13 December 2012

TAK PUAS HATI, KARPAL SEKALI LAGI SELAR PAS



Kuala Lumpur (SGB) – Ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan yang dirasakan cuba menguatkuasakan undang-undang yang mirip dengan Islam Pengerusi DAP, Karpal Singh menyelar pimpinan Pas semalam. Semalam, Karpal dilaporkan meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tambil untuk menyuarakan secara terbuka pendirian parti itu mengenai isu pengasingan gender.


Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini, dikritik hebat oleh Karpal Singh dan pimpinan DAP ekoran berhubung pertikaian isu salon yang melarang wanita daripada mengunting rambut lelaki di Kelantan
Hadi melalui kenyataan yang dibacakan oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub di lobi bangunan Parlimen baru-baru ini berkata, Pas pusat percaya kerajaan Kelantan tidak bermaksud untuk meluaskan pelaksanaan apa-apa peruntukan berkaitan perundangan moral Islam ke atas orang bukan Islam.

Karpal yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor dilaporkan menyelar, sikap berdiam diri exco Kelantan dalam mengkaji semula peraturan tersebut. Beliau turut mengatakan tindakan tersebut merupakan tindakan sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

“Pemimpin-pemimpin Pas perlu sedar bahawa sikap membisu bukan jalan penyelesaian dan ia hanya memburukkan keadaan. Peraturan itu perlu dihapuskan dengan segera,” katanya.

Pemuda Pas sebelum ini juga pernah melahirkan kekecewaan mereka ekoran tindakan ‘sesetengah pihak’, yang membangkitkan isu tersebut atas nama hak asasi serta kebebasan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perlu difahami, peraturan sebagaimana yang disyaratkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu bukanlah merupakan undang-undang Islam, tetapi peraturan sivil yang berlandaskan panduan syariat agama.

Seterusnya, Karpal turut menyelar Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan yang dikatakan bertanggungjawab membuat keputusan tersebut

“Bagi beliau (Takiyuddin) peraturan itu bukan satu isu dan beliau berkata undang-undang itu dikuat kuasa sejak 1991 selaras dengan slogan kerajaan Pas Kelantan ‘Membangun Bersama Islam’ yang merangkumi orang Islam dan bukan Islam, dan pada 1999 syarat yang lebih ketat dikenakan oleh Majlis,” katanya lagi.

Karpal berkata, kenyataan itu pastinya menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan Islam bahawa cubaan sedang dibuat untuk melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam yang akhirnya bermakna pengenalan hudud kepada bukan Islam.

“Rasional dalam melaksanakan undang-undang itu kepada bukan Islam ialah seperti diakui Takiyuddin, sejajar dengan slogan membangun bersama Islam yang bermakna melibatkan pengenalan nilai-nilai Islam terhadap bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, Pas perlu mengambil tindakan segera mengenai isu itu memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Karpal adalah merupakan pemimpin DAP yang paling lantang menentang konsep Negara Islam dan hudud. Beliau juga pernah menimbulkan kontravesi di dalam negera beberapa tahun dahulu apabila mengeluarkan kenyataan “Langkah mayat aku dulu” untuk melaksanakan Negara Islam dan hudud.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...