04 September 2013

Isu Muflis : Aweera Dakwa Ada Pihak Cuba Sabotaj




Penyanyi yang sedang meningkat naik bersama kumpulan Mojo, iaitu Aweera mula membuka mulut untuk bercerita tentang isu dirinya diisytihar muflis baru-baru ini setelah mengambil pendekatan berdiam diri sebelum ini.

Menurutnya, kejadian bermula sewaktu dia masih bekerja di tempat lamanya iaitu di sebuah universiti awam sebelah utara tanah air kira-kira tiga tahun yang lalu setelah membuat pinjaman untuk urusan peribadi bersama sebuah bank.


"Sebenarnya ia bukanlah suatu perkara rumit yang tidak boleh diselesaikan. Cuma apabila ia diketahui pihak media dan tersebar secara meluas, barulah isu itu kelihatan besar.

"Buat waktu ini tidak banyak yang boleh saya perkatakan berhubung perkara tersebut, cuma apa yang pasti tindakan ini didalangi oleh pihak tertentu yang bertujuan untuk sabotaj saya.

"Dalam tempoh lapan bulan saya bertugas selaku pemuzik untuk sebuah unit kebudayaan di sana, pastinya ada pihak yang kurang senang dengan diri saya. Jadi mungkin setelah mereka melihat perkembangan saya kini ada yang sengaja mahu memburuk-burukkan nama saya," katanya yang ditemui sewaktu majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios, baru-baru ini.

Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Andai Ku Bercinta Lagi ini, kejadian tersebut sedikit sebanyak memberikan tekanan buat dirinya apatah lagi dia merupakan seorang penyanyi yang masih hijau dalam industri ini.

"Tidak dinafikan, isu muflis ini memberi tekanan buat diri saya tetapi perkara tersebut sudahpun berlalu dan saya akui ia adalah suatu kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu.

"Tidak ada gunanya buat saya untuk berfikir negatif tentang perkara ini selain daripada menjadikan ia pengajaran buat diri saya dan juga masyarakat khususnya generasi muda," katanya yang membuat pinjaman tersebut sewaktu berusia 19 tahun.

Aweera yang kini berusia 22 tahun juga berharap masyarakat khususnya peminat memberikannya ruang dan peluang untuk menyelesaikan perkara tersebut agar dia dapat membersihkan namanya dengan kadar segera.

"Saya sedar perkara ini sudah diketahui umum khususnya peminat-peminat saya, tapi saya berharap agar masyarakat memberi saya ruang untuk segera menyelesaikan perkara itu.

"Pastinya sesudah ia selesai nanti, akan saya umumkan perkhabaran gembira kepada semua," jelasnya lanjut.


Popular dengan satu lagu
Lagu Andai Ku Bercinta Lagi boleh diibaratkan sebagai lagu berhantu buat kumpulan Mojo dan Aweera sendiri mengakui aura yang dimiliki lagu tersebut apabila dalam tempoh setahun sahaja, namanya dan Mojo dikenali ramai.

Jelas Aweera, setiap kali mereka dijemput untuk sebarang majlis, pasti akan ada permintaan oleh pihak penganjur untuk mereka menyanyikan lagu tersebut kerana sebenarnya hanya itu sahaja single mereka yang ada dipasaran sebelum ini.

"Ramai yang tidak tahu sebenarnya dalam tempoh setahun, kami meraih populariti hanya dengan satu lagu sahaja iaitu Andai Ku Bercinta Lagi.

"Ini memang strategi yang kami lakukan iaitu untuk memastikan setiap single yang kami lancarkan mendapat ruang untuk diterima masyarakat khsususnya peminat sebelum melancarkan single-single berikut selepas itu," katanya lanjut.

Setelah setahun lebih mempromosikan single pertama mereka, kini kumpulan Mojo keluar dengan dua single serentak, satu lagu berbahasa Melayu iaitu Roman Cinta dan satu lagu dalam bahasa Inggeris, Dark Clouds yang turut dimuatkan dalam filem Vikingdom.

Tambah Aweera lagi, memang terdapat penyanyi yang aktif mengeluarkan single demi single dalam tempoh masa yang dekat tetapi strategi sedemikian bukanlah pendekatan yang akan diambil oleh kumpulan ini.

"Bagi saya, kualiti sesebuah lagu itu adalah jauh lebih penting daripada segi kuantiti, jadi apabila kita sudah berjaya mempunyai sebuah lagu yang berkualiti, berikan sedikit masa untuk lagu tersebut benar-benar diterima peminat.

"Saya juga percaya dengan pendekatan yang betul, nama kumpulan Mojo akan terus kekal dalam industri ini disamping mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan rock generasi muda," jelasnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...