02 April 2009

Ahli MT tidak semestinya jadi anggota Kabinet

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO Khamis lalu memperlihatkan kombinasi yang cukup baik antara generasi baru dan lama.

Ramai pemerhati berpendapat ia merupakan adunan muka baru dan lama yang diharapkan dapat membawa perubahan kepada parti seperti yang ditekankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemilihan orang muda seperti Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selain muka baru seperti Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Ismail Sabri Yaakob, Noh Omar, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Datuk Shaziman Abu Mansur, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Bung Moktar Radin menggambarkan perubahan yang diinginkan.

Mereka ini sudah pasti akan melengkapi orang lama yang berpengalaman seperti Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis, Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Seri Musa Aman dan Dr. Norraesah Mohamad.

Bagi kira-kira tiga juta ahli UMNO di seluruh negara tentunya sangat berharap barisan yang dipilih itu merupakan saf terbaik yang telah diberikan mandat oleh perwakilan untuk membantu Presiden mengukuh dan mengembalikan semula kegemilangan parti.

Ahli-ahli di seluruh negara yang hanya mampu melihat dari jauh itu juga tentu berharap perwakilan yang mengundi kelmarin telah melaksanakan mandat yang diberikan oleh cawangan dan bahagian dengan penuh amanah dan bijaksana.

Andai kata mandat akar umbi ini tidak tertunai maka natijahnya ialah sokongan terhadap parti akan tergugat.

Sebab itu ramai pihak berharap barisan baru MT benar-benar merupakan manifestasi akar umbi yang mahukan perubahan dan mahukan mereka yang dipilih adalah pemimpin yang mewakili akar umbi.

Namun keputusan telah dibuat. Pemimpin sudah dipilih. Barisan baru MT UMNO telah diketahui.

Kini merupakan masa untuk membuktikan bahawa ia adalah barisan terbaik dan berwibawa yang mampu membawa perubahan dan seterusnya mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada UMNO.

Bagi anggota MT yang juga ahli Parlimen, buang dulu jauh-jauh cita-cita untuk menganggotai Kabinet.

Berada dalam MT UMNO tidak bermakna mereka perlu berada dalam Kabinet.

Ada sesetengah pemerhati berpendapat jika ahli MT UMNO dilantik menganggotai Kabinet maka peranan mereka terhadap parti dan ahli akan terhad.

Apabila berada dalam kerajaan sudah tentu sukar bagi mereka mengkritik atau membetulkan dasar kerajaan yang kurang menguntungkan orang Melayu.

Dalam kerajaan mereka adalah pembuat dasar negara yang tidak boleh memihak kepada kepentingan Melayu semata-mata.

Jika ini berlaku maka ia dianggap satu kerugian kepada UMNO kerana pemimpinnya tidak boleh berperanan sebagai pendesak.

Tetapi jika sebahagian daripada ahli MT ini berada di luar kerajaan, UMNO akan mempunyai dua pasukan yang kuat.

Satu pasukan dalam kerajaan yang akan memastikan kepentingan Melayu diutamakan dalam setiap dasar yang dirancang.

Sementara satu pasukan lagi ialah pasukan ahli di luar kerajaan yang akan menjadi pemerhati dan pengawas kepada setiap dasar yang dilaksanakan supaya tidak meminggirkan kepentingan agama dan bangsa.

Dengan itu akan wujud konsep semak dan imbang atau check and balance antara MT UMNO dan Kabinet kerajaan.

Dikhuatiri jika ahli MT berada dalam kerajaan, peranan semak dan imbang tidak akan berlaku. Malah mereka juga tidak dapat berperanan seperti yang diharapkan oleh akar umbi.

Kalau sudah menjadi anggota kerajaan mereka tidak boleh mengkritik dasar yang telah diluluskan secara konsensus dalam Kabinet.

Sebab itu, para pemerhati berharap barisan MT yang baru dilantik perlu mengutamakan kepentingan parti daripada nafsu sendiri.

Mereka dipilih oleh UMNO untuk memperjuang parti dan nasib orang Melayu di negara ini terutama lebih tiga juga ahli parti.

Sebagai ahli MT mereka perlu mengutamakan khidmat untuk ahli-ahli UMNO dan orang Melayu. Sebab itu keutamaan mereka perlu betul. Jangan menggunakan kedudukan dalam MT untuk memburu jawatan Kabinet semata-mata.

Jika jawatan dalam Kabinet akan mengehadkan pergerakan serta sumbangan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu maka lebih baik mereka berada di luar kerajaan.

Kelebihan UMNO untuk membentuk dua pasukan yang mantap di dalam dan di luar kerajaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya jika kepimpinan parti benar-benar mahu membawa perubahan.

Bayangkan jika semua ahli MT adalah anggota Kabinet. Mesyuarat MT sudah tentu akan jadi lebih kurang sama dengan mesyuarat Kabinet.

Sebab itu UMNO perlu meneliti perkara ini secara terperinci. Jika ingin melakukan perubahan, ini merupakan salah satu elemen yang perlu difikirkan.

Pisahkan MT dan Kabinet supaya UMNO mempunya kuasa pendesak yang kuat dan tidak boleh dipertikaikan oleh rakan-rakan komponen lain.

Sekiranya, ahli MT ini merupakan anggota kerajaan, jika mereka mendesak sesuatu yang membabitkan kepentingan Melayu sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakan komponen.

Sebagai menteri misalnya, apa yang dilakukan mesti untuk kepentingan semua. Bukan untuk Melayu semata-mata.

Sebab itu dibimbangi ahli MT yang berada dalam Kabinet akan terikat dan tidak mampu menyuarakan hasrat dan keperluan akar umbi dengan berkesan.

Dan lagi mereka yang telah dibuktikan mampu melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta memberikan khidmat yang cemerlang perlu dikekalkan. Ini penting dalam memastikan sokongan rakyat akan kembali kepada kerajaan kerana mereka yang berada di kabinet mampu melaksanakan amanah yang diberi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...