17 December 2012

MIMPI PAS SEBAGAI PARTI DOMINAN


Dominan bermakna mempunyai pengaruh, autoriti atau kawalan yang utama ke atas sesuatu. Apabila seseorang menyatakan dia adalah dominan, bermakna dia punya pengaruh, autoriti dan kawalan utama dalam menterjemahkan kehendak dan kemahuannya.

Apabila sebuah parti politik menyatakan ia adalah parti dominan, bermakna parti itu mempunyai pengaruh, autoriti dan kawalan untuk menterjemah dan melaksanakan falsafah, dasar dan agenda perjuangan parti itu; dan ia dihormati oleh parti yang duduk di bawah dominasinya!

Itulah yang berlaku kepada UMNO. Apabila UMNO menjadi parti dominan di dalam Barisan Nasional (BN), maka UMNO mempunyai pengaruh, autoriti dan kawalan utama untuk melaksanakan dan menterjemahkan falsafah, dasar dan agenda perjuangan parti UMNO. 

Ia melibatkan iaitu membela dan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam; di samping menjaga kebajikan dan kepentingan agama dan bangsa lain. Dan ia dihormati rakan komponennya.

UMNO telah membuktikan status dominannya dalam BN dengan melaksanakan dasar dan agenda perjuangan Melayu-Islam sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946 sehingga kini.

Daripada mendapatkan kemerdekaan untuk negara secara aman, memastikan Islam menjadi agama negara, meletakkan syariat dan institusi Islam lebih tinggi dalam Perlembagaan dan dasar negara, membela dan memartabatkan bangsa Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru, Dasar Transformasi Negara; di samping menjaga kebajikan dan kepentingan kaum dan agama lain di dalam Malaysia.
UMNO telah berjaya membuktikan ia bukan sahaja parti yang dinamik dan pragmatik, malah ia adalah parti yang dominan dan dihormati kawan, digeruni lawan. 

Dan penghormatan parti komponen lain terhadap UMNO sebagai parti dominan sangat jelas. 

Sewaktu MCA menghadapi krisis kepimpinan akibat persengketaan antara Tan Koon Swan dan Neo Yee Pan, pemimpin UMNO, Allahyarham Tun Ghafar diberi mandat oleh MCA untuk menjadi Presiden sementara MCA. 

Tun Ghafar berjaya menyelesaikan masalah kepimpinan MCA sehingga MCA kembali bersatu. Sewaktu MIC menghadapi krisis kepimpinan, sekali lagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin dan membimbing MIC keluar daripada kemelut itu. 

Dan sekali lagi pemimpin UMNO berjaya menyelesaikan masalah kepimpinan MIC.

UMNO tidak mengkhianati rakan komponennya dan tidak mengambil kesempatan daripada masalah dalaman yang dihadapi rakan BN. Parti itu tidak menikam parti kawan daripada belakang. 

Malah UMNO menjadi rakan yang begitu setia dan sanggup berkorban untuk 'teman-temannya' didalam Barisan Nasional. Sewaktu UMNO menghadapi krisis kepimpinan sehingga diharamkan pada tahun 1988, dengan segera rakan komponen MCA, MIC dan lain-lain bermesyuarat mengambil alih secara sementara kepimpinan BN untuk selama beberapa minit. 

Namun mereka membuat keputusan menyerahkan semula kepimpinan BN kepada Presiden UMNO Baru Tun Dr. Mahathir Mohamed. Itu maknanya UMNO parti dominan.

Persoalan
Itu maknanya UMNO parti tunggak. Itu maknanya UMNO parti tunjang. Parti yang dihormati kawan, tetapi digeruni lawan. Sekarang Pas mendakwa ia sebagai parti dominan didalam pakatan pembangkang. Pas mendabik dada sebagai parti tunggak. 

Pas mengaku sebagai parti tunjang dalam pakatan pembangkang. Sehingga Pas sanggup membuat usul untuk memamak bendaharakan presidennya, Datuk Seri Hadi Awang menggantikan Anwar Ibrahim. 

Persoalannya, benarkah dakwaan Pas itu? Benarkah Pas boleh menjadi parti alternatif untuk umat Melayu-Islam menggantikan UMNO? Benarkah umat Islam-Melayu wajib membantu Pas dengan mengundi mereka didalam PRU-13 nanti.

