12 December 2012

INDAHNYA HIDUP BILA MELAYU BERSATU


Melayu. Apabila sebut nama bangsa ini, kebanyakan orang akan berasa gelisah. Katanya juga 'Melayu' adalah sesuatu yang takut untuk disebut. Sesuatu yang tidak menjamin syurga dan buang masa untuk diperjuangkan. Memperjuangkan Melayu juga selalu dikatakan Ultra-Melayu dan rasis. Melayu juga selalu dikatakan sebagai UMNO dan berjuang bersama UMNO dituduh sebagai seorang sekular.


ISLAM. Adalah agama yang suci. Mengamalkannya adalah sesuatu yang diibaratkan sebagai memegang bara api bak kata Nabi kita, Nabi Muhammad SAW. 

Orang Melayu dahulunya menganut agama Hindu. Segalanya telah berubah apabila Raja Parameswara melihat pendakwah Arab solat di tepi pantai. Dengan hidayah daripada Allah, Raja Parameswara pun menganut agama Islam dan seluruh hamba rakyat turut memeluk agama Islam.

Semenjak pengislaman Sultan Melaka itulah bangsa Melayu diangkat dan dimuliakan oleh Allah sebagai bangsa yang bertamadun. Bangsa Melayu mengamalkan Islam, memuliakan Nabi dan mengikut sunnah yang Nabi Muhammad SAW ajarkan kepada kita.

Dengan Nur Islam, Melaka menjadi tempat penyebaran Islam di Nusantara dengan datangnya para pendakwah Islam ke rantau ini. 

Alhamdulillah. Melayu tetap teguh dengan Islam walaupun diserang dan dijajah oleh penjajah yang bukan beragama Islam. 

Si penjajah bertungkus-lumus membawa mesej 'Gospel, Glory, Gold' dan membawa mubaligh-mubaligh Kristian bagi memurtadkan bangsa Melayu. Tetapi perkara itu tidak berjaya secara keseluruhannya dan Melayu tetap dengan agama Islam.

Mungkin juga ketika itu bangsa Melayu memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan seperti taatnya Hang Tuah kepada Sultan Melaka.

Melayu sekali lagi diperkuatkan ketika Perlembagaan kemerdekaan ingin ditulis. Definisi Melayu diletakkan sebagai seorang yang wajib beragama Islam. Perlembagaan itu menghalang orang Melayu daripada murtad mengikut undang-undang. Orang Melayu tidak boleh menukar agama sesuka hati dan bangsa lain bebas mengamalkan agamanya sendiri dan mereka dialu-alukan menganut agama Islam yang suci ini.

Majoriti orang Islam di Malaysia adalah berbangsa Melayu. Sangat sedikit jika dihitung orang Islam yang berbangsa India dan Cina. Berapa sangatlah masjid-masjid India dan masjid Cina dibina di Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu adalah pendokong kuat kepada agama Islam di Malaysia.

Sesuatu yang difikirkan oleh musuh Islam sudah berjaya menusuk ke dalam sanubari orang Melayu bagi menghancurkan Islam. Bagi musuh Islam, Islam dapat dihapuskan dengan perpecahan sesama Melayu dan jarum-jarum kafir mudah untuk ditusuki selepas perpaduan itu tidak wujud.

SEJARAH PERPECAHAN MELAYU DI MALAYSIA
RAMAI yang tidak tahu tentang sejarah penubuhan Pas, hakikatnya ramai yang mengerti Pas adalah parti yang mendokong perjuangan Islam dan disertai oleh para ulama serta selalu ditekan oleh UMNO.

Melayu sudah mula berpecah apabila Ustaz Ahmad Fuad Hassan kalah dengan Tunku Abdul Rahman dalam merebut jawatan Yang Di-Pertua Agung UMNO (sekarang Presiden). 

Tunku mendapat 57 undi manakala Ustaz Ahmad Fuad hanya mendapat 11 undi.

Akibat kecewa dengan kekalahan itu, Ustaz Ahmad Fuad Hassan yang ketika itu menjawat jawatan Pengerusi Biro Agama UMNO Tanah Melayu dan juga rakan rapat kepada Dato' Onn Jaafar (keluar UMNO kerana cadangan membuka keahlian UMNO kepada bangsa lain ditolak ahli parti) bertindak menubuhkan sebuah lagi parti yang bernama Pan-Malayan Islamic Party dan kini dikenali sebagai Pas.

