UMNO berpeluang kekal sokongan
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 1 Disember 2012 menyiarkan komen
mengenai Perhimpunan Agung UMNO Ke-63 selama lima hari yang berakhir
Sabtu lalu. Artikel bertajuk Sebelum menyerang keluar terlebih dahulu perkemas
dalaman yang merupakan pandangan pengarang akhbar berkenaan disiarkan
dalam ruangan Pendapat Yuanlun halaman W3.
Dalam ucapannya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan ahli-ahli bahawa sikap berdisiplin akan menentukan sama ada
sesebuah parti itu akan kalah ataupun menang dalam pilihan raya nanti.
Beliau mahu ahli-ahli bersikap terbuka dan berlapang dada menerima
keputusan di peringkat pucuk kepimpinan. Jika ada yang tidak setuju,
gunakanlah saluran yang betul untuk mengajukan pandangan mereka.
Perdana Menteri menggunakan semangat juang Nabi Muhammad SAW untuk
memberi motivasi kepada ahli-ahli parti dengan mengambil contoh Perang
Badar dan Perang Uhud yang menyaksikan isu disiplin menjadi penentu
orang Islam kalah atau menang dalam peperangan itu.
Tidak kira sama ada organisasi besar dan kuat atau sebuah pasukan
tentera, jika di peringkat dalaman mereka timbul masalah, pasti tidak
akan dapat bergerak dengan baik. Apabila sesebuah organisasi itu ada
masalah, pasti akan kalah sebelum pergi berjuang.
BN dan UMNO menghadapi masalah besar, setelah memerintah selama lebih 50 tahun, kerana mempunyai banyak sumber politik.
Setiap peringkat kepimpinan mempunyai saluran tersendiri yang rasmi
dan tidak rasmi. Lazimnya pemimpin-pemimpin ini mempunyai kuasa dan
sumber politik yang kuat.
Ditambah pula dengan organisasi UMNO yang begitu besar, yang mempunyai lebih 3.38 juta keahlian dan 21,056 cawangan.
Sebuah organisasi yang begitu besar pasti ada kebocoran serta akan
menghadapi masalah maklumat dari atas tidak sampai ke peringkat
organisasi bawahan.
Apabila peringkat atasan parti membuat keputusan sendiri dan
menghantar calon mereka sendiri untuk bertanding PRU, jika ahli dan
pemimpin parti di peringkat bawahan tidak dapat meletakkan kepentingan
parti sebagai keutamaan, pasti akan berlaku kes keluar parti.
Perdana Menteri berkali-kali menegaskan, perpaduan dalam parti dan
patuh kepada disiplin parti itu amat penting bagi mengelak perkara tidak
diingini itu berlaku.
Beliau menegaskan, PRU kali ini akan menentukan hala tuju rakyat negara ini dan UMNO serta BN adalah pilihan yang terbaik.
Dalam ucapannya, beliau juga menghentam Pas kerana telah terkeluar
dari landasan ajaran Islam dan mahu orang Melayu bersatu padu, menyokong
dan mempertahankan orang Melayu dan Islam itu sendiri.
Dengan jelas dan terang, pada PRU akan datang ini, UMNO akan memegang
sepanduk pertahankan agama dan kepentingan kaum bagi bersaing dengan
Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mendapatkan sokongan
orang-orang Melayu.
Sebenarnya polisi UMNO ini begitu pragmatik dan di landasan yang
betul. Jika dilihat dari segi kawasan undi dan struktur kaum, jika UMNO
dapat memperkukuhkan barisan belakang mereka, ia akan dapat mengekalkan
70 peratus sokongan pengundi Melayu.
Jika mendapat 30 peratus lagi sokongan daripada kalangan orang Cina
dan India, tidak mustahil BN dapat terus mengekalkan pemerintahan.
PUJI KESEDERHANAAN KHAIRY
PERSIDANGAN sayap-sayap UMNO yang berlangsung sehari sebelum
perhimpunan agung parti itu turut diulas oleh akhbar Nanyang Siang Pau
bertarikh 30 November 2012. Artikel bertajuk Pemuda UMNO ambil langkah pragmatik adalah pendapat pengarang akhbar berkenaan.
Pemimpin daripada dua sayap UMNO itu telahpun menzahirkan
ucapan-ucapan yang begitu bermotivasi dan menunjukkan kehebatan
masing-masing bagi mengingatkan ahli-ahli parti agar bersiap sedia
menghadapi PRU.
Bagaimanapun, sikap yang ditunjukkan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin
dan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agak berbeza antara
satu sama lain.
