07 July 2012

APABILA PEMILIHAN AJK MASJID UMPAMA PRU


KONTROVERSI yang melanda pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor bukanlah satu perkara asing bagi kebanyakan rakyat di negeri ini. Bermula dalam soal asas, iaitu janji mereka pada pilihan raya umum lalu yang sehingga kini tidak tertunai, sehinggalah kepada perkhidmatan bekalan air, pendidikan dan pengurusan sampah, ia jelas memperlihatkan kelemahan kerajaan negeri yang kononnya digambarkan mereka sebagai mengutamakan rakyat, sedangkan hakikatnya tidak seperti itu berdasarkan daripada siri-siri bantahan rakyat sebelum ini. 


Kerajaan negeri juga sebelum ini sering bercakap mengenai soal ketelusan; keadilan dan kebertangungjawaban, namun dalam tempoh empat tahun ini jika diamati tidak melaksanakan tiga perkara itu dalam amalan tadbir urus mereka. Malah, lebih tepat lagi kerajaan negeri langsung tidak memahami prinsip tersebut sebaliknya lebih mengutamakan berpolitik dalam membuat keputusan yang membabitkan kepentingan rakyat.

Lihatlah situasi terbaru di Selangor hari ini apabila pentadbiran pakatan pembangkang yang dipimpin oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal memainkan peranan dalam soal pengurusan masjid sehingga mencetuskan penentangan dan bantahan rakyat terhadap sistem pemilihan ahli jawatan kuasa (AJK) yang didakwa wujudnya campur tangan politik. 

Bantahan dan rasa tidak puas hati itu semuanya gara-gara kerajaan negeri memperkenalkan sistem pemilihan AJK masjid 'ala pilihan raya' kononnya untuk memberi peluang kepada kariah di negeri ini memilih sendiri jawatankuasa pentadbiran masjid di kawasan masing-masing atas prinsip demokrasi. 

Sebaliknya, sistem pemilihan tersebut mengundang kepada 1,001 masalah ekoran kekecohan yang timbul seperti mana yang berlaku di Masjid Fastabiqul Khairat, Shah Alam; Masjid Nurul Iman, Kuala Selangor; Masjid al-Husna, Petaling Jaya dan Masjid al-Ansar serta Masjid Darul Muttaqin masing-masing di Klang seperti mana yang dilaporkan menerusi media.

Barangkali kekecohan dan rasa tidak puas hati kariah ekoran sistem pemilihan AJK masjid itu turut berlaku di kawasan-kawasan lain di negeri ini, tetapi ia tidak dilaporkan oleh media tempatan. 

Namun, jika diteliti di sebalik kekecohan ekoran sistem pemilihan AJK masjid itu, kebanyakan kariah masjid yang terlibat mendakwa wujudnya unsur-unsur penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan itu antaranya pertambahan bilangan ahli kariah secara mendadak, pemalsuan kertas undi termasuklah pelantikan individu sebagai AJK masjid tanpa mendapat pencalonan daripada majoriti kariah.

Ekoran kekecohan tersebut, ia mencetuskan persoalan mengenai pelaksanaan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan negeri. Jika benar mereka mengamalkan demokrasi dengan memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan AJK masjid masing-masing, kenapa pula timbulnya bantahan sedemikian sehinggakan ahli kariah mendakwa wujudnya penyelewengan sistem pemilihan berkenaan? 

Namun, kebimbangan yang paling besar tercetus, apa sebenarnya rasional kerajaan negeri melaksanakan sistem pemilihan AJK masjid yang hanya mengundang masalah perpaduan umat Islam di negeri ini. Jika dibandingkan sebelum ini, jarang sekali kita dengar wujudnya pergolakan dalam pelantikan AJK masjid di Selangor apatah lagi melihat ahli kariah berdemonstrasi bagi membantah perkara itu. 

Apa yang nyata, sistem pemilihan AJK 'ala pilihan raya' itu meragukan dari segi tujuannya. Ini kerana, berdasarkan rungutan daripada kariah masjid terbabit, ia menunjukkan sistem itu bukanlah satu proses pemilihan yang baik kerana di peringkat awalnya sudah wujud masalah. 

Apakah kerana pemilihan masjid itu menunjukkan pakatan pembangkang seolah-olah terdesak yang memungkinkan mereka menggunakan masjid sebagai medan untuk menyebarluaskan pengaruh politik? 

Namun, kebimbangan itu mungkin ada asasnya. Sebagai contoh, sebelum ini ahli kariah Masjid Darul Muttaqin di Kampung Sungai Udang, Klang menerusi laporan media pada 19 Jun lalu menyatakan pendirian mereka menuntut sistem pelantikan pegawai dan AJK masjid 'ala pilihan raya' itu dihapuskan kerana ia boleh mencetuskan kekecohan dan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Mereka mendakwa, sistem pemilihan sedemikian yang dilaksanakan sejak 2009 itu menyebabkan berlakunya unsur-unsur negatif termasuk percubaan menyingkirkan pewakaf masjid berkenaan melalui penguasaan sekelompok anggota parti politik secara terancang.

Jika benar dakwaan ahli kariah Masjid Darul Muttaqin itu, kesannya sudah tentu ia menggugat usaha mengembangkan peranan masjid serta penyatuan umat Islam di negeri ini. 

Maka, dalam konteks sistem pemilihan AJK masjid di Selangor ini, sudah jelas ia menimbulkan masalah dan kerajaan negeri sewajarnya menghentikannya dan mencari pendekatan yang sesuai. 

Malangnya, sehingga ke hari ini, kerajaan negeri khususnya Exco Hal Ehwal Islam, Abdul Khalid sendiri seolah-olah tetap mahu meneruskan sistem pemilihan AJK masjid seperti itu meskipun banyak rungutan serta masalah susulan daripada pelaksanaan sistem berkenaan. 

Ini jelas menerusi kenyataan Abdul Khalid melalui laman web Selangorku pada 2 Mei lalu yang memperlihatkan tiada tanda-tanda kerajaan negeri mahu menghentikan atau mengkaji semula sistem pemilihan berkenaan sebaliknya hanya menyatakan akan menubuhkan jawatankuasa untuk memantau setiap mesyuarat pemilihan AJK masjid di seluruh Selangor.

Soalnya, jika kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa pemantau, kenapa berlaku bantahan dan rasa tidak puas hati beberapa kariah masjid terhadap pelaksanaan sistem pemilihan itu. Apakah fungsi sebenar jawatankuasa pemantauan itu dan siapakah pula yang menganggotainya? 

Sungguhpun begitu, berdasarkan situasi yang berlaku ekoran pelaksanaan sistem pemilihan AJK masjid di Selangor itu, apa yang jelas pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri terhadap institusi masjid dilihat telah membawa satu keadaan porak-peranda di kalangan masyarakat Islam di negeri ini apabila mereka saling menuding jari serta menyalahkan antara satu sama lain dalam isu yang timbul di sebalik pemilihan itu. 

Apakah kerajaan negeri mahukan umat Islam khususnya kariah masjid di negeri ini berpecah belah dan bergolak antara satu sama lain, apa manfaatnya kepada perkembangan Islam di negeri ini? Siapa sebenarnya yang rugi dan siapa pula yang akan mendapat keuntungan daripada pergolakan umat Islam di negeri ini. 

Jika ia hanya kerana politik, maka jelas kerajaan negeri hari ini tidak bertanggungjawab selain bersikap melampau kerana meletakkan institusi masjid dan perpaduan umat Islam di negeri ini sebagai alat untuk berkuasa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...