Budaya menyalahkan media yang tidak menyokong mereka, mengaitkan
dengan nama-nama pemimpin kerajaan serta menyaman mereka yang mengajukan
pertanyaan atau membangkitkan isu yang membelit pemimpin dan kepimpinan
parti-parti pembangkang sudah sebati bagi parti 3P (Pas, PKR dan DAP). Ia bukan perkara baru malah sudah menjadi amalan bagi Ketuanya, Datuk
Seri Anwar Ibrahim apabila menjawab isu-isu yang berkaitan dengan hal
peribadinya ataupun parti. Lihatlah bagaimana beliau menjawab isu-isu
video seks, jam Omega dan kawalan 20 akaun membabitkan RM3 bilion.
Sehingga kini tiada satu pun persoalan tentang tiga isu tersebut
dijawab dengan tuntas melainkan memusingkan soalan tersebut dengan
menyerang balik wartawan yang bertanya, atau paling tidak menyalahkan
pihak UMNO dan media prokerajaan. Itulah yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim yang kini terpalit dengan isu penyelewengan wang kerajaan
negeri membabitkan RM1 bilion.
Beliau mengambil sikap tidak menjawab
persoalan tersebut sebaliknya mengugut MCA untuk diambil tindakan
undang-undang kerana menimbulkan isu tersebut. Abdul Khalid mempunyai jalan mudah untuk menangkis isu tersebut iaitu
dengan mendedahkan secara terperinci transaksi berhubung
pengambilalihan hutang Talam Corp. Berhad, tetapi malang beliau
mengambil jalan sukar dengan bertindak mengancam untuk menyaman pihak
yang mendedahkan maklumat tersebut.
“Apabila sudah didakwa di mahkamah, secara undang-undangnya perkara
ini tidak boleh lagi dibincangkan secara terbuka kerana boleh didakwa
menghina mahkamah atau mengganggu proses siasatan! Lepas tu, tangguhkan
kes tersebut lama-lama sehingga rakyat lupa,"
Selangor Daily (www.selangordaily.com) pula melihat ada sesuatu yang
tidak kena dengan Abdul Khalid apabila beliau mengubah pendirian
berhubung isu berkenaan. Sejurus MCA mendedahkan isu tersebut, beliau
berjanji untuk memberi jawapan balas selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco, Rabu lalu.
“Tidak sampai 24 jam keberanian Khalid bertukar menjadi pengecut. Apa
sudah jadi dan kenapa takut sangat (nak menjawab isu tersebut)? Sudah
tentu ada udang di sebalik batu."
Itu yang berlaku di Selangor. Di Melaka, wakil rakyat DAP membuat
kecoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mereka digantung daripada
menghadiri sidang selama enam bulan hanya kerana ADUN Kota Laksamana,
Betty Chew Gek Cheng enggan menjawab soalan berhubung seorang wanita
yang dikaitkan dengan suaminya, Lim Guan Eng.
Apa yang menghairankan blog MyKMU (www.mykmu.net), kenapa Betty
begitu marah sekali dengan pertanyaan ADUN Duyong, Datuk Gan Tian Loo?
Katanya, soalan Tina Loo bukannya bersifat tuduhan tetapi hanya
bertanya sama ada beliau kenal atau tidak dengan Ng Phaik Kheng, wanita
yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.
“Kenapa perlu marah-marah? Ada yang tidak kenakah dengan soalan itu?
Atau Betty tidak faham dengan soalan yang dikemukakan? Tian Loo bertanya
di dalam bahasa Melayu, takkanlah isteri Guan Eng tak faham?" tanya
MyKMU.
Seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, kekecohan
yang dicetuskan oleh DAP itu sudah dirancang agar mereka digantung bagi
mengelak Betty menjawab soalan berkenaan. Ia satu lagi strategi
pembangkang mengelak daripada menjawab isu berkaitan mereka.
Apa yang menghairankan, apabila timbul isu yang berkaitan dengan
kerajaan, pihak pembangkanglah paling lantang terpekik terlolong meminta
isu berkenaan diberikan penjelasan dan apabila penjelasan diberikan,
mereka berusaha pula untuk menolaknya.
Tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, mereka berusaha pula
untuk menutupnya dengan menyalahkan orang lain atau mengemukakan
tindakan undang-udang.
Inilah budaya 3P tersebut menangani isu-isu yang membelenggu mereka.
ANWAR BUAT KENYATAAN BERSARA?
Heboh apabila Anwar membuat kenyataan untuk bersara daripada arena
politik sekiranya pembangkang gagal merampas Putrajaya pada pilihan raya
umum akan datang tetapi ramai yang melihat ia strategi terbaru beliau
untuk menagih simpati rakyat.
Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com) melihat ia adalah “pakej
rangsangan" terakhir Anwar dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat
kepada beliau dan pembangkang ketika Barisan Nasional (BN) dilihat
semakin kukuh di hati rakyat.
“Pengumuman Pakej Rangsangan Simpati Undi Rakyat atau singkatannya
Perasuk melalui pengumuman pelan persaraan oleh Anwar telah dibuat di
London, di hadapan para promoter dan pelobi antarabangsa.
“Khabarnya pelancaran Perasuk ini akan disusuli dengan sambutan
besar-besaran keberangkatan pulang beliau di KLIA sebagai menunjukkan
tanda simpati dan desakan rakyat supaya Anwar terus memimpin dan
berjuang," katanya.
Taktik sedemikian pernah digunakan oleh seorang pelakon wanita tanah
air yang mengumumkan persaraannya daripada lakonan di media-media massa
tetapi apabila tiba masanya, hasrat itu dibatalkan dengan alasan tidak
dapat menolak tawaran berlakon yang diterima.
Kini pelakon tersebut semakin laris. Apakah taktik terbaru Anwar ini menjadi?
No comments:
Post a Comment