Undi Pas Masuk Syurga |
ADALAH sesuatu yang melucukan apabila Pas cuba menyeret UMNO dalam isu pahala apabila mengundi sesuatu parti. Ia jelas apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk
Mohd.Amar Nik Abdullah mencabar UMNO membuat kenyataan mengundi parti
itu atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan dikira
sebagai amal soleh dan mendapat pahala sama seperti yang dinyatakan Pas
kepada penyokongnya.
Sebagai orang kepercayaan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat dan disebut-sebut sebagai Menteri Besar Kelantan, Mohd.Amar
mungkin ingin menunjukkan kewibawaan beliau membela 'bosnya' apabila
menyatakan sesiapa yang menganggap kenyataan Nik Abdul Aziz 'Undi Pas
dapat pahala' sebagai ajaran songsang adalah kerana UMNO kurang dalam
ilmu agama.
Baguslah, sebagai seorang bertaraf ulama, Mohd.Amar begitu mudah
menuduh pihak lain kurang agama semata-mata hanya membuat kenyataan yang
tidak menyebelahi Pas. Tetapi tidak apalah itu hujah beliau, maklumlah sebagai individu yang
dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan, Mohd.Amar juga ingin
menampilkan diri sebagai seorang yang mampu berlawan hujah dengan UMNO.
Namun begitu satu perkara yang diperingatkan ialah sejauh manakah Pas
begitu yakin bahawa mengundi parti itu mendapat pahala. Sebagai hamba
Allah kita tidak berhak untuk begitu yakin bahawa sesuatu kebaikan yang
kita lakukan itu mendapat pahala, biarlah soal mendapat pahala atau
tidak itu urusan Allah. Kita hanya berdoa agar segala perbuataan baik
kita dicatatkan sebagai satu ibadat.
Kesian pada rakyat luar yang x dapat undi PAS, kerana bakal hilang tiket ke SYURGA |
Tetapi Pas nampaknya awal-awal lagi sudah berani menyatakan siapa
yang mengundi parti itu mendapat pahala. Persoalannya, apakah ia
bermaksud orang yang tidak mengundi Pas tidak mendapat pahala? Bagaimana
pula kalau kita mengundi sebuah parti yang kita tahu tidak berupaya
melakukan apa-apa jika diberi tanggungjawab atau dalam kata mudahnya
memberikan amanah kepada orang yang tidak selayaknya.
Sejarah politik negara sudah membuktikan sejauh manakah kemampuan Pas
untuk melaksanakan pentadbiran apabila diberi amanah. Contohnya di
Kelantan, tidak apalah kalau Pas hendak mendakwa ramai yang mendapat
pahala kerana terus setia bersama parti itu tetapi persoalannya apakah
perkembangan Islam di negeri itu lebih baik berbanding apa yang
dilakukan oleh UMNO di peringkat pusat.
Tidak gugurkah pahala-pahala mereka yang mengundi Pas di Kelantan
apabila kesudahannya mereka dilihat memilih pihak yang tidak berupaya
mentadbir, bukankah Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita agar
menyerahkan amanah kepada orang yang selayaknya.
Oleh itu tidak payahlah Pas hendak begitu bangga dengan
menguar-uarkan mengundi parti itu mendapat pahala hanya kerana
semata-mata parti tersebut masih bermimpi mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin-pemimpin Pas yang terus bercakap dosa dan pahala ini mungkin
masih dibuai mimpi indah bahawa mereka adalah gerakan Islam tetapi
hakikatnya mereka tidak ubah seperti 'pak turut' sahaja dalam pakatan
pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
DAP.
Pas sudah lama menguburkan impian menubuhkan negara Islamnya dan kini
menumpu pula kepada negara berkebajikan yang belum tentu akan dapat
diterima sepenuhnya oleh rakan-rakan sekutunya.
Berbanding dengan Pas, UMNO jauh lebih baik dalam soal memperjuang
dan memartabatkan Islam tetapi UMNO tidak pernah menguar-uarkan kepada
umat Islam kalau undi parti itu mendapat pahala.
Sebaliknya apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah terus
melakukan tindakan bagi memartabatkan Islam di negara ini dan menggesa
umat Islam supaya sentiasa berusaha mencari kebahagiaan di dunia dan
akhirat.
Tetapi sesetengah ulama-ulama Pas hebat kerana berupaya menentukan bahawa kalau undi Pas dapat pahala.
Hakikatnya, dalam senario politik sekarang 'undi Pas dapat pahala'
adalah modal terakhir Pas untuk menarik perhatian orang Melayu untuk
mengundi parti itu. Bagi mereka yang taksub menyokong Pas, maka mereka
akan percaya semua hujah itu tetapi bagi mereka yang mahu berfikir
panjang 'tawaran' Pas itu hanyalah bermotif politik semata-mata.
Ia kerana ramai semakin memahami sejauh manakah keupayaan Pas untuk menegakkan Islam di negara ini.
Pas bukannya tidak diberi peluang untuk membuktikan kewibawaan
mereka, rakyat sudah pun memberi peluang terutamanya di Kelantan dan
terbaru di Kedah. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di negeri-negeri
berkenaan, apakah perkembangan Islam benar-benar berada di puncak atau
sekadar menjadi slogan dan retorik politik semata-mata. Justeru Pas
sepatutnya bermuhasabah dan tidak lagi mengula-gulakan isu pahala dalam
meraih sokongan politik. Adalah lebih baik jika Pas menumpukan perhatian
untuk memperkukuhkan parti itu sebagai gerakan Islam yang sebenarnya.
Kajilah semula asas perjuangan parti itu, apakah perjuangan Pas sekarang
sama seperti mana ia mula-mula ditubuhkan?
Dianggotai oleh ramai ulama, bercakap berdegar-degar soal Islam dan
bijak berhujah menggunakan ayat al-Quran dan hadis bukanlah jaminan
bahawa Islam akan mampu diperkembangkan oleh sesebuah organisasi. Apa
yang lebih penting ialah tindakan dan inilah yang dilakukan oleh UMNO
yang menjadi tunjang BN sejak dahulu lagi.
UMNO tidak pernah bercakap soal mengundi parti itu mendapat pahala
tetapi sebaliknya UMNO melalui kepimpinannya mengatur pelbagai program
dan tindakan bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.
Pas boleh sahaja menuduh pihak yang mempertikaikan 'tawaran pahala'
mereka sebagai kelompok yang kurang agama tetapi agama Islam juga tidak
suka kepada mereka berjanji tetapi tidak mengotakannya dan sanggup
mengubah prinsip semata-mata demi memburu kuasa politik. Pas tidak boleh
menafikan hakikat itu kerana inilah sikap Pas sejak berkawan dengan PKR
dan DAP apatah lagi Pas sendiri tidak boleh memberi jaminan sejauh
manakah perjuangan Islam mereka mampu ditegakkan apabila pakatan
pembangkang memerintah negara ini.
Justeru adalah lebih baik jika Pas berhenti sahaja bercakap soal
pahala ini kerana kita bimbang ia akhirnya hanya akan menguntung pihak
lain kerana hakikatnya mengundi Pas belum tentu mampu memartabatkan
Islam kerana Pas hanyalah 'pak turut' bukannya dominan dalam pakatan
pembangkang.
No comments:
Post a Comment