13 December 2012

AGENDA ISLAM PAS TIDAK MEMBANTU JENTERA PR - KIT SIANG



Kuala Lumpur (SGB) – Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini melalui kenyataan medianya menggesa pimpinan pakatan rakyat (PR) agar memberikan tumpuan dan kerja keras kepada 4 juta pengundi ‘atas pagar’ jika mahu memastikan hasrat menawan Putrajaya tercapai.


Kit Siang yang juga merupakan ahli parlimen Ipoh Timur, turut melahirkan kerisauan dengan beberapa perkembangan terbaru di dalam PR yang boleh menyebabkan pengundi atas merasa ragu dengan kerjasama yang wujud di dalam pakatan.

“Perkembangan beberapa bulan ini boleh memberikan sebab untuk pengundi atas pagar mula berasa ragu-ragu sama ada parti pakatan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP betul-betul komited terhadap Kerangka Dasar Bersama PR dan Buku Jingga,” katanya.

Selain dari itu, beliau turut membangkitkan kegagalan PR untuk mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi dalam pilihanraya umum (PRU13) antara faktor yang dilihat akan mengugat kesatuan dan kerjasama di dalam PR. Ini kerana ia bakal menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru dan mengakibatkan PR kehilangan beberapa kerusi di Sabah dan Sarawak.

Kit Siang turut menyentuh tindakan Pas dengan agenda negara Islam yang dilihat tidak membantu jentera bagi menawan hati pengundi.

“PAS meluluskan enakmen hudud di Terengganu pada 2001 namun itu tidak menghalang BN daripada menawan kembali negeri itu dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi negeri dan 7 daripada 8 kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU 2004.

“Isu hudud menyebabkan terbubarnya Barisan Alternatif dan peristiwa bersejarah PRU 2008 yang menghubungkan semula ketiga-tiga parti itu. Tumpuan sepatutnya terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa di dalam BN berbanding menegakkan agenda negara Islam yang tidak membantu memenangi hati pengundi atas pagar” tegasnya lagi.

Ekoran dari itu, timbul spekulasi yang mengatakan Kit Siang bakal dipindahkan ke parlimen Kampar dalam PRU13 bagi membantu merampas kerusi tersebut. Ia sebagai satu strategi dan pendekatan DAP dalam meletakkan calon popular di kerusi yang gagal dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Untuk rekod, Parlimen Kampar disandang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong selepas menang pada PRU12 pada 2008.

Bagi mengelakkan isu tersebut dari berpanjangan dan menganggu jentera dan gerak kerja parti, DAP Perak lantas mengeluarkan kenyataan menafikan spekulasi tersebut.

Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, perkara itu tidak pernah dibincang dan menegaskan ia adalah merupakan rahsia parti.

Beliau berkata, itu adalah sebahagian dari strategi DAP untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar selari dengan ketetapan jawatankuasa pusat.

“Kami tunggu Barisan Nasional (BN) umum calon dululah,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...