Mari kita kupas dan huraikan persoalan ini secara fakta dan bukti. Keputusan Exco Kerajaan Pas Kelantan untuk menggantung, menilai dan mengkaji semula undang-undang PBT berkaitan pengharaman lelaki bercampur wanita setelah tercetusnya isu salon bukan Muslim yang disaman kerana membenarkan tukang gunting wanita menggunting rambut pelanggan lelaki sebenarnya menimbulkan satu polemik politik yang lebih besar. 

Saya menjangkakan undang-undang pengasingan jantina tersebut yang sudah wujud sejak Pas memerintah Kelantan pada tahun 1991 itu akhirnya akan ditalkinkan tidak lama lagi setelah dikritik hebat baru-baru ini.

Saya cukup yakin kerajaan Datuk Nik Aziz tidak membuat keputusan tersebut akibat teguran UMNO; almaklumlah UMNO bukan sahaja parti yang telah dikafirkan, malah dimurtadkan sehingga mahu didoakan supaya hancur lebur baru-baru ini. 

Takkan Nik Aziz nak dengar nasihat parti yang telah dikafir-murtadkan? Saya juga cukup yakin keputusan kerajaan Datuk Nik Aziz itu bukan kerana tekanan daripada Chua Soi Lek mahupun Palanivel, apatah lagi Koh Tsu Koon. Mereka bukan rakan-kafir yang sekatil-sebantal dengan Pas. 

Malah dek kerana bersepakat dengan merekalah UMNO diisytihar dan difatwakan kafir dan tidak layak masuk syurga.

Keputusan kerajaan Nik Aziz tersebut dibuat setelah menerima kritikan, tekanan dan desakan daripada rakan sekatil dan sebantal mereka iaitu kepimpinan parti cauvinis rasis DAP.

Tekanan
Rata-rata pemimpin cauvinis DAP ini menempelak tindakan kerajaan PAS Nik Aziz itu. Dan tekanan bertambah berat apabila Dewan Himpunan Penyokong bukan Muslim Pas Pusat turut membantah dan menegur tindakan Kerajaan Pas Kelantan. 

Apakah maksud ini semua? Maknanya Pas bukan parti dominan, hanya sekadar parti tunggak serta dilihat sekadar 'khadam pak turut' kepada kehendak DAP. Itulah maksudnya. Jangan kata undang-undang yang dah berumur lebih 20 tahun boleh ranap, perjuangan Negara Islam yang menjadi modal politik Pas pun akhirnya bungkus.

Sampai tidak jumpa lagi Negara Islam didalam al-Quran. Semuanya demi mengejar undi bulan Melayu. Dan Pas beriman dengan keyakinan bahawa DAP boleh membantu mereka mendapat undi bukan Melayu dan bukan Muslim.

Pas berakidah bahawa melukakan hati DAP bermakna sayonara kepada undi bukan Melayu dan bukan Muslim. Maka bagi Pas, demi mahligai Putrajaya, mereka tiada pilihan, wajib tunduk, "sami' nawa ato'na" kepada kehendak DAP. 

Saya melihat isu mutakhir ini sebagai bukti jelas betapa laungan pimpinan Pas bahawa mereka adalah parti dominan di dalam pakatan pembangkang adalah sekadar retorik politik sahaja.

Malah angan-angan Pas sebagai kononnya parti dominan sehingga menyebabkan mereka membuat usul untuk memperdana-menterikan Datuk Seri Hadi Awang, yang ternyata 'syok' dengan tawaran jawatan mahkota Putrajaya tersebut hanyalah sekadar satu fantasi dan ilusi semata-mata. 

Pas mengumumkan pula bahawa mereka kini adalah parti alternatif bagi orang Melayu-Islam menggantikan UMNO. Konon skrip lawak mereka menyatakan Pas adalah tunjang kepada pakatan pembangkang masakini sebagaimana UMNO di dalam Barisan Nasional.

Malah dilawakkan lagi bahawa orang Melayu-Islam wajib membantu dengan mengundi Pas dalam PRU-13 sebagai sandaran dan harapan baru menggantikan UMNO.

Persoalan besarnya - betulkah Pas dominan? Jawapannya