Terkesima penulis sebentar apabila melihat kritikan yang dilemparkan oleh Tun Mahathir semasa menyampaikan syarahannya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya yang dianjurkan oleh Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA) semalam.
Penulis tidak berniat untuk mempertikaikan hak Tun untuk bersuara, namun pada hemat penulis apa yang dilakukan ini sangat tidak kena pada tempatnya. Pelbagai kritikan yang dilemparkan semalam, di lihat semata-mata untuk merendah-rendahkan kredibiliti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan saf kepimpinannya.
Tun cuba mempertikaikan mengenai isu rasuah, keselamatan dalam negeri dan sebagainya. Hanya satu soalan yang ingin penulis ajukan kembali kepada Tun Mahathir, apakah semasa zaman pemerintahan beliau semua isu-isu yang dibangkitkan tidak berlaku?
Penulis berkesempatan menemubual ADUN Tanjung Puteri, YB Hj. Ali Mohamad, menurut beliau sebagai mantan Perdana Menteri, Tun sepatutnya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Pak Lah. Ini kerana semua keputusan yang dibuat sepanjang pemerintahan beliau, telah dihormati dan dilaksanakan oleh semua pihak.
“Semasa Tun menjadi Perdana Menteri, semua keputusan yang dibuat, dilaksanakan dan dihormati oleh orang, oleh itu Tun sepatutnya menghormati keputusan yang dibuat oleh Pak Lah,” katanya.
YB Ali juga turut mengatakan tindakan yang dilakukan oleh Tun ini lebih kepada masalah peribadi, kerana amalan yang dipraktikkan di dalam UMNO sejak dahulu lagi ialah mengunakan saluran dan platform yang telah disediakan oleh parti.
“Walaupun terdapat perkara yang tidak dipersetujui, kita mempunyai platform sendiri untuk disuarakan, dan saya berpendapat apa yang dilakukan ini lebih kepada masalah personal” ujar beliau lagi.
Sebagai mantan Presiden UMNO, beliau seharusnya lebih peka dan arif mengenai wasilah yang di guna pakai sejak awal kewujudannya. Semasa negara heboh dengan isu reformasi yang dibangkitkan oleh Anwar suatu ketika dahulu, Tun berulang kata menggesa dan meminta ahli UMNO untuk terus bersatu di bawah naungan UMNO.
Sekiranya terdapat sebarang isu yang ingin dibangkitkan atau pun disuarakan, ahli UMNO diminta untuk menggunakan saluran yang betul dan bukannya menjatuhkan kerajaan dan UMNO melalui reformasi jalanan.
Pada ketika itu juga Tun berulang kali mengesa ahli UMNO untuk mengutamakan perjuangan parti tanpa memikirkan kepentingan individu. Beliau juga menegaskan individu dan pemimpin tidak penting kerana mereka akan datang dan pergi, namun parti akan terus wujud untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan bangsa.
Penulis juga hampir terduduk apabila mendengar syarahan beliau yang mengharapkan agar rakyat menolak kepimpinan negara dan tidak memberikan kuasa yang terlalu banyak kepada UMNO kononnya untuk mewujudkan ‘check and balance’.
Ini kerana menurut beliau sekiranya memperolehi kemenangan yang besar, pemimpin akan mengatakan semua ini disebabkan mereka dan menyebabkan mereka bermegah dengan kemenangan yang diperoleh.
Apa yang dapat penulis fahami ialah, dari nada yang disampaikan terselit perasaan iri hati. Ini mungkin di sebabkan kerana sepanjang karier politik beliau selama 22 tahun kemenangan yang sebegitu tidak pernah beliau perolehi.
Maka mungkin timbul desas-desus yang mengatakan Pak Lah lebih berjaya berbanding Tun semasa pilihanraya. Sekiranya benar sekalipun penulis merasakan Tun seharusnya berbangga kerana sekali pun Pak Lah mendapat mandat yang begitu besar ia adalah kerana Tun telah berjaya menyakinkan rakyat dengan meletakkan seorang Perdana Menteri yang berwibawa.
Berbalik kepada isu ‘check and balance’ tadi, secara tidak langsung Tun telah memberi satu signal kepada rakyat untuk menolak UMNO dalam pilihanraya akan datang. Ini kerana untuk mewujudkan ‘check and balance’ ini beberapa kerusi UMNO seharusnya diberikan kepada pembangkang.
Terkesima penulis sebentar, apabila kata-kata demikian keluar dari mulut seorang yang pernah bermati-matian memperjuangan UMNO dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara. Memikirkan natijah yang bakal terjadi sahaja sudah membuat penulis ‘kecut perut’ andainya cita-cita Tun untuk menjatuhkan UMNO ini menjadi kenyataan.
Sungguh dasyat tentangan yang di terima oleh Pak Lah ketika ini, dengan serangan yang bertali arus dari pembangkang seperti DAP dan Pas, di tambah pula dengan serangan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan terus ‘ditembak’ pula dengan ratusan bloggers yang wujud seperti cendawan selepas hujan di dalam dunia maya untuk terus mengkritik, menghina dan menjatuhkan kerajaan.
Penulis tidak berniat sama sekali untuk merendah-rendahkan Tun, namun yang menjadi persoalan sekarang ialah, Tun seolah-olah menjadi ‘tink thanker’ kepada parti pembangkang dalam mencipta isu. Golongan pembangkang tidak perlu lagi untuk memerah otak dalam mencari modal untuk menghadapi pilihanraya akan datang.
Semasa menyampaikan syarahan semalam, Tun juga dilihat telah menghina bangsa Melayu dan UMNO. Ini kerana Tun berpendapat bangsa lain pandai dan bijak untuk membuat penilaian berbanding bangsa Melayu yang kiranya diletakkan ‘tunggul kayu’ sekali pun pasti akan memperolehi kemenangan.
Sungguh rendah martabat bangsa Melayu diletakkan oleh mantan Presiden UMNO ini, hingga tergamak untuk melabelkan UMNO serendah itu. Kiranya semasa memegang tampuk pemerintahan dahulu Tun melabelkan Pas sedemikian, namun setelah melepaskan semua jawatan UMNO pula yang menjadi sasaran beliau.
Bersempena usia kemerdekaan negara yang ke 50 tahun ini, Tun telah menghadiahkan UMNO, pemimpinnya dan bangsa melayu dengan penghinaan dan kritikan.
Kita berada di gerbang kemerdekaan yang ke-50 tidak beberapa hari lagi, dan pemerintahan Pak Lah baru hendak mencapai usia kedewasaan. Masakan dapat dibandingkan dengan usia pemerintahan Tun yang telah memerintah negara selama 22 tahun.
Setelah puas mencipta dan membangunkan negara selama 22 tahun, Tun di lihat cuba untuk melumpuhkan kembali kegemilangan yang telah beliau di dirikan.
Suatu ketika dahulu di bulan yang sama, pemimpin UMNO sedang sibuk dalam menjalankan usaha-usaha untuk mencapai kemerdekaan negara. Namun ketika ini setelah 50 tahun usia kemerdekaan negara, Tun di lihat begitu bersemangat untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang di jatuhkan.
Kepada Ayahanda Tun Mahathir... Janganlah menjadi 'Melayu Mudah Lupa'
No comments:
Post a Comment