04 September 2013

Rakyat Mesir Keliru Mencari Hala Tuju Demokrasi




Oleh : Herman Hamid

Mohamed Aboutrika merupakan bintang bola sepak Mesir. Jika di Perancis, populariti penyerang kelab Al-Ahly berusia 34 tahun itu boleh dianggap setaraf dengan Zinedine Zidane. Disayangi peminat dan dikagumi lawan. Namun, beliau kini dikaitkan dengan sokongan kepada bekas Presiden, Mohammed Mursi dan pergerakan Ikhwanul Muslimin yang didakwa pemerintah sementara sebagai pertubuhan yang mempunyai kaitan keganasan.

Berikutan itu, media banyak melaporkan kecaman peminat terhadap bekas Pemain Terbaik Afrika sebanyak tiga kali itu walaupun sumbangan beliau kepada pasukan kebangsaan negaranya cukup besar. Ternyata kerana tindakannya itu, sayang peminat kepada Aboutrika kini berbelah bahagi dengan wujud kelompok yang membencinya. Begitulah besar jurang perpaduan rakyat Mesir hanya kerana fahaman politik yang kini berlarutan lebih dua bulan.


Sebab itu, ketika ditanya kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Mesir, Shaiful Anuar Mohammad mengenai pengajaran paling utama kepada rakyat Malaysia daripada konflik yang berlaku ini, beliau tanpa mengambil masa yang lama menegaskan, peliharalah perpaduan.

“Sepatutnya rakyat Mesir tidak mempunyai masalah untuk bersatu berbanding kita kerana lebih 90 peratus daripada 85 juta penduduknya beragama Islam serta berfahaman Sunni manakala yang bukan Islam pun, mereka masih berketurunan Arab, iaitu budaya dan bahasa yang sama.

‘‘Nyata persamaan itu masih bukan jaminan untuk mereka bersatu. Kerana satu faktor iaitu politik mereka berpecah. Jadi bila berada di tempat konflik seperti ini, perpaduan yang wujud di negara kita walaupun dibezakan, agama, kaum, budaya dan bahasa dirasai suatu nikmat besar kerana dari situ kita dapat wujudkan kestabilan," katanya.

Beliau yang mula berkhidmat di Mesir sejak 2009 berpeluang melihat sendiri sejarah bagaimana dua revolusi berlaku dalam tempoh dua tahun yang menjatuhkan Presiden sebuah negara menerusi demonstrasi jalanan oleh rakyatnya.

Dalam tempoh itu, Shaiful melihat dua keadaan di mana pemimpin dan rakyat negara ini daripada kelompok mana pun sama ada sekular, liberal, sosialis atau pro-Islam majoritinya dapat bersatu pada awal 2011 untuk menjatuhkan bekas Presiden, Hosni Mubarak.

Bagaimanapun untuk satu perkara yang lebih mustahak, katanya, pemimpin dan rakyatnya gagal untuk bersatu bagi menentukan hala tuju negara apabila masing-masing mempunyai pendirian berbeza.

‘‘Mereka nak jatuhkan rejim dahulu sebab mahukan demokrasi, perkongsian kuasa, kebebasan bersuara dan sebagainya. Untuk itu, rakyat hampir kesemua bersatu untuk menjatuhkan kepimpinan terdahulu.

‘‘Tetapi selepas berjaya ke mana arah mereka? Saya lihat setiap kumpulan mahu ikut kehendak masing- masing. Jika diambil dari konteks umat Islam sahaja, ada kelompok sosialis, kapitalis, liberal, sekular di samping sederhana seperti ulama al-Azhar dengan masing- masing ada kekuatan.

‘‘Jadi mereka ini hanya bersetuju dalam satu perkara tetapi selepas itu jadi tanda tanya. Lagi pula jenis demokrasi yang dimahukan rakyat Mesir juga tidak jelas," ujarnya.