British melihat perkara ini dapat melemahkan bangsa Melayu kerana mencipta perpecahan sesama bangsa Melayu lantas meluluskan penubuhan parti tersebut. 

Pada tahun 1951, terjadilah perpecahan umat Melayu kepada dua kumpulan hanya kerana kecewa dalam pemilihan merebut jawatan.

Setelah bertahun-tahun UMNO dan Pas berpecah selain pernah bersatu pada zaman Tun Razak (1974), kini sudah ada tiga parti yang memecahkan bangsa Melayu iaitu PKR.

Parti ini dilihat sebagai parti payung terjun dan nampak perjuangannya hanya untuk individu. 

Parti ini ditubuhkan pada tahun 1999 atas nama Parti Keadilan Nasional semata-mata memperjuangkan individu yang bernama Anwar Ibrahim.

Seperti yang kita maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam UMNO dan hampir menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila bersara. 

Pastinya pengaruh itu dapat memecahbelahkan orang Melayu kepada tiga kumpulan apabila Anwar dipecat daripada UMNO. 

Ditambah pula dengan kelebihan berpidato dan memikat hati pendengar, umat Melayu semakin berpecah hingga ke hari ini.

Melalui parti yang baru ditubuhkan itu bolehlah mereka jadi Presiden. 

Anda juga boleh lihat sejarah Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim), tanya beliau kenapa keluar UMNO? Adakah kerana tak dapat jawatan dalam UMNO lepas itu lari masuk PKR?
Tapi untunglah beliau, dalam PKR dapat jadi MB Selangor, kalau dalam UMNO belum tentu lagi dapat jadi Menteri Besar.

Orang Melayu adalah majoriti di Malaysia. Tetapi apabila sudah berpecah kepada tiga, majoriti itu boleh menjadi minoriti yang menjadikan bangsa Melayu lemah daripada bangsa lain yang minoriti menjadikan mereka kuasa yang majoriti.

SALAHKAH MEMPERJUANGKAN BANGSA?
APA yang sering saya dengar adalah "Kenapa memperjuangkan bangsa, bukankah perjuangkan Islam itu lebih bagus dan diredhai Allah?" Memang benar, Allah tidak melihat hamba-Nya daripada bangsa apa kita dilahirkan, ataupun wajah kita yang cantik dan tampan, tetapi Allah melihat daripada taqwa hamba kepada-Nya.

Bagi saya mereka tidak faham apa maksud BANGSA dan AGAMA. 

Mereka sering dimomokkan oleh Pas agar meninggalkan perjuangan bangsa. 

Saya tidak bersetuju dengan ideologi pembawakan 'agama' semata-mata. Saya suka menggabungkan elemen Islam dan Melayu kerana kedua-dua itu adalah sealiran untuk diperjuangkan.

Tetapi apabila saya berkata kita juga perlu memperjuangkan bangsa Melayu, saya dilabel sebagai pecacai UMNO dan seorang sekular. Padahal saya tidak pernah masuk UMNO dan UMNO tidak pernah pula membayar saya untuk bercakap seperti itu.

Islam adalah cara hidup yang Allah redhai. Diciptakan kita manusia hanyalah untuk beribadat kepada Allah dan cara hidup yang Allah redha adalah dengan Islam mengikut cara Rasulullah dalam beribadah.

Jika kita dilahirkan dalam bangsa lain yang kafir, belum tentu Allah memberi kita peluang memeluk agama Islam. Berapa ramai kawan-kawan kita yang lahir bukan Islam, hidup secara kafir dan mati juga dalam keadaan tidak mentauhidkan Allah? 

Oleh kerana itu, saya bersyukur kerana dilahirkan dalam bangsa Melayu yang Allah sudah muliakan dengan Islam, sekurang-kurangnya Allah sudah beri nikmat Islam untuk kita amalkan dalam hidup kita menuju syurga-Nya.

Bagaimana pula dengan memperjuangkan bangsa? Adakah salah?

"JIKA SAYA ORANG ASLI"
SAYA suka berkongsi tentang tamsilan yang selalu Ustaz Kazim Elias ceritakan sebagai perlambangaan dalam perjuangan bangsa.

Kata Ustaz Kazim: Saya ini Orang Asli. Saya duduk dalam kampung yang serba kekurangan. Saya belajar di sekolah rendah, selepas itu masuk sekolah menengah dan masuk Universiti.

