13 November 2007

ANWAR PERALAT RAKYAT UNTUK MENJADI PM


Penulis berkesempatan mengikuti ceramah yang dianjurkan Pas di Markaz Talbiah, Taman Melewar pada sebelah malam sejurus selepas ‘rusuhan’ yang dilakukan oleh Bersih. Antara mereka yang di undang untuk menyampaikan ucapan dan mengulas mengenai ‘rusuhan’ yang diadakan seperti Anwar Ibrahim, Mat Sabu, dan Hadi Awang.

Apa yang penulis ingin ulas di sini ialah mengenai ucapan Anwar Ibrahim yang amat berlainan sekali nada dan rentaknya berbanding ceramah yang pernah diadakan sebelum ini selepas keluar dari ‘istana besi’ beliau di Sungai Buloh.

Pada malam itu Anwar dilihat begitu teruja sekali menghasut dan membakar semangat rakyat yang dilihat sedang berada dalam keadaan yang ‘panas’. Beliau juga telah mendesak agar Bersih sekali lagi mengadakan perhimpunan haram dalam jangka masa 2 – 3 minggu lagi dan sekali mengharapkan sokongan rakyat.

Ini kerana menurut beliau, perhimpunan haram yang diadakan baru-baru ini telah berjaya mencabar kerajaan dan kemenangan telah mereka perolehi. Dengan keputusan 1-0 ini, Anwar merasakan Bersih seharusnya mengunakan peluang untuk terus mempergunakan rakyat.

Walaupun menurut perancangan awal, Bersih mencadangkan untuk mengadakan perhimpunan ketika pilihanraya kelak andaikata permintaan mereka masih tidak di penuhi, namun Anwar telah mendesak agar ianya terus diadakan dalam masa yang terdekat ini.

Pada hematnya, Anwar dilihat begitu terdesak kerana semakin dilupakan oleh penyokong serta pendokong gerakan reformasi khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Kiranya dahulu rakyat diminta melakukan rusuhan kerana beliau telah disumbat ke dalam penjara dan apabila beliau telah dibebaskan maka isu untuk mengadakan rusuhan sudah tidak lagi relevan.

Oleh itu beliau terpaksa memikirkan isu yang lain untuk terus memaksa rakyat berada di jalanraya. Maka tindakan yang diambil oleh Bersih ini seolah-olah tepat dan kena pada masanya bagi menaikan kembali ‘status populariti’ beliau.

Namun apa yang menyedihkan, pada malam itu penulis berpeluang untuk berbicara dengan beberapa pengikut Pas yang rata-rata datang dari kampung ini. Apa yang memeranjatkan ada di antara mereka yang hanya makan nasi kosong dan air sejuk sepanjang berada di Kuala Lumpur ini. Tidak kurang juga ada diantara mereka tidur di masjid dan surau yang berhampiran kononnya untuk menuntut jihad dan pahala seperti yang dimomokkan oleh pemimpin mereka.

Sudahlah wang yang mereka perolehi hasil dari titik peluh selama ini ‘diinfakkan’ kepada tabung jihad dan derma yang acapkali diwujudkan, tidak cukup dengan sumbangan wang mereka sekali lagi dituntut untuk menjayakan matlamat politik sesetengah pemimpin atasan.

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan penulis ialah terdapatnya juga segelintir dari mereka yang mengharapkan untuk ditangkap, dipukul hinggakan sanggup kiranya terbunuh semasa menghadiri ‘rusuhan’ itu. Ini kerana pihak pimpinan Pas menegaskan andaikata ia berlaku, secara tidak langsung dapat memberikan ‘political milage’ kepada parti dan seterusnya berkemungkinan mampu untuk mengulingkan kerajaan.

Menurut mereka juga sebagai golongan yang tidak berkemampuan, cara ini secara tidak langsung merupakan sumbangan yang besar kepada Pas yang kononya berjuang untuk Islam sekaligus merupakan jalan pintas untuk mereka memperolehi jihad.

Sungguh dasyat dan kejam golongan pimpinan Pas yang telah berjaya dalam menghasut pemikiran orang kampung ini sehingga sanggup mengunakan isu agama dalam memastikan matlamat perjuangan politik mereka berjaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...