17 December 2012

PEMILIHAN DAP DICEMARI POLITIK WANG




Kuala Lumpur (SGB) – Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat (CEC) yang diadakan ketika Kongres DAP baru-baru ini telah dicemari dengan budaya politik wang. Ia diakui oleh Speaker DUN Selangor yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Datuk Teng Chang Khim. Beliau dilaporkan berkata terdapat unsur-unsur politik wang menular masuk ke dalam parti itu dan mahukan proses pemilihan pemimpin untuk jawatan tertinggi dirombak.


Chang Khim semalam turut mendesak perlembagaan DAP dipinda bagi membolehkan perwakilan parti melantik terus jawatan-jawatan seperti Setiausaha Agung dan Setiausaha Kebangsaan parti.

"Atas keprihatinan terhadap parti, saya ada nampak elemen-elemen sedemikian (politik wang) diamalkanlah, mereka mengamalkan budaya itu untuk menarik sokongan ahli-ahli parti.

"Maka dengan itu saya harap, kita boleh gubal Perlembagaan parti dari segi pemilihan parti ini dan kita boleh mengadakan pemilihan parti secara terus," tegasnya.

Cadangan Chang Khim itu turut disokong oleh dua pemimpin DAP Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook.

Suee Lim ketika ditemui mahu DAP memperkenalkan sistem pelantikan terus untuk mengisi jawatan kanan seperti Setiausaha Agung dan Setiausaha Kebangsaan parti. Menurutnya unsur-unsur tidak sihat itu mula menular dalam DAP memandangkan jumlah keanggotaan parti yang semakin meningkat.

Ditanya sama ada politik wang berlaku di dalam parti DAP ketika ini, beliau berkata: "Ada... setakat ini bibit-bibit ada".

Manakala Anthony Loke merasakan cadangan tersebut adalah merupakan satu teguran yang sihat dan membina buat DAP.

“…kita tidak mahu melihat DAP mengamalkan politik wang” katanya.

DAP kini mengamalkan sistem pemilihan seramai 20 anggota CEC yang kemudian akan berbincang dan melantik individu dalam kalangan anggota jawatankuasa berkenaan bagi mengisi jawatan penting seperti Setiausaha Agung dan Pengerusi.

Dalam perkembangan lain ketika menyampaikan ucapan perasmian, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng melahirkan hasrat untuk membangunkan DAP sebagai pilihan orang Melayu yang menurutnya semakin berminat menyertai parti itu. Apa yang mengecewakan kesemua calon Melayu yang bertanding untuk menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti itu kalah teruk.

Mereka adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari yang hanya memperolehi 305 undi, Senator Ariffin S.M. Omar (348 undi), Ahmad Ton (347 undi), Harun Ahmad (28 undi), Solaiman Op Syed Ibrahim (98 undi) Tengku Zulpuri Shah (121 undi) Zulkifli Mohd Nor (215 undi) dan Roseli Abdul Gani (39 undi).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...