17 December 2012

KONSPIRASI SINGKIRKAN KARPAL DARI DAP




Kuala Lumpur (SGB) – Pengerusi DAP Kebangsaan, DAP Karpal  Singh terus kekal memimpin parti itu untuk tempoh tiga tahun lagi setelah sekali lagi dilantik memegang jawatan berkenaan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini.


Karpal yang tidak digemari oleh beberapa pemimpin DAP sebelum ini, dilantik setelah memenangi CEC dan mendapat undi ketiga tertinggi pada pemilihan Kongres Kebangsaan ke-16 DAP yang berlangsung semalam.

Seorang pemimpin DAP sebelum ini mendedahkan wujudnya konspirasi untuk menyingkirkan Karpal Singh daripada terus mempertahankan kedudukan beliau dalam CEC.

Pengerusi DAP Taman Chi Liung Indah, K. Yogasigamany mendakwa, konspirasi itu didalangi sekumpulan pemimpin DAP yang bercita-cita tinggi menawan Putrajaya tetapi gusar dengan kehadiran Karpal yang boleh mengugat hasrat mereka.
 
"Kumpulan ini diketuai seorang pemimpin wanita yang sudah mula menjelajah ke seluruh Selangor sejak sebulan lalu bagi mendapatkan sokongan serta undi untuk beliau, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP lain dalam pemilihan parti nanti.
 
"Namun, nama Karpal langsung tidak tersenarai dalam 'kempen' mereka. Mesej kumpulan ini sangat jelas bahawa mereka tidak mahu Karpal diundi dalam pemilihan CEC kali ini," katanya.
Bekas Pengerusi DAP Cawangan Pantai Sepang, Selangor, R. Vellasamy pula ketika ditemui mendakwa, Dinasti Lim sedang menerima tekanan dari peringkat akar umbi yang mahu Karpal terus kekal menerajui kepimpinan tertinggi parti tersebut. Menurutnya, akibat tekanan itu peluang menjatuhkan Karpal mungkin menjadi sukar. 

"Konspirasi menjatuhkan Karpal akan tetap berlaku, jika kali ini beliau berjaya mempertahankan jawatan, mungkin dalam pemilihan akan datang beliau akan disingkirkan. 

Jelas Vellasamy, lebih ramai akar umbi kini mula bangkit dan mempersoalkan cara pentadbiran DAP khususnya oleh Dinasti Lim yang semakin kritikal serta tidak demokratik. 

"Ketika ini, kepimpinan tertinggi DAP sendiri sudah mempunyai beberapa puak yang saling berebut kuasa terutamanya di Selangor. Perebutan kuasa ini semakin hari semakin teruk.

"DAP sedang mempunyai masalah dalaman yang serius dan perlu ditangani, sekiranya sekali lagi pemimpin tertinggi membelakangi suara akar umbi, lebih ramai ahli akan bertindak keluar parti," ujarnya. 

Karpal ketika diminta mengulas mengenai wujudnya rancangan untuk menyingkirkan beliau mengatakan tidak takut dengan perkembangan itu.

"Saya juga mengetahui rancangan untuk menggulingkan saya. Tetapi saya tidak takut, saya telah membuktikan diri saya dan rekod saya bercakap untuk dirinya sendiri," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...