Secara tradisinya, ucapan Ketua Pemuda UMNO sangat lantang dan isi
kandungannya menyentuh isu memelihara kepentingan kaum Melayu sehingga
ada yang mengambil langkah untuk menghunus dan mencium keris bagi
menaikkan semangat.
Tetapi kali ini, Khairy boleh diibarat seperti sudah lebih matang dan kita dapati telah ada perubahan terhadap Pemuda UMNO.
Dahulunya, Pemuda begitu agresif dan fanatik. Kini ia menjadi sebuah
sayap yang banyak berfikir dan mengambil sikap toleransi. Ini adalah
satu perkembangan yang boleh dibanggakan.
Dalam ucapannya, Khairy mengemukakan 10 cadangan untuk merapatkan BN dengan golongan belia.
Langkah itu termasuklah membantu pemuda pemudi yang mengalami muflis,
dilaksanakan projek rumah 1Malaysia untuk golongan muda dan dilantik
pegawai-pegawai tinggi muda di syarikat milik kerajaan (GLC).
Khairy dalam ucapannya begitu bersikap terbuka dan prihatin terhadap
nasib golongan muda sehingga menyebabkan kita beranggapan bahawa Pemuda
UMNO telah berubah daripada haluan asalnya yang dikatakan agresif dan
suka cabar mencabar ke haluan lebih sederhana.
Jika dianalisis, sebenarnya perubahan Pemuda UMNO itu memang menepati masa dan sesuai dengan keadaan politik semasa sekarang.
Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan golongan
muda yang akan mengundi pada PRU akan datang adalah sebanyak 20
peratus. Mungkin pengundi muda ini akan menjadi penentu segala-galanya.
Sementara itu, Ketua Wanita dalam nada berbeza pula menyatakan kepentingan politik orang-orang Melayu telah mula diabaikan.
Jika orang Melayu kehilangan kepentingan dalam politik, beliau risau mungkin akan berlaku peristiwa seakan-akan 13 Mei.
Bagi kaum lain, ucapan beliau yang menyentuh mengenai Peristiwa 13
Mei adalah terlalu agresif. Jika kata-kata yang dilontarkan terlalu
fanatik, ia akan mendatangkan perkara-perkara yang negatif kepada parti.
Kita berharap Pemuda dan Wanita UMNO mengambil sikap lebih sederhana dan memberi cadangan yang membina kepada masyarakat.
BN PERLU SOKONGAN SEMUA PIHAK
AKHBAR China Press bertarikh 4 Disember 2012 menyiarkan artikel
mengenai perlunya BN mendapatkan sokongan daripada segenap lapisan
masyarakat pada PRU akan datang.
Artikel bertajuk BN telah lepaskan berapa banyak tiket-tiket undi?
yang ditulis penulis yang menggunakan nama samaran Sayap Pulau Pinang
disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.
Jika semua orang menganggap arah tuju politik di negara ini, masih
mengikut tradisi lama, hanya mengikut pembahagian kawasan dan warna
kulit, pandangan ini boleh dianggap sudah ketinggalan zaman.
Jika tradisi lama ini dijadikan perkiraan, pastinya mata kita akan
tertumpu kepada kaum pribumi di Sabah dan Sarawak yang kahwin campur
adalah perkara biasa bagi mereka. Cara mereka mengundi pasti tidak
terbatas kepada undi untuk satu kaum sahaja.
Kumpulan-kumpulan lain yang tidak mengundi berdasarkan warna kulit
semata-mata adalah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender
(LGBT), gabungan pendidikan seperti Dong Zong serta organisasi pendukung
pendidikan bahasa Tamil.
Pendirian sama juga diambil oleh golongan yang menyokong pelaksanaan
mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kumpulan yang
peka dengan isu- isu kesejahteraan awam serta majlis pengguna.
Pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, naib-naib Presiden UMNO
diumpama sebelum dapat berdiri tegap telahpun menjatuhkan hukuman
terhadap kumpulan LGBT. Adakah ini boleh diumpamakan kebodohan dalam
berpolitik?
Mari kita membuat pengiraan statistik bagi mengetahui dalam masa
terdekat ini, berapa banyak sebenarnya BN telah melepaskan tiket-tiket
undi daripada kumpulan-kumpulan seperti di atas?
Ini belum termasuk pelabur-pelabur emas yang kehilangan wang mereka
berikutan kegagalan Bank Negara Malaysia menguruskan kes itu dengan
cekap dan baik.
Pasti pelabur-pelabur itu akan menunjukkan kemarahan mereka melalui
tiket-tiket undi yang ada di tangan mereka. Pasti BN akan menerima
padah!
No comments:
Post a Comment