23 August 2007

PAK LAH TAK AKAN HANCURKAN UMNO

“Tugas saya menjaga kemerdekaan supaya ia tidak hilang, kekal merdeka dan berdaulat. Itulah antara ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) baru-baru ini.

Di dalam ucapan tersebut Pak Lah meminta agar jangan dipertikaikan kasihnya terhadap UMNO kerana parti keramat untuk orang Melayu (UMNO) telah sebati dengan dirinya.
“Saya adalah anak jati UMNO. Bapa saya UMNO, emak UMNO, datuk UMNO. Sayang saya kepada UMNO jangan dipersoalkan dan saya ingin nyatakan di sini sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri, saya mahu lahirkan setinggi ucapan terima kasih kepada jasa veteran yang berjuang sebelum merdeka.

Penulis merasakan Pak Lah jujur dan ikhlas semasa menuturkan kata-kata tersebut, ini kerana ia selari dengan perjalanan politik beliau sebelum ini yang setia kepada UMNO. Sekiranya diimbas kembali semasa UMNO diharamkan pada 1987 Pak Lah tidak melatah untuk keluar dari UMNO untuk bersama-sama dengan para sahabatnya dengan menyertai Semangat 46.

Kesetian Pak Lah juga tidak berbelah bagi kepada UMNO walaupun beliau dipecat dan tidak dilantik semula sebagai menteri kabinet apabila digugurkan oleh Tun Mahathir. Sepanjang berada di bawah kepimpinan Tun, Pak Lah tidak pernah sama sekali mempertikaikan apa jua bentuk keputusan yang telah dibuat.

Sebagai cucu dan anak kepada orang yang bertanggungjawab dalam mengerakkan kempen mencapai kemerdekaan negara, adalah tidak wajar kiranya beliau melakukan usaha-usaha untuk menjerumus negara ini ke lembah kehancuran seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Oleh yang demikian tidak timbul sama sekali cercaan yang dilemparkan dengan mengatakan beliau kini sedang mengemudi negara kepada kemusnahan dan meletakkan bangsa Melayu pada tahap yang paling lemah.

Umum mengetahui sejak kebelakangan ini kepimpinan Pak Lah sering di kecam dan dihina oleh beberapa pihak. Kecaman dan hinaan yang di lemparkan itu bersifat ‘personal’ dan lebih tertumpu kepada cara beliau memimpin dan membuat dasar negara.
Serangan bermula apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tindakan dan keputusan Pak Lah. Kononnya ia bakal merosakkan UMNO dan menjerumuskan orang Melayu ke tahap yang membahayakan.

Lebih mendukacitakan, kecaman yang dilemparkan itu telah dilakukan secara berterusan dan semakin hebat tatkala khabar angin mengenai pilihanraya umum bakal diadakan tidak beberapa lama lagi. Tertanya juga hati kecil penulis, kiranya benar Tun sayangkan bangsa Melayu, ada baiknya kritikan itu di buat selepas pilihanraya.

Ini kerana impak dari kritikan yang di lemparkan itu bakal mengakibatkan UMNO kembali lemah dan perpaduan orang Melayu akan kembali berpecah. Bukanlah niat mempertikaikan kesetian Tun kepada UMNO dan orang Melayu, namun tiada gunanya usaha yang Tun gemblengkan selama 22 tahun ini, andaikata ia bakal mengakibatkan UMNO hancur dan menjadi sia-sia.

Secara jujurnya penulis berpendapat, Tun mengharapkan agar cara dan gaya kepimpinan Pak Lah hendaklah mengikut selera dan acuan yang telah di tetapkan oleh beliau. Oleh yang demikian satu usaha harus dilakukan bagi mengantikan kepimpinan sedia ada dengan calon yang di fikirkan layak dan sesuai mengikut pandangan Tun Mahathir.

Oleh yang demikian setelah melihat ia tidak menepati ‘paiwaian’ seperti yang di kehendaki, beliau mula melakukan serangan demi serangan bagi menjatuhkan kredibiliti Pak Lah. Namun apa yang di bimbangkan dan menjadi cabaran maha besar kepada Tun ialah sokongan yang telah di terima oleh Pak Lah semakin hari semakin kuat.

Ianya juga telah di terjemahkan oleh rakyat dengan memberikan kemenangan yang besar kepada UMNO dan Barisan Nasional dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Di tambah pula dengan imej ‘Mr. Clean’ dan Islam Hadhari yang di bawa oleh Pak Lah telah menyakinkan kembali majoriti rakyat dan golongan atas pagar.

Maka untuk mengurangkan sokongan yang telah di beri itu, Tun terpaksa mengembleng dan mempelbagaikan usaha dalam memastikan mandat yang diberi itu dapat dikurangkan. Apabila mandat yang diberikan oleh akar umbi dapat di kurangkan, usaha untuk menonjolkan calon yang ‘sesuai’ pada perkiraan Tun lebih mudah untuk di terjemahkan.

Andaikata mandat yang ada tidak di kurangkan terlebih dahulu ada kemungkinan calon ‘favorite’ beliau akan ‘dipancung’ awal-awal dan bakal merumitkan semua gerak kerja yang telah di atur. Tun bukannya bodoh, sebagai seorang politikus yang telah bergelumang selama 22 tahun di pentas ini segala rentak dan tari politik telah begitu intim dengan jiwa beliau.

Namun masalah no ‘wahid’ yang di hadapi oleh Tun ketika ini ialah, kurangnya liputan media dalam memberikan laporan akan isu yang di bangkitkan. Beliau sedar adaikata media tidak melaporkan atau turut sama mensensasikan isu yang bangkitkan, ia akan berlalu begitu sahaja dan lama kelamaan ia akan menjadi basi dan dilupakan.

Oleh itu beliau cuba untuk menguna pakai saluran internet pula dalam mengetengahkan isu-isu yang difikirkan mampu menjatuhkan imej Pak Lah sebagai pemimpin negara. Maka di gerakkan perjumpaan demi perjumpaan dengan golongan bloggers untuk memastikan nawaitu beliau terlaksana.

Kalau di teliti ucapan yang beliau sampaikan tidak beberapa lama dahulu juga, Tun telah mengesa dan mengharapkan golongan bloggers untuk memainkan peranan untuk menjadi orang tengah dalam mengurangkan sokongan dan sekaligus mampu menjatuhkan Pak Lah.

Inilah yang penulis gerunkan, usaha yang digerakkan untuk menumpaskan Pak Lah ini secara tidak langsung akan memecah-belahkan UMNO dan menjadikan bangsa Melayu semakin lemah. Sebagai seorang yang keras hati adakalanya tindakan Tun langsung tidak mengambarkan kecintaan beliau kepada parti keramat orang Melayu ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...