Kuala
Nerang – Kecewa dengan hala tuju dan perjuangan parti sekumpulan anak
muda antara yang mengambil keputusan nekad dengan keluar dari pada Pas.
Mereka merupakan antara 16 anggota Pas dari Kampung Genting Palas dan
Bendang Hilir yang bangkit menyatakan pendirian untuk keluar parti dan
menyertai Umno.
Penyerahan borang keahlian tersebut telah
diadakan di pekarangan rumah Pengerusi JKKKP Kampung Genting Palas,
Kuala Nerang baru-baru ini. Ia secara tidak langsung meperlihatkan
permulaan gelombang anak muda yang semakin berani untuk bangkit
menyatakan pendirian mereka terhadap pimpinan pakatan pembangkang
khususnya di Kedah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu, Dato
Seri Mahdzir Khalid menyatakan UMNO mengamalkan dasar keterbukaan dan
tidak menyekat mana-mana rakyat untuk membuat pilihan serta yakin
perkembangan itu mengukuhkan lagi Umno dan BN khususnya di Padang Terap.
“Saya dapat tahu ramai lagi bakal keluar
PAS untuk menyertai kita. Saya mengalu-alukan mereka kerana Umno tidak
sekali-kali menutup pintu atau menghalang sesiapa sahaja yang mahu
berjuang bersama-sama kita,” katanya.
Mahdzir berkata penyertaan ramai orang
muda ke dalam Umno menyerlahkan kesedaran generasi hari ini bahawa
mereka memahami perjuangan parti itu dan turut merakamkan ucapan terima
kasih kepada anggota PAS yang menyokong perjuangan Umno.
Manakala dua orang bekas ahli PAS tegar
yang masuk UMNO ketika ditemuramah pula berkata, mereka kecewa dengan
perjuangan PAS yang sekarang ini sudah tersasar daripada perjuangan
asal. Malah mereka turut menaruh keyakinan penuh terhadap kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk membawa negara
ini di atas landasan yang benar.
Malah menurut mereka lagi, PAS sekarang
ini tidak lagi mengikut suara majoriti sebaliknya lebih tertumpu kepada
kehendak seseorang. Dan seseorang itu pula mengawal PAS walaupun bukan
ahli dan bukannya kepimpinan utama. Ketakutan pemimpin peringkat
pertengahan dalam PAS untuk mengkritik kerana bimbangkan periuk nasi
serta masa hadapan politik mereka, telah menjadi kayu pengukur sebenar
tentang perjuangan Islam yang kerap kali dicanang-canangkan oleh PAS.
Mohd Shukri Che Dam, 23, berkata beliau
menyertai PAS tiga tahun lepas, namun kecewa selepas mendapati
perjuangan parti itu dipengaruhi pemimpin tertentu, bukan kehendak
majoriti.
“Kami golongan muda sangat kecewa dengan
perkembangan ini dan sebab itu memilih Umno yang lebih konsisten
memperjuangkan Islam untuk meneruskan agenda memartabatkan agama dan
bangsa Melayu,” katanya yang ditemui.
Bagi Zakiah Arshad, 32, beliau kecewa
kerana pemimpin PAS di kawasannya tidak mengendahkan kebajikan anggota,
terutama yang memerlukan bantuan. Beliau yang menyertai Umno bersama
ibunya, Zainab Ahmad, 58, berkata tidak ada seorang pun pemimpin PAS
menziarahi bapanya Arshad Husin, 78, yang sedang sakit.
Zakiah juga berkata lima lagi adik beradiknya akan menyusul keluar parti itu dan menyertai Umno.
No comments:
Post a Comment