29 January 2008

PAS – DAP – PKR SATU PAKATAN KARUT



Keadilan enggan duduk semeja dengan Pas bagi membincangkan pengagihan kerusi pilihanraya umum akan datang untuk berdepan 1 lawan 1 dengan Barisan Nasional.

Demikian ditegaskan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri (JPN), Haji Ishak Surin dalam satu kenyataannya kepada media. Keputusan ini dipertegaskan setelah Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah enggan berunding tentang isu ini.

Menurut beliau walaupun telah dimaklumkan beberapa kali, PKR masih enggan hadir bagi membincangkan perkara ini.

Terdahulu PKR dengan bangga dan megahnya telah memberikan kenyataan media betapa pakatan yang cuba dijalin dengan DAP telah mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Anwar Ibrahim selaku pemimpin tertinggi PKR telah berulang kali menegaskan betapa pakatan yang dijalin dengan parti-parti pembangkang (Pas dan DAP) bakal mengakibatkan kerajaan sedia ada runtuh semasa pilihanraya umum yang bakal diadakan kelak.

Menurut beliau kerjasama dan permuafakatan yang terjalin mampu memacu Malaysia ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang. Anwar juga semasa ‘road tour’ yang diadakan di seluruh negeri tidak beberapa lama dahulu juga menegaskan betapa tidak akan wujud sebarang masalah andaikata rakyat sanggup untuk memberikan peluang kepada pembangkang mentadbir negara ini.

Sebelum membicarakan mengenai isu ini secara panjang lebar, ada baiknya kita menyorot kembali rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang terjalinnya ‘pakatan karut’ ini.

Pas dan PKR
Sabelum ini, Hadi Awang pernah ‘merajuk’ untuk menyertai sebarang program yang dihadiri oleh Anwar lantaran kebiadapan Anwar dan pengikutnya kerana hanya menonjolkan dirinya dan mengetepikan Hadi Awang.

PKR @ Anwar juga tidak pernah pada bila-bila masa menyatakan sokongannya secara terbuka terhadap ideologi yang diperjuangan oleh Pas selama ini.

Ahli-ahli hanya terbuka kepada mereka yang beragama Islam sahaja, dan bagi yang bukan beragama Islam pernyertaan mereka di dalam Pas hanya berstatus kelab. Atau dalam bahasa mudah yang mereka hanya bertaraf pemerhati, sedangkan Keadilan terbuka kepada semua kaum dan ideologi yang diperjuangan jauh menyimpang dari Pas.

Pas dan DAP
DAP secara terang-terangan telah mengatakan tidak bersetuju dengan gagasan yang cuba di bawa oleh PAS dan ideologi yang diperjuangan oleh kedua-kedua parti langsung tidak mempunyai titik bertemu.

Pas pernah mengatakan untuk mewujudkan negara Islam andaikata diberi peluang memerintah negara dan Karpal Singh menjawab ‘step over my dead body’ andaikata Pas masih ingin meneruskan cita-citanya.

Salah seorang pemimpin DAP ketika ditanya mengenai hubungan dengan Pas mengatakan ‘no hope’ yang membayangkan adalah sesuatu yang mustahil untuk terus bersekongkol dengan Pas bagi menumbangkan kerajaan.

Semasa pilihanraya yang lalu DAP juga pernah keluar dari pakatan pembangkang yang dibentuk bersama Pas bagi mengelakkan kehilangan undi dari penyokong mereka.

DAP dan PKR
Berlakunya perebutan kerusi untuk negeri Perak dan masing-masing melahirkan minat untuk bertanding di kerusi yang sama.

''Sepatutnya DAP menentang BN secara satu lawan satu tetapi jika PKR berkeras untuk bertanding di Ipoh Timur juga, maka kemungkinan ia akan menjadi pertandingan tiga penjuru di antara DAP, PKR dan BN," katanya.

Kesimpulan
Apa yang boleh kita simpulkan di sini ialah betapa berantakannya pakatan Barisan Alternatif yang cuba dibentuk pembangkang ini. Masing-masing cuba bermain tarik tali dan bersifat talam dua muka. Pilihanraya yang bakal ditandingi masih lagi belum dimenangi, tetapi pakatan ini dilihat semakin kabur dengan hala tuju yang ingin dibawa.

Yang menjadi kemusyikalan ialah, ketika memberikan ceramah dan road-tour ke kampung-kampung mereka dengan mudah cuba menipu orang kampung apabila mengatakan pakatan yang dibentuk ini mampu menjadikan Malaysia lebih baik dari sekarang.

Masing-masing cuba menipu pengikut masing-masing dan dimasa yang sama cuba memperbodohkan rakyat dengan cerita-cerita yang tidak berasas dalam menagih sokongan. Menurut beberapa sumber, mereka sendiri sebenarnya tahu betapa pakatan yang dibentuk itu bersifat mustahil untuk duduk di dalam saf kepimpinan yang sama.

Namun kerana tamakkan kuasa, nasib dan masa depan rakyat terpaksa diperjudikan bagi membolehkan cita-cita politik mereka terlaksana.

Bagaimanakah pakatan yang tidak mempunyai kesefahaman ini, mampu memimpin negara ini kearah yang lebih baik dari sekarang. Sedangkan isu dalaman gagal ditanggani dengan baik, masakan mereka mampu untuk mentadbir negara yang mempunyai seribu masalah yang jauh lebih besar berbanding konflik dalam.

Untuk mentadbir sesebuah negara, kerajaan yang memerintah seharusnya mempunyai majoriti yang kuat bagi membolehkan dasar-dasar negara dapat digubal dan dibentuk. Tanpa suara majoriti yang kuat, sesebuah kerajaan akan sering bertukar dan kestabilan negara akan terganggu.

Lihat sahaja negara luar seperti India, Indonesia, Thailand dan sebagainya yang mengamalkan kerajaan campuran yang tidak mempunyai kesepakatan yang kuat. Keadaan negara akan sentiasa berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak beberapa lama ini seharusnya digunakan dengan sebaik yang mungkin untuk menolak pembangkang dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara terus terpelihara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...