perkasa dikatakan mempersoalkan perkara yang sama, iaitu meminta Dato’ Seri Najib berundur.

04 September 2013

Majlis Penggerak Penyatuan Kaum Di Malaysia




Oleh : Nizam Yatim

Walaupun baharu ditubuhkan pada 26 Julai lalu, Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) telah menggerakkan satu agenda besar untuk menyatukan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini. Mirac dengan moto 'Bersatu, Bersetia, Berwawasan' dianggotai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama) dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam).

Selaras dengan hakikat bahawa ia bukanlah satu badan rasmi yang mengikat ahlinya, maka setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Mirac mempunyai kebebasan untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing. NGO terbabit diharapkan dapat menjadikan Mirac sebagai platform dialog untuk menjelaskan sebab-sebab mereka memperjuangkan sesuatu isu dan dalam masa sama mereka diharap dapat bersikap terbuka untuk mendengar pandangan pertubuhan yang mewakili kaum lain.

30 August 2013

Kenyataan Ketua Wira PERKASA Bersifat Peribadi – Ibrahim Ali




Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menafikan dengan sekeras-kerasnya sebarang kaitan PERKASA dengan kenyataan oleh Ketua Wiranya yang mahukan Perdana Menteri meletakkan jawatan. Malah Ibrahim menyifatkan kenyataan itu lebih kepada bersifat peribadi.

“Saya nafi dengan keras,” katanya.

29 August 2013

Kenyataan Wira Perkasa, Adalah Pandangan Peribadi




Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris yang membuat kenyataan dalam blognya yang bertajuk ‘Sudah Cukup Segalanya DiGadai, Haji Najib Wajar Letak Jawatan’, nampaknya keseorangan.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar yang terkejut dengan kenyataan Irwan Fahmi menjelaskan bahawa Perkasa tidak pernah mengambil pendirian sedemikian. Walaupun Perkasa agak lantang mengkritik Dato’ Seri Najib dalam mencaturkan PRU-13, namun pertubuhan itu tidak pernah mendesak beliau meletakkan jawatan.

17 January 2010

PESANAN DARI TUN DR M DAN PRIBUMI PERKASA UNTUK RAKYAT MALAYSIA!



1. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati rakyat supaya bertenang berikutan insiden membaling bom api di empat gereja sekitar Kuala Lumpur dan tidak bertindak melakukan perbuatan di luar kawalan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, lebih mudah untuk mengawal golongan sofistikated, berpendidikan dan bersikap terbuka dalam perkara yang membabitkan sentimen keagamaan tetapi bukan mereka yang “dikatakan” kurang berpendidikan dan tidak rasional.

“Satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini adalah untuk bertenang, tetapi bagaimana anda boleh beri jaminan bahawa mereka yang kurang berpendidikan akan turut akur dan bertenang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Keluarga Proton 2010 yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 Proton di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, lebih baik untuk membincangkan isu sensitif seperti isu keagamaan secara tertutup dan tidak terlalu brsikap ghairah dengan mengadakan perhimpunan awam dan demonstrasi.

“Di negara ini, isu sensitif tertentu perlu diselesaikan secara tertutup tetapi apabila ada peristiwa umum dengan mahkamah membuat keputusan, maka sesetengah pihak mungkin berasa gembira dan ada juga yang tidak gembira… saya berasa tidak gembira,” katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember yang membenarkan Gereja Roman Katolik di Malaysia menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan mingguannya, Herald.

Mengenai gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang meminta penerbitan media supaya tidak memainkan isu perkauman dalam penerbitan mereka, Dr Mahathir berkata pengamal media perlu lebih matang untuk tidak memainkan isu seperti itu.

Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia supaya tidak dipaksa bersetuju dengan pandangan terbuka berhubung isu sensitif tertentu yang diterima dan diamalkan oleh beberapa negara maju.

“Kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai agama, pelbagai ekonomi, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa… kita tidak seharusnya dipaksa bersetuju dengan apa yang dikatakan peradaban dan pandangan terbuka negara maju.

“Kita telah pun muncul sebagai sebuah negara maju dalam acuan kita sendiri dan ini tidak bermakna bersikap terlalu bebas sehingga mula berjalan ke sana sini tanpa berpakaian dan sebagainya. Itu adalah cara mereka (negara maju) yang menganggapkan diri mereka maju dan bukannya kita,” katanya.


2.Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak menolak kemungkinan serangan terhadap tiga gereja beberapa hari yang lepas adalah perbuatan pihak tertentu untuk mensabotaj umat Islam dan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kejadian itu seakan-akan dirancang sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Gereja Katholik selepas solat Jumaat minggu lepas.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak cepat membuat kesimpulan menuduh ia perbuatan orang Islam kerana terdapat pelbagai kemungkinan dalam kejadian tersebut.

“Perkasa tidak menolak kemungkinan ia adalah kaedah ‘psikologi balikan’ untuk memburukkan orang Islam dan pada masa sama meruntuhkan ekonomi negara.

“Cuba kita lihat kebetulan yang ada, sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi, ada pula pihak yang bertindak membakar gereja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Minggu lepas, Gereja Metro Tarbenacle, Taman Melawati terbakar manakala Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Chapel, Damansara dibaling bom petrol namun ia tidak meletup.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada pihak berkuasa membuat siasatan dan menyokong penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika perlu.

“Jika siasatan mendapati orang Islam terlibat dalam kejadian itu, ia hanya melibatkan individu yang tidak mewakili keseluruhan umat Islam yang cintakan kedamaian,” ujarnya.

Beliau berkata, Perkasa mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah yang tidak boleh dimaafkan itu walau apa pun alasannya.

Katanya, ia merupakan perbuatan orang yang pengecut dan tidak bertanggungjawab.

“Memang Perkasa konsisten membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, namun perjuangan kami melalui cara yang aman, bukannya kekerasan,” katanya.

Sumber asal tidak diketahui tapi dipetik dari Malaysia Instinct

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...