07 July 2012

ANTARA MUNAFIQ, KUFIR DAN LALAI


Terlalu sinikal atau tiada pilihan dalam menghadapi hari muka rakyat negara ini. Itu sahaja yang menjadi santapan minda yang disogokkan kepada generasi Y yang dikatakan sebagai orang muda. Darah mereka amat bergelora. Banyak sungguh yang diperkatakan mereka. Banyak sungguh kemarahan yang ingin ditunjukkan malah ingin dibalas kepada generasi X yang melahir dan membesarkan mereka sebelumnya. Alasan mudah yang dicanai minda kumpulan ini hanyalah sudah tiba masanya kita perlu merobah orang tua yang tidak berguna.


Kerana kita lebih tahu dan matang daripada mereka ataupun mereka sudah ketinggalan zaman dan tidak memahami aspirasi orang muda. Entah apa sebabnya mereka inginkan sangat perubahan sehingga ke tahap revolusi dan bukannya lebih kepada evolusi seperti mana yang selalu dipercayai generasi sebelum mereka. Ia diumpamakan seperti produk-produk siap guna dan makanan segera yang sudah menguasai kesemua segmen pasaran moden ketika ini.

Apa sahaja penjelasan yang diberikan dan apa sahaja yang cuba dibuktikan melalui pelbagai wacana, acara dan anugerah tidak lagi dipandang secara fakta tetapi dikiaskan sebagai pura-pura. Paling pelik pula, peneraju kumpulan ini juga bukan seorang muda malah rata-rata mereka juga sekumpulan dengan yang sedia ada. Pendekatan, ia boleh dikelaskan sebagai reconditioned sudah pula dibuktikan tidak sehebat mana dari semua sudut baik dari aspek moral ataupun agenda.

Oleh itu, mari bukakan mata dan minda, di manakah posisi bakal pengganti dan di mana pula hala tuju serta matlamat yang sudah terbentang di depan mata. Pertamanya, kita perlu tanya kenapa pula kita mahu perubahan? Tentunya kita mahu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedia ada. Hanya manusia yang tidak waras sahaja yang mahu berubah kepada yang lebih buruk daripada apa yang sudah dimiliki.

Kerana lumrah manusia itu sendiri menyebabkan wujudnya ketamadunan yang hebat dan kerananya juga banyak tamadun yang dibina itu sudah runtuh dan tinggal sebagai sejarah semata-semata tanpa pengecualian di negara kita sendiri. Kedua, apa yang ingin kita buktikan dengan melakukan pelbagai onar dan perancangan yang hanya akan membuktikan bahawa perancang, pelaksana dan bakal pewaris wacana perubahan itu sebenarnya bukanlah mewakili generasi Y itu sendiri yang belum dapat membuktikan apa-apa pun selama ini selain kebijaksanaan orator syarahannya sahaja.

Ketiga; Bukankah pula lebih afdal diberikan kepada si Lalai yang sudah mahu pulang ke pangkal jalan itu diberikan peluang selepas menunjukkan komitmen secara berterusan. Kerana individu yang sedar tentulah lebih baik daripada yang mabuk. Benarkah pula wujud hubung kait pangkal kuasa yang menggerakkan dan melagakan antara dua generasi ini sehingga seolah-olah tidak wujud lagi titik pertemuan walaupun sudah dilaksanakan pelbagai program bagi menyambung ukhuwah dan menjadikan mereka sebagai penerima anugerah sebagai penjaga amanah. Marilah kita bermuhasabah melihat senario ini secara faktanya.

Kalau kita rentaskan minda kepada senario ketika ini tentu kita akan lihat bahawa wujud dengan nyata pelbagai gejala negatif yang sudah diterapkan dan diterima sebagai biasa kepada para pembawa angin perubahan ini yang boleh kita kaitkan dengan sifat-sifat orang yang munafiq. Di mana mereka ini bersifat pendusta, khianat, tidak mahu mengalah, dan selalu mungkir janji. Lontarkan sifat-sifat itu kepada para pemimpin kedua-dua belah pihak dan nilaikan sendiri dengan satu syarat yakni kosongkan dada dan lihat hanya fakta dan bukannya emosi semata-mata. Kerana, emosi tidak akan membawa kebaikan walau dalam apa situasi sekalipun kerana ia tidak berhubung secara rasional dengan fakta.

Nilaikanlah siapa sebenarnya yang munafiq dalam menjarah minda kita selama ini sehingga apa sahaja yang dipaparkan disanggah membuta tuli. Seperti tiada kebaikan yang wujud, tiada jasa yang ditabur dan apa yang wujud hari ini seolah-olah seperti anugerah yang gugur dari langit tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Sekiranya itu yang kita percaya, atau itu anutan bagi mereka yang ingin membawa angin perubahan berkenaan, maka benarlah kenyataan kedua yang melayakkan mereka ke tahap itu yakni kufur kepada nikmat yang sudah kita miliki dan rasai selama ini.

Adakah sebarang fakta yang boleh dibentangkan secara nyata sebagai analisis bahawa sebenarnya kita tidak cukup makmur dan bertuah hidup dalam negara ini yang menjadi buruan serta syurga pencari rezeki daripada seluruh pelosok dunia? Malah kumpulan bijak pandai yang melaksanakan reformasi, sudah terperangkap dalam inovasi transformasi dengan bukti-bukti yang cukup signifikan sedang berjalan dengan pantas dan tersusun.

Malah perancangan semenjak bermulanya era merdeka dengan Program Buku Hijau, RMK, DEB, Wawasan 2020, malah kini gagasan 1Malaysia telah pun menjawap segala suara hati yang mahukan kepada perubahan berkenaan. Ia bukan sahaja sebagai kata-kata dan omongan kosong yang tertulis atau dihebahkan melalui media semata-mata tetapi sudahpun dilaksanakan. Cuma mungkin apa yang boleh dituding ketika ini kepada kita bahawa berlaku kelalaian seketika akibat pelbagai unsur sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan.

Lalu kita kembali pula kepada sifat sebenar realiti hidup sebagai manusia yang mempunyai sifat semulajadinya memiliki sifat berkenaan. Lantas bolehkah pula kita menghukum secara berlebihan sehingga hilang sifat manusiawi diri sendiri dan mengamalkan sikap keterlaluan dalam menghukum. Kerana sikap ini kelak akan membawa mudarat yang tidak sedikit atau dengan kata lain memusnahkan diri sendiri.

Bangsa dan budaya kita kekal dengan sikap toleransi yang tinggi. Pendekatan segala bidalan dan peribahasa lama sebagai bukti kepada dunia bahawa tidak semua perkara boleh diatasi dengan kekerasan. Kerana itu, maharaja besar daripada peradaban yang agung juga tertarik sehingga sanggup menghadiahkan puteri sendiri bagi menjalinkan hubungan diplomatik dengan Sultan Melayu satu ketika dahulu.

Tetapi, selepas itu ia merudum dan kita terjajah dan menjadi mangsa kepada penjarahan ratusan tahun lamanya. Sudah tentu ada sebabnya. Mahukah kita sekali lagi terjerumus ke dalamnya sebab memang sudah jelas bahawa sejarah akan berulang. Semenanjung Tanah Arab sudah menjadi bukti nyata bahawa agenda besar penjarah dunia sudah dilaksana.

Kini terpulang kepada diri kita sendiri, samada ingin menjadi kumpulan munafiq atau menjadi manusia yang kufur atau menjadi si hakim yang melampau. Tepuklah dada sendiri dan tanyakanlah minda ke mana arah kita. Kerana kita sendiri perlu melakukannya dan jangan harapkan orang lain. Ini sahaja negara kita dan ini sahaja tempat kita untuk diwariskan kepada generasi selepas anda semua yang mungkin diberikan nama Generasi Z pula.

Apakah generasi Z itu bermakna generasi tidur, atau generasi yang terkubur atau generasi yang sudah lebur. Pisau di tangan sendiri, potong dan cincang ikut sedap rasa. Tetapi sendiri akan merasakan akibatnya seperti api yang kecilnya menjadi kawan, sesudah besar menjadi lawan. Jangan biarkan ia membakar tempat kita berlindung, biarkan mereka sekadar membantu memasak makanan, memberi sedikit kelegaan bila kita kedinginan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...