Oleh : Nizam Yatim
Walaupun baharu ditubuhkan pada 26 Julai lalu, Majlis NGO Antara Kaum
Malaysia (Mirac) telah menggerakkan satu agenda besar untuk menyatukan rakyat
yang berbilang kaum dan agama di negara ini. Mirac dengan moto 'Bersatu, Bersetia,
Berwawasan' dianggotai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan
Cina 1Malaysia (Percisama) dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru
Malaysia (Perinnbam).
Selaras dengan hakikat bahawa ia bukanlah satu badan rasmi yang mengikat
ahlinya, maka setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Mirac
mempunyai kebebasan untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing. NGO terbabit
diharapkan dapat menjadikan Mirac sebagai platform dialog untuk menjelaskan
sebab-sebab mereka memperjuangkan sesuatu isu dan dalam masa sama mereka
diharap dapat bersikap terbuka untuk mendengar pandangan pertubuhan yang
mewakili kaum lain.