Sejak Ramadan lepas, kisah Syiah di Malaysia menjadi
sensasi. Walaupun khabar kewujudan Syiah di Malaysia sudah lama berlegar di
ruang awam dan alam maya sejak beberapa tahun lalu, isu Syiah kembali mendapat
perhatian arus perdana. Ini apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun
Mahathir memutuskan untuk mengharamkan Syiah di Kedah.
Hampir setiap hari, isu Syiah mengisi dada akhbar.
Malah, banyak forum diadakan, cuba memberi penerangan kepada orang awam tentang
kesan ajaran Syiah kepada masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang
kepada ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah(ASWJ).
Namun begitu, apa yang gagal disedari oleh banyak
pihak, jelas daripada khabar yang diberikan sama ada melalui media arus
perdana, ceramah, mahupun laman sosial, hampir semuanya diceritakan oleh pihak
luar daripada ajaran Syiah, iaitu ulama Ahlul Sunnah sendiri. Sudah tiba
masanya untuk kita mengarus perdanakan isu ini supaya penyebaran Syiah akan
terus terhenti di Malaysia.
Bantahan oleh seorang ahli politik yang membantah
usaha mengarus perdanakan isu ini ternyata tidak faham atau sengaja mengambil
ringan akan isu ini. Ini berbeza dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi yang bersikap tegas dan berani mengisytiharkan Pertubuhan
Syiah Malaysia salah di sisi undang-undang dan adalah sebuah pertubuhan haram.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting
Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim, satu usaha besar yang boleh dilakukan
ialah dialog terbuka antara ulama Ahlul Sunnah dengan wakil Syiah di Malaysia.
"Walaupun sudah dilakukan oleh beberapa pihak
secara kecil-kecilan, kali ini elok rasanya diadakan dialog secara terbuka
melalui media arus perdana. Dialog ini dicadangkan disiar secara langsung
melalui stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Astro, radio,
dan kemudiannya teks dialog tersebut dibukukan dan diedarkan dengan usaha sama
pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," kata beliau kepada Utusan
Malaysia baru-baru ini.
Satu kesan besar daripada usaha ini, kata Ahmad Faris,
ialah masyarakat Malaysia dapat mendengar sendiri daripada mulut penganut
Syiah. Kemudian, mereka boleh menilai sendiri betapa menyimpangnya Syiah
daripada ajaran sebenar ASWJ.
Kata beliau: "Di samping itu, satu perkara yang
perlu diambil perhatian, golongan yang banyak terpengaruh dengan ajaran Syiah
ini terdiri daripada orang muda. Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan,
generasi muda zaman sekarang lebih dikenali sebagai Generasi Y tidak suka hanya
disogok dengan maklumat.
"Cara yang paling sesuai untuk mendepani generasi
Y ini ialah memberikan hujah daripada kedua-dua belah pihak. Menggunakan medium
yang disenangi anak muda, dengan izin Allah, pintu hati mereka akan terbuka
untuk menerima kebenaran."
Malah, dalam satu rancangan wawancara Ancaman Syiah di
siaran RTM, beberapa minggu lalu, Dr. Asri Zainal Abidin ada menyatakan
kesediaan untuk berdialog secara terbuka dengan penganut Syiah di Malaysia.
"Sekarang kita sudah ada ulama yang berani, kalau
mahu dibandingkan dengan ramainya di luar sana yang hanya syok sendiri
menghentam Syiah di pentas ceramah.
"Lebih jelas lagi betapa syok sendirinya ustaz di
Malaysia ini, sumber-sumber yang digunakan hanyalah sekitar sumber
dengar-dengar cakap orang. Jarang sekali kedengaran ceramah oleh para ustaz
yang mengambil terus daripada kitab Syiah sendiri. Kalau sekadar ada dengar
cakap orang, ustaz seperti ini layaknya ditempatkan di kedai kopi untuk sembang
kosong sahaja," katanya.
Kata Ahmad Faris lagi: "Golongan agama seperti
inilah yang akan membuatkan generasi muda melarikan diri daripada wawancara
Syiah dan akhirnya terpengaruh dengan ajaran ajaran ini.
"Sumber-sumber rapuh oleh penyampai akhirnya
menggambarkan seolah-olah ASWJ sudah ketandusan hujah untuk menangkis hujah
daripada golongan Syiah. Ayuh jadi pemberani. Kita bentangkan hujah dengan
kemas dan teratur berdasarkan al-Quran dan Hadis sahih."
Kata beliau, antara persoalan yang pernah timbul
daripada isu Syiah yang kurang memuaskan hati anak muda atau dikenali sebagai
Generasi Y ini ialah perihal al-Quran yang diubah suai oleh penganut Syiah.
Kemudian, kata Ahmad Faris, hal yang hangat lagi ialah
perbuatan sujud di atas tanah. Pelbagai hujah telah diberikan oleh pihak Syiah.
"Malangnya, ustaz-ustaz kita banyaknya hanya
bermain dengan spekulasi yang tidak berpijak kepada hujah ilmu yang sebenar.
Perbuatan sambil lewa ustaz dan ulama di Malaysia ini yang menjadi faktor
Generasi Y mudah menerima ajaran Syiah kerana pada hemat mereka, hujah orang
Syiah itu lebih berisi daripada cakap kosong orang kita.
"Penyebaran yang semakin berleluasa menjadi bukti
ulama kita ramainya hanya syok sendiri," katanya.
Seperti yang sering diuar-uarkan, Syiah itu sendiri
terdiri daripada pelbagai aliran. Antaranya, Syiah Immamiyah, Syiah Zaidiyah,
dan Syiah Ismailiyah. Persoalannya sekarang, tidak dapat dipastikan aliran
Syiah yang mana yang berkembang mekar dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Melalui dialog secara terbuka, barangkali negara dapat
mengenal pasti aliran utama yang wujud di tanah air. Ini sangat penting kerana
ada aliran Syiah yang terlalu melampau dan ajaran yang berlebih-lebihan seperti
ini tidak wajar dibiarkan merebak ke dalam masyarakat harmoni di tanah air ini.
"Mereka yang melampaui batas inilah yang akan
mengganggu-gugat keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Tuntasnya,
melalui dialog terbuka, kita dapat memahami dengan lebih jelas situasi
penyebaran Syiah di Malaysia sekarang.
"Bukankah orang Melayu sendiri mempunyai ramai
graduan daripada universiti pengajian Islam ternama seperti Al-Azhar dan
Universiti Madinah? Apa gunanya ramai graduan dari sana namun bila tiba masanya
untuk mempertahankan Ahlul Sunnah wal Jamaah, masing-masing hanya selesa
berceramah satu hala dan tidak berani berdepan dengan golongan Syiah secara
bersemuka. Inilah yang dimaksudkan sebagai syok sendiri," katanya.
Ustaz dan ulama banyaknya yang terdiri daripada
generasi sebelumnya. Mereka sudah terbiasa dengan jenis penyampaian satu hala.
Semangat anak muda zaman sekarang yang mahukan perbincangan secara interaktif
membuatkan kebanyakan mereka melihat ustaz dan ulama generasi lama kaku dan
kurang relevan pada zaman sekarang.
Kata Ahmad Faris: "Antara contoh yang dapat
dipetik di sini ialah Ustaz Fathul Bari, Dr Asri Zainal Abidin, dan Ustaz Azhar
Idrus.
"Tiga nama ini merupakan nama ulama yang
berpengaruh dalam kalangan anak muda. Kalau diperhatikan, ceramah mereka
biasanya diisi dengan sesi soal jawab. Sesi yang tidak kaku seperti inilah yang
digemari oleh generasi muda."
Terdapat beberapa nama yang telah dikenal pasti
sebagai penganut Syiah, cenderung kepada Syiah, atau paling tidak, simpati
kepada nasib komuniti Syiah dalam kalangan ahli politik mahupun ahli akademik.
Beberapa nama yang agak pernah disebut dalam
perbincangan isu Syiah ialah Ustaz Abdullah Hassan, Ustaz Muhd Kamil Zuhairi
Abdul Aziz, dan Prof. Dr. Lutfi Ibrahim.
Oleh hal yang demikian, tidak ada banyak halangan
untuk mencari pembahas untuk mewakili komuniti Syiah Malaysia sekiranya dialog
terbuka diadakan. Mari, kita realisasikan dialog ini.
No comments:
Post a Comment