25 October 2007

APAKAH COSMONOUT MALAYSIA COCONOUT?

Dikala seluruh umat Islam seluruh dunia bergembira menyambut Syawal, rakyat Malaysia umpama mendapat bonus apabila memperolehi kegembiraan berganda kerana misi ‘Angkasawan Malaysia’yang pertama telah terlaksana dengan jayanya.

Misi yang dijalankan ini telah dilakukan di dalam bulan yang mulia, iaitu Ramadan, ketika umat Islam di seluruh dunia sedang melakukan ibadat puasa, seterusnya menyambut Hari Raya, hari kemenangan bagi umat Islam yang berpuasa Ramadan.

Namun apa yang menyedihkan tatkala seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian ini, ada segelintir umat yang masih terbelenggu pemikirannya sanggup memperlecehkan dan memperkecil-kecilkan usaha yang dijalankan ini dengan pelbagai cerita.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan ulasan yang diberikan oleh beberapa buah akhbar luar negara yang mengatakan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor hanya layak dikenali sebagai penumpang ke angkasa dan bukannya Cosmonout.

Dalam satu petikan daripada Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman yang mengkritik projek ini berpendapat bahawa rakyat Malaysia hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

Itu belum diambil kira mengenai kerenah akhbar Indonesia yang hanya meyiarkan mengenai kejayaan dan keupayaan Malaysia ini sebagai tajuk kecil dan hanya tiga akhbar sahaja yang melaporkan berita mengenainya.

Namun itu bukanlah satu perkara yang pelik buat penulis kerana mereka merupakan ‘orang luar’ dan sudah tentulah tidak menunjukkan minat untuk mengiktiraf kerajaan Malaysia ini. Tapi apabila segelintir rakyat juga bersama bersekongkol dengan anasir luar untuk mempertikai kejayaan ini ia adalah merupakan satu perkara yang tidak dapat di terima.

Golongan ini mempertikaikan misi penghantaran Angkasawan Malaysia ini merupakan satu pembaziran kerana membelanjakan sebanyak RM95 juta duit rakyat semata-mata untuk membuat ujikaji 'bodoh' di angkasa lepas yang telah pun dibuat oleh angsawan lain sebelumnnya.

Mereka mempertikaikan kononnya ujikaji yang dijalankan boleh menjadikan tawa negara asing kerana menjalankan kajian seperti putaran gasing, putaran yoyo, catuan Strawberry, campuran minyak dan air dan kelajuan bola berbilang saiz.

Hishamuddin Rais (penulis tamu di Malaysia Today) pula mengatakan semuanya kelentong ini tidak ada sangkut-paut dengan keilmuan sains jauh lagi dalam bidang teknologi. Teknologi kepala bana apa? Kita hanya membeli tiket untuk naik Soyuz. Ini samalah macam naik Bas Mini dan kemudian dalam bas ini kita buat panggilan telefon ke rumah. Bas buatan Jepun. Telefon bimbit buatan Sweden. Kutu berahak penyelidikan apa? Tidak percaya apa yang saya tulis sila saman akhbar Jepun.

Ternyata mereka yang mempertikai misi ini adalah terdiri daripada mereka yang ‘jumud’ pemikirannya dan mempunyai agenda politik semata-mata.

Umum mengetahui selama 10 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sheikh Muszaphar telah menjalankan eksperimen membabitkan kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi kemungkinan mencari penawar HIV/AIDS.

Menggunakan sepenuhnya kelebihan keadaan mikrograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan itu akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.

Selain dari itu pengalaman angkasawan negara, melaksanakan ibadat solat dan puasa sepanjang 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan dibukukan, bagi membolehkan ia dijadikan rujukan oleh angkasawan Islam Malaysia atau dari negara lain dalam misi angkasa lepas pada masa akan datang.

Ia juga sebagai garis panduan yang membabitkan cara beristinjak, mengangkat hadas kecil dan besar, penentuan kiblat dan waktu solat, cara menunaikan solat, pelaksanaan ibadat puasa dan pengurusan jenazah.

Ia juga membabitkan hal yang berkaitan pemakanan, etika berpakaian dan etika bermusafir.
Ditambah pula usaha yang dijalankan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menghasilkan makanan angkasawan tempatan sebagai salah satu uji kaji.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang diamanahkan untuk menjalankan kajian mengenai makanan angkasawan telah berjaya menghasilkan makanan bercirikan Malaysia yang sesuai dengan keadaan persekitaran di ISS.

Namun begitu dalam kerakusan golongan ini mengkritik usaha ini, Nik Aziz tampil mempertahankan usaha kerajaan ini. Menteri Besar Kelantan itu berkata, usaha Malaysia menghantar angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, ke angkasa lepas sebagai untuk mencari ilmu bukanlah pembaziran kerana ia dituntut agama.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas, berkata kajian mengenai langit dan bumi yang dijalankan menerusi program angkasa lepas adalah perintah Allah kepada hambanya.

Rata-rata rakyat Arab Saudi juga melahirkan rasa kagum dan syukur di atas kejayaan Malaysia itu. Mereka yang kebanyakannya telah melawat Malaysia dan memahami budaya dan cara hidup rakyat Malaysia, amat menyanjung tinggi kejayaan negara.

Angkasawan Malaysia merupakan angkasawan ketiga Islam yang menerokai angkasa lepas selepas Putera Raja Sultan bin Salman dan wanita keturunan Iran yang melancong ke angkasa lepas tidak lama dulu. Kini nama Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan tercatat di dalam sejarah sebagai angkasawan ketiga Islam berlepas ke angkasa lepas membawa misi negara sekali gus nama umat Islam.

Makna bagi pelayaran Dr. Sheikh Muszaphar ialah bahawa orang Islam di Malaysia bukan sekadar mampu untuk menyambut Hari Raya bersuka ria tetapi turut serta dalam penerokaan angkasa lepas dengan penuh keilmuan. Maknanya angkasawan negara ini bukan sekadar penumpang tetapi adalah seorang saintis yang mempunyai pendidikan tinggi formal berwibawa.

‘‘Bukanlah kerja kita untuk melancong atau untuk melihat Bumi dari angkasa lepas. Tujuan kita jauh lebih besar iaitu untuk menjalankan penyelidikan, dan hasil penyelidikan kita itu amat dinanti-nantikan oleh negara-negara Eropah dan Jepun.‘‘Ini langkah permulaan kita yang boleh dianggap satu percubaan yang besar dan yang berjaya dilaksanakan oleh seorang rakyat Malaysia yang berkelayakan,” kata Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Badawi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...