Habis Universiti saya dapat pekerjaan yang baik. Bila sudah senang, saya mahu pulang semula ke kampung saya. Seperti dahulu, kampung saya masih serba kekurangan. Tiada elektrik, tiada bekalan air yang bersih, tiada jalan bertar dan tiada sekolah yang sempurna.

Saya sebagai seorang yang berkedudukan dan berpengaruh, pasti mahukan perubahan kepada kampung saya dan memberi kemudahan kepada orang kampung saya. 

Oleh kerana itu, saya perlu memperjuangkan nasib bangsa saya kepada kerajaan untuk membina jalan raya, menyalurkan elektrik ke dalam kampung saya, memberi biasiswa dan bantuan persekolahan kepada anak bangsa saya, Orang Asli.

Apa yang dibuat itu adalah satu perjuangan bagi memastikan bangsa saya (Orang Asli) hidup senang dan mendapat pembelaan.

PERJUANGAN BANGSA ITULAH MEREKA DAPAT KESENANGAN
SELAMA bertahun-tahun, UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Berkat usaha itulah ramai anak-anak Melayu dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Lihat sahaja bukti-bukti di dalam Pas, terlalu ramai profesional yang berjaya atas perjuangan UMNO membela mereka.

Ijazah Kedoktoran itu siapa yang biaya?

Belum lagi dikira bagi mereka yang belajar di universiti di luar negara dan mendapat biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran di Mesir dan sebagainya. 

Jika UMNO tidak berfikir tentang agama, sudah lama tidak ada anak Melayu yang dihantar belajar agama di luar negara.

Dalam perjuangan bangsa itulah kita bangsa Melayu menikmati pelbagai kesenangan sekarang.
Disebabkan itu jugalah UMNO dicerca dan dituduh sebagai parti yang tidak buat Islam.

Yang hanya dikatakan pejuang Islam adalah orang yang memakai serban dan jubah, juga bagi mereka yang membaca ayat al-Quran dalam ceramah-ceramah sahaja. Islam bukan hadir hanya untuk menghukum manusia dengan hukum Hudud, tetapi Islam adalah cara hidup berkasih sayang dan mentauhidkan Allah.

Hanya kerana kita di Malaysia masih lagi belum mengamalkan hukum Hudud sudah dituduh tidak Islam. Mereka lupa, buat jalan raya adalah syariat, buat sekolah adalah syariat, menyambung paip air adalah syariat, bina masjid adalah syariat dan membina Bank Islam adalah syariat. Cuma UMNO jarang mengungkit apa yang mereka buat adalah sebuah perjuangan untuk agama Islam.

Oleh itu, salahkah memperjuangkan bangsa? Hebat sangatkan perjuangan Islam Pas selama ini?
Apa yang kita boleh banggakan dengan 'perjuangan Islam' yang Pas banggakan itu? Adakah hanya dibanggakan dengan banyaknya ceramah dan mentarbiah Abby Abadi? Sudah cukupkah negeri Kelantan dengan pentadbiran Pas? Jangan fikir Islam itu hanya ceramah dan ceramah, tanpa memikirkan tentang fardhu kifayah.

INDAHNYA HIDUP MELAYU BERSATU
BAYANGKAN bagaimana Rasululullah SAW dapat mentadbir Madinah dengan baik jika penduduk Madinah tidak hidup secara harmoni? 

Bayangkan jika Aus dan Khazraj tidak disaudarakan oleh Nabi sebagai kaum Ansar? 

Bayangkan juga jika kaum Ansar tidak menerima kaum Muhajirin Mekah di tanah Madinah? 

Bolehkah Islam itu dilaksanakan dengan baik?

Jawapan yang mudah mengapa Islam tidak dapat ditegakkan secara total di Malaysia adalah kerana umat Islam khususnya orang Melayu tidak bersatu.

Jangan mimpi UMNO nak laksanakan Islam dengan baik tanpa bantuan daripada Pas. Dan Pas juga jangan berangan nak buat Islam seorang-seorang tanpa bantuan daripada UMNO, bertanding pun 66 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, bagaimana mahu buat Islam di Malaysia? Dalam Buku Jingga juga tidak menyatakan bahawa Pakatan Rakyat nak buat Hudud.

Oleh itu, saya tetap akan terus berdoa kepada Allah agar diberi keterbukaan hati sesama Islam di antara kita. Sesungguhnya persaudaraan dan silaturahim itu amat besar rahmatnya daripada Allah Subhanahu Wa Taa'la.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...