Beberapa pihak akhir-akhir ini heboh
memperkatakan tentang kemungkinan Anwar kembali ke dalam UMNO. Berbagai teori
dikemukakan, antaranya perjanjian sulit antara Anwar dengan Dato’ Seri Najib
yang memberi syarat dan ruang tertentu bagi membolehkan Anwar selamat. Kemudiannya,
heboh pula berita bahawa Pak Lah merupakan ‘tali
perhubungan’ utama yang bakal menarik Anwar kembali.
Desas-desus ini dikuatkan lagi dengan
munculnya buku ‘The Awakening’ yang
menjadikan Pak Lah sebagai subjek dan juga laporan Asia Sentinel mengenai
pengakuan Anwar bahawa beliau telah berbohong dengan Dato’ Seri Najib sebelum
pilihanraya-13 untuk berbincang soal ‘perjanjian’.
Menurut teori yang dikemukakan, Dato’ Seri
Najib kini berada dalam keadaan lemah dan takut lantaran kemenangan PRU-13 yang
tipis. Justeru, Dato’ Seri Najib memerlukan sokongan dari kumpulan Pak Lah dan
juga Anwar Ibrahim bagi mengukuhkan kedudukan beliau di dalam UMNO. Kononnya,
kritikan dari kumpulan pro-Tun Mahathir dilihat sebagai pemangkin kepada
kejatuhan Dato’ Seri Najib.
Teori ini tidak lain tidak bukan pastinya
diilhamkan oleh mereka-mereka yang tidak berpijak di bumi nyata.
Hakikatnya, Pak Lah dan Anwar adalah dua
pihak yang kalah dan ditolak oleh rakyat Malaysia. Oleh itu, ‘apa ke jadahnya’ bagi Dato’ Seri Najib untuk melukut meraih
sokongan dari pihak yang ditolak oleh rakyat? Bukankah tindakan itu hanya
mengundang penolakan terhadap dirinya juga?
Perlu diingatkan bahawa perjuangan bukan
hanya setakat Perhimpunan Agong UMNO sahaja, tetapi perjuangan sebenar ialah
PRU-14. Dalam politik, yang mengkritik tidak semestinya menentang dan yang
menyokong kadangkala membawa rebah dan kita pasti Dato’ Seri Najib cukup maklum
akan prinsip ini.
Dalam politik Malaysia pula, sudah jelas
bahawa Anwar Ibrahim adalah musuh Dato’ Seri Najib, musuh UMNO dan musuh negara
- bukan Tun Mahathir, biar betapa pedas pun kritikan beliau. Malah, hakikat
yang tidak boleh dinafikan ialah UMNO mungkin gagal meningkatkan jumlah kerusi
dalam PRU-13 jika Tun Mahathir tidak bertungkus lumus menjelajah ke serata
ceruk negara, berkempen untuk BN.
Dan semua rakyat Malaysia sedia maklum mengenai
situasi ini melainkan mereka-mereka yang punya agenda tersendiri yang enggan
mengakuinya.
Sedangkan Anwar sanggup memfitnah Dato’ Seri
Najib membunuh dan tidak peduli sekiranya orang yang tidak bersalah dihukum. Anwar
sanggup memburukkan imej Datin Seri Rosmah seburuk-buruknya. Anwar telah
merosakkan UMNO dengan politik wang dan Anwar jugalah yang memburukkan imej
negara di serata dunia.
Oleh itu, sekali lagi diulang bahawa Anwar
adalah musuh dan tidak ada sebab bagi Dato’ Seri Najib untuk bekerjasama dengan
musuh apatah lagi dalam keadaan di mana kedudukan Dato’ Seri Najib adalah jauh
lebih kukuh dari kedudukan Anwar sendiri.
Tidak kira apa jua keputusan post-mortem yang
dibentangkan, hakikatnya, BN menang dalam PRU-13 semata-mata kerana rakyat,
khususnya orang Melayu, menolak PR/Anwar sebagai pemerintah. Walhal, orang
Melayu pada ketika itu, masih ragu-ragu dengan UMNO kerana kewujudan kumpulan
pro-Pak Lah di dalamnya.
Namun, orang Melayu masih memberi sokongan
kepada UMNO atas faktor keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib. Maka,
dengan kekuatan yang ada pada dirinya, untuk apa Dato’ Seri Najib perlu
menumpang kelemahan Pak Lah dan Anwar Ibrahim?
Bukankah lebih logik jika Dato’ Seri Najib
bekerjasama dengan kumpulan yang terbukti lebih kuat dan mendapat sokongan
rakyat seperti kumpulan pro-Tun Mahathir?
Justeru, teori Anwar akan kembali kepada UMNO
ini membuktikan bahawa Anwar sebenarnya sudah tidak lagi menaruh harapan tinggi
terhadap partinya sendiri. Anwar tahu
bahawa hanya UMNO yang mampu memberi kuasa kepadanya.
Dalam kata lain, hanya ‘orang-orang Melayu’ yang mampu menentukan Perdana Menteri Malaysia
dan kerana itu, Anwar sedaya upaya ingin kembali kepada UMNO.
Malang bagi Anwar kerana orang-orang Melayu
sudah serik dengan Anwar mahupun Pak Lah serta kuncu-kuncu mereka. Dan bagi
mana-mana pemimpin UMNO untuk mengharapkan kerjasama dengan dua personaliti ini
untuk terus berkuasa, pastinya merupakan satu perhitungan yang salah.
No comments:
Post a Comment