Oleh : Nizam Yatim
Walaupun baharu ditubuhkan pada 26 Julai lalu, Majlis NGO Antara Kaum
Malaysia (Mirac) telah menggerakkan satu agenda besar untuk menyatukan rakyat
yang berbilang kaum dan agama di negara ini. Mirac dengan moto 'Bersatu, Bersetia,
Berwawasan' dianggotai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan
Cina 1Malaysia (Percisama) dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru
Malaysia (Perinnbam).
Selaras dengan hakikat bahawa ia bukanlah satu badan rasmi yang mengikat
ahlinya, maka setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Mirac
mempunyai kebebasan untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing. NGO terbabit
diharapkan dapat menjadikan Mirac sebagai platform dialog untuk menjelaskan
sebab-sebab mereka memperjuangkan sesuatu isu dan dalam masa sama mereka
diharap dapat bersikap terbuka untuk mendengar pandangan pertubuhan yang
mewakili kaum lain.
Dengan adanya dialog terbabit, semua pihak akan dapat mencari satu titik
persefahaman yang boleh menyatukan setiap kaum. Bagaimanapun, ada pihak yang
tidak senang dengan usaha murni ini apabila bertindak mensabotaj Mirac dengan
membangkitkan isu kononnya wujud ketidaksefahaman antara NGO yang menganggotai
majlis itu.
Mereka mendakwa, Mirac tidak mampu menjadi platform untuk penyatuan dan ia
terbukti apabila beberapa ahli Perinnbam membantah secara terbuka kenyataan
Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin yang menyatakan sokongan untuk
membela Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd. Nor.
Pihak sama sebelum ini membuat tuduhan tidak berasas dengan mendakwa
Perkasa adalah satu badan pelampau untuk mempertahankan hak Melayu yang
didokong oleh UMNO semata-mata bagi meraih keuntungan politik. Presiden
Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang diminta mengulas perkara tersebut berkata,
semua pihak harus memahami bahawa penubuhan Mirac yang merupakan inisiatif
pertubuhan itu hanyalah bertujuan mewujudkan satu platform dialog dan NGO yang
menganggotai Mirac bebas untuk mempunyai pandangan yang berbeza.
"Misalnya Perinnbam telah memperjuangkan supaya mesin pengeluaran wang
automatik (ATM) turut menyediakan paparan skrin dalam bahasa Tamil. Perkasa
pula tidak bersetuju dengan permintaan Perinnbam ini kerana kita berpendapat
semua kaum perlu menguasai bahasa Melayu dan hanya bahasa kebangsaan yang
digunakan sebagai bahasa perantaraan untuk perpaduan kaum.
"Perbezaan pendapat ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menyatakan
wujud perpecahan dan dengan adanya platform Mirac, Perinnbam telah memberi
penjelasan kepada kita bahawa ia bukan untuk menidakkan bahasa kebangsaan
sebaliknya dibuat kerana masih ada ramai kaum India tempatan yang hanya tahu
berbahasa Tamil," katanya.
Menurut Ibrahim, beliau tidak berasa terganggu dengan sabotaj berkenaan
kerana baginya pada masa panjang, semua pihak akan sedar kebaikan penubuhan
Mirac.
"Orang luar ulas macam-macam, ini saya persetankan. Kita buat baik pun
orang tulis buruk dan katakan kita rasis, jadi saya tidak terganggu dengan
pandangan-pandangan negatif ini.
"Sebab mereka mempertikaikan inisiatif Perkasa ini, pertama, kerana
politik dan kedua, kerana cemburu dengan kekuatan dan komitmen yang ditunjukkan
oleh pemimpin dan ahli-ahli kita yang sentiasa konsisten mempertahankan
Perlembagaan Negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara isu-isu yang telah disepakati oleh
NGO yang menganggotai Mirac adalah supaya konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada
31 Ogos setiap tahun diubah. Menurutnya, wang berjuta-juta ringgit yang
digunakan untuk menganjurkan acara perbarisan seharusnya disalurkan kepada
setiap sekolah dan universiti bagi membolehkan pihak terbabit menganjurkan
acara khusus untuk memperingati kemerdekaan.
"Sekolah dan universiti boleh mengadakan acara menaikkan Jalur
Gemilang dan menyanyi lagu Negaraku diikuti dengan ceramah tentang sejarah
bagaimana kita mencapai kemerdekaan.
"Bagi saya sambutan secara terus di peringkat akar umbi ini adalah
lebih berkesan bagi menyedarkan generasi muda yang rata-rata tidak tahu pun
bagaimana kita mencapai kemerdekaan.
"Sekarang ini, perbarisan hari kemerdekaan sudah menjadi produk
pelancongan, lebih nak tarik pelancong dan bukannya nak bagi rakyat faham dan
menjiwai semangat kemerdekaan," jelasnya.
Katanya, wang terbabit juga boleh disalurkan kepada NGO bagi membolehkan
mereka menganjurkan rumah terbuka kemerdekaan di kawasan masing-masing dengan
matlamat memupuk perpaduan.
Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan masih mahu mengadakan acara
perbarisan, ia sepatutnya hanya diadakan sekali sahaja pada Hari Malaysia iaitu
pada setiap 16 September.
Presiden Perinnbam, U. Thamotharan yang turut mengulas isu sama berkata,
sikap ramai orang sekarang yang tidak prihatin untuk mengibar Jalur Gemilang
sempena bulan kemerdekaan membuktikan kaedah sambutan yang dibuat sebelum ini
tidak berkesan.
"Sekarang orang apabila ditanya apakah kepentingan 31 Ogos mereka
hanya tahu ini hari cuti umum sahaja dan jika sikap ini tidak diubah pada masa
yang akan datang saya rasa Hari Merdeka akan menjadi hari mainan biasa
sahaja," ujarnya.
Presiden Percisama, Andy Choy Chee Wai berkata, saranan supaya diubah
konsep itu berpunca kerana rata-rata orang ramai tidak menghargai kebebasan
yang dikecapi mereka sekarang yang merupakan hasil daripada kemerdekaan negara.
"Kalau kita tak merdeka, sudah pasti kita tidak akan bebas seperti
sekarang dan mengecapi segala manfaat daripada pertumbuhan pesat ekonomi
negara," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Silaturahim dan Kepentingan Nasional Perkasa,
Laksamana Madya (B), Datuk Mat Rabi Abu Samah yang terlibat menyelaras
penubuhan Mirac berkata, walaupun NGO terbabit tidak sependapat dalam semua
perkara, mereka tetap mempunyai pendirian yang sama membabitkan enam perkara
yang menjadi piagam majlis itu.
Katanya, ia melibatkan langkah mempertahankan Perlembagaan Negara,
menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati hak agama
masing-masing dan toleransi antara kaum melalui nilai-nilai murni.
"Tiga lagi perkara selebihnya adalah menghormati hak dan kepentingan
di antara kaum berasaskan Perlembagaan Negara, menuju ke arah satu semangat
serta aspirasi demi keselamatan dan ketahanan negara serta memastikan negara
bebas rasuah, salah guna kuasa dan nepotisme," ujarnya.
No comments:
Post a Comment