TIGA, empat atau lima. Itulah angka yang turut menjadi bualan ketika
ini. Adakah sesuatu pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan setelah genap
lima tahun selepas sesebuah kerajaan mendapat mandat rakyat? Atau perlukah ia kekal seperti sekarang iaitu diadakan pada bila-bila
masa menjelang genap lima tahun mandat yang diberikan rakyat kepada
sesebuah kerajaan? Mungkin selepas tiga atau empat tahun. Isu ini
tiba-tiba muncul selepas banyak ramalan atau telahan pelbagai pihak
mengenai tarikh PRU Ke-13 meleset dan ramai yang ‘membuang’ masa
mencongak bilakah tarikh keramat itu akan datang.
Dalam keadaan tertentu, PRU perlu diadakan walaupun tempoh pembubaran
sebenarnya masih jauh. Mungkin ketika kedudukan sesebuah kerajaan dalam
keadaan goyah, tidak cukup stabil untuk memerintah dengan baik.
Bagaimanapun jika diselak sejarah PRU yang lalu, tempoh paling awal
pembubaran Dewan Rakyat tidak sampai dua tahun, sekitar 17 bulan sahaja.
Maknanya PRU diadakan setelah mandat sesuatu penggal Parlimen melepasi
usia tiga tahun. Kini setelah Jun berakhir, tidak ada sebarang petanda
PRU. Kini timbul pula ramalan yang dikaitkan dengan pembubaran pada
bulan September. Maka tercetuslah isu jika PRU berlangsung pada bulan
September atau Oktober, Pas mahu anggota partinya menangguhkan pemergian
mereka ke Mekah. Pas mahu kerajaan menangguhkan PRU pada musim haji.
Seolah-olah pada musim haji, hanya orang Pas yang ke Mekah, tidak ada
orang UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Timbul juga ura-ura, PRU hanya
akan berlangsung ketika ia benar-benar menghampiri berakhirnya ‘idah’
menjelang 28 April 2013. Mungkin jika tidak diadakan tahun ini, ia
dijangka berlangsung pada Mac 2013. Kita selak kembali dua kenyataan
Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebelum ini mengenai pilihan raya yang
ada kaitan dengan ‘angka’ atau tempoh mandat ini.
Pertama, pada 22 Jun selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis
Tertinggi UMNO, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda
jika PRU hendak diadakan selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan
sedia ada mencukupi. Ketika ini tiada apa-apa yang menyekat kerajaan
untuk mengadakan PRU lebih awal kerana Perlembagaan membenarkan Perdana
Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tetapi
tidak lewat dari tempoh lima tahun.
Kedua, pada 29 Jun, selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi
BN. Beliau berkata, tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi PRU
berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh
itu. Katanya BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun
bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta
membawa kemajuan untuk membela untung nasib rakyat. Kalau PRU terlalu
awal, bererti memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan.
Maka teka-teki mengenai tarikh PRU ini tentunya bukan disebabkan
Najib belum mendapat ilham atau bukan juga BN tidak yakin. Di sebalik
faktor yang diberikan oleh Najib, sudah tentu BN mahu memenuhi hasrat
pembangkang yang memerintah beberapa negeri yang sebelum ini menegaskan
tidak akan mengadakan PRU lebih awal. Ada negeri di bawah pakatan 3P
(PKR-Pas-DAP) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika
Parlimen dibubarkan lebih awal. BN juga tentunya mahu mencipta keputusan
14-0 iaitu menang di semua negeri termasuk mendapat mandat rakyat di
Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Sarawak yang sudah
mengadakan PRU DUN).
Najib juga tentunya mengambil kira wang rakyat yang akan digunakan
setelah ada hasrat pakatan 3P tidak akan membubarkan beberapa negeri
yang dimenangi pada PRU lalu.
Jika diselak kembali kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18
November tahun lalu, kira-kira RM40 juta akan dibazirkan jika kerajaan
PKR Selangor berkeras mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Menurut
Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, walaupun hak kerajaan negeri
membubarkan DUN tetapi banyak perkara perlu dilihat termasuk
kepentingan rakyat, pembaziran wang dan tenaga kerja yang bertambah
apabila PRU berasingan diadakan.
Justeru, Najib turut mengambil kira untuk menyelamatkan wang rakyat
daripada mengalir kepada tujuan yang sepatutnya boleh dielakkan.
Dengan melewatkan PRU sehingga menghampiri tempoh akhir, ia juga
membantu kerajaan negeri di bawah pakatan 3P berpeluang menunaikan janji
yang belum ditepati selepas menabur janji pada kempen atau manifesto
PRU lalu. Menjelang pembubaran Dewan Rakyat atau DUN, biar sedikit atau
sekadar ada tetapi apa yang penting bagi mereka ialah menunaikan janji.
Sama ada ia sesuatu yang menyeluruh atau sekadar memenuhi kehendak
kroni/penyokong tegar mereka, eloklah pengundi yang menentukan pada PRU
akan datang.
Mungkin jika sebelum ini kata-kata jika hari ini menang pilihan raya,
esok juga ‘itu dan ini’ dilakukan akan bertukar kepada jika esok
pilihan raya hari ini juga janji 2008 dilaksanakan. Tidak mustahil,
semua janji akan ditunaikan pada saat-saat akhir walaupun risikonya amat
besar.
Dengan memasuki Julai, bulan yang akan bermulanya puasa Ramadan
kemudian Hari Raya Aidilfitri, kita sebenarnya semakin menghampiri usia
lima tahun penggal Dewan Rakyat dan DUN selepas PRU lalu. Kebanyakan
usia penggal DUN sudah pun genap empat tahun pada bulan April lalu
manakala Terengganu, Kedah, Pahang dan Selangor mencapai tempoh itu pada
Mei lalu. Maka tidak ada sebab bagi kerajaan negeri di bawah pakatan 3P
mahu mengadakan PRU DUN secara berasingan.
Dan menyelak kembali tempoh mandat pentadbiran kerajaan sebelum ini,
ternyata tidak ada yang benar-benar mencukupi lima tahun. Paling hampir
pun pada 1969 apabila PRU diadakan kira-kira dua bulan sebelum tempohnya
berakhir. Pada 1974, 1978 dan 1982, PRU diadakan kira-kira 17 bulan
lebih awal daripada tempoh mandat berakhir.
Pada 1999, mandat yang diperoleh pada 1995 sepatutnya berakhir pada 6
Jun 2000 tetapi Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 November 1999,
kira-kira enam bulan lebih awal. Begitu juga pada 2004, mandat selepas
PRU Ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999 sepatutnya berakhir 20
Disember 2004 tetapi dibubarkan pada 4 Mac 2004 untuk membolehkan PRU
Ke-11 diadakan. Manakala mandat yang diperoleh pada PRU Ke-11 sepatutnya
berakhir pada 16 Mei 2009 tetapi PRU diadakan 8 Mac 2008 selepas
dibubarkan pada 13 Februari 2008.
Begitulah bagaimana mandat sesuatu PRU berakhir, tanpa mencapai
tempoh lima tahun tetapi melepasi tiga tahun iaitu tempoh yang tidak
membenarkan sebarang pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi
kekosongan.
No comments:
Post a Comment