Justeru, seperti yang sering ditegaskan pemimpin negara, menukar kerajaan tidak semestinya membawa kebaikan sebaliknya yang lebih penting mempunyai kerajaan yang komited melakukan perubahan yang diinginkan rakyat. Tambahan pula, pihak yang menawarkan untuk dipilih menerajui negara terdiri daripada pakatan parti politik yang mempunyai perbezaan ideologi yang ketara.

Dan Mesir memperlihatkan kepada umum bagaimana menukar kerajaan boleh membawa implikasi berpanjangan kepada rakyat dengan perubahan yang diinginkan tidak pun menjadi realiti. Menyentuh aspek ini, Shaiful memaklumkan sejak revolusi 2011, ekonomi Mesir jatuh sama ada dari segi perdagangan, pelancongan mahu pun pertukaran wang asing.

Katanya, akhirnya subsidi sesetengah barang keperluan dikurangkan dan rakyat makin perit kehidupan mereka dan ini membawa pula kepada peningkatan jenayah.

‘‘Lebih 40 peratus rakyat Mesir di bawah paras kemiskinan. Kita tak ada. Itu belum menyentuh kadar inflasi yang tak kurang 10 peratus setahun. Peluang pekerjaan pula makin terhad. Walaupun banyak universiti dan graduan tetapi peluang pekerjaan tiada. Malah permohonan nak bekerja ke negara kita makin ramai setiap tahun," jelasnya.

Berhubung keadaan ekonomi semasa kerajaan Mubarak dahulu Shaiful berkata, walaupun dianggap rejim, namun ekonomi Mesir berkembang kira-kira lima peratus setahun berbanding selepas revolusi yang tidak sampai pun dua peratus.

‘‘Kalau pertukaran wang asing satu indikator, pada 2009, satu ASD bersamaan lima pound Mesir (LE) tetapi sekarang satu ASD bersamaan tujuh LE. Jadi kelompok bawahan semakin lebar manakala menengah serta atas makin mengecil. Cumanya, Mubarak walaupun mempunyai visi tetapi kekayaan dikatakan tidak sampai kepada rakyat bawahan," ujarnya.

Maka sebab itu, selepas setahun Mursi dipilih menerusi pilihan raya yang sah, sebahagian rakyat Mesir tidak sabar dengan keadaan ini akhirnya sekali lagi menggunakan cara jalanan bagi membuat perubahan.

Dari konteks demokrasi, tentunya pilihan jalanan tidak dapat diterima. Seperti dikatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam artikel beliau beberapa hari lalu, walaupun berjuta berdemonstrasi, jumlah mereka tetap kurang daripada jumlah pengundi yang memilih kerajaan.

Bagi negarawan itu, demokrasi sendiri bukanlah sempurna, perbandingan antara negara demokrasi terbesar, India dengan China yang tidak demokratik, boleh memperlihatkan perkara ini.

Bagaimanapun pada masa sama, demokrasi masih sistem yang lebih baik kerana membolehkan pertukaran pemerintah tanpa perang saudara atau demonstrasi ganas. Lebih penting, demokrasi juga memerlukan pihak yang kalah sanggup menerima keputusan pilihan raya.

Namun, negara yang baru mengenali demokrasi sebenar seperti Mesir dalam tempoh dua tahun ini, rakyatnya ramai masih tidak jelas.

Sebab itu, bukan menghairankan kerana bagi penentang Mursi yang ditemui Utusan Malaysia di ibu negara Mesir ini, mereka melihat cara menjatuhkan Presiden melalui jalanan juga melambangkan suara rakyat kerana percaya dilakukan demi kebaikan negara.

Nyata mereka sendiri tidak mempunyai haluan sebenar dalam soal demokrasi. Dan itu belum mengambil kira tradisi budaya mereka yang gemar berhujah atau bertekak berbanding masyarakat Timur yang mudah bertolak ansur.

Sebab itu ada yang sinis, apakah seorang Presiden yang dipilih melalui demokrasi selepas era Mursi mampu kekal atau akan menerima nasib yang sama dalam sebuah negara demokrasi muda seperti Mesir.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...