24 March 2009

Azalina, SPRM dan dot dot dot

Sudah lama rasanya, teman tidak meluangkan masa untuk mencoretkan nukilan di dalam blog ini. Bukah kerana malas, tapi lantaran terlalu sibuk dengan tugasan harian yang tidak pernah mengenal erti penghujung.


Tambahan pula sejak beberapa bulan ini, teman lebih menumpukan perhatian kepada proses yang sedang dijalankan oleh UMNO serta peralihan kuasa yang entahkan jadi entahkan tidak.


Dalam sibuk memerhatikan gelagat perwakilan UMNO yang sibuk berjumpa dengan calon-calon pemilihan UMNO, tumpuan teman tertumpu kepada siasatan yang sedang dijalankan terhadap Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Azalina Othman.


Baru-baru ini media arus perdana nyata begitu ghairah memaparkan plot-plot isu yang melanda Azalina dan Setiausaha Politiknya. Tidak ketinggaln para pegawai di Kementerian juga terheret sama di dalam isu yang begitu menjadi buah mulut orang ketika ini.


Sebelum teman mengulas berkenaan isu yang diperkatakan itu, ada baiknya teman memaparkan pandangan dan pendapat rakan-rakan mengenai isu ini. Rata-rata pengamal politk negara yang ditemui teman berpendapat, isu yang melanda Azalina ini adalah kerana permainan orang. Umum mengetahui, di musim pemilihan pucuk pimpinan parti keramat orang Melayu ini, maka aktiviti berkempen sedikit sebanyak mesti berlaku.


Kerana semua yang telah menyatakan kesudian untuk bertanding dan mempertahankan jawatan sudah pasti mengharapkan kemenangan. Mana ada orang yang bertanding mengharapkan kekalahan. Melainkan mereka bukan dari kalangan dan jenis yang biasa ditemui.


Oleh itu tipulah kiranya, ada yang mengatakan semua calon yang menawarkan diri tidak langsung berkempen, tambahan bulan pemilihan telah menampakkan wajahnya. Tradisi berjumpa dengan perwakilan, bersembang, belanja makan dan minum, mengedarkan kad yang memaparkan no calon adalah perkara biasa dan adat ketika berkempen.


Namun persoalannya, mengapa ada yang cuba mengekploitasikan isu ini? Seolah-olah wujudnya 'double standard' untuk calon-calon tertentu. Seandainya calon itu disenangi, maka jangan diapa-apakan. Dan sekiranya bukan calon pilihan, cuba cari dan cungkil sebarang kelemahan yang ada. Yang menjadikan ia tambah menarik, mereka ini cuba berselindung disebalik Lembaga Disiplin bagi mengarahkan serta memastikan calon-calon ini untuk menarik diri.


Sebagai contoh, teman sempat membuka laman web Ahli Parlimen Wangsa Maju dari PKR, yang secara jujur mengatakan semua yang dilaporkan itu tiada kebenaranya dan ada kemungkinan wujudnya permainan pihak-pihak tertentu yang berniat jahat. Tidak cukup dengan itu, facebook Azalina juga penuh dengan kata-kata semangat dan pandangan dari mereka-mereka yang merasakan perkara yang sama.


Bukan niat untuk menuduh sesiapa, jauh sekali menganggu siasatan yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun ia hanya sekadar luahan hati yang sedih dengan malapetaka yang sedang melanda UMNO ketika ini.


Sejarah telah membuktikan, runtuhnya sesebuah empayar hebat itu bukan kerana mereka tidak kuat, tapi wujudnya tangan-tangan dari dalam yang mencarik sedikit demi sedikit sekaligus menjerumuskan empayar itu kearah kehancuran. Dan itulah yang sedang dihadapi oleh UMNO ketika ini.

1 comment:

kesian said...

kesian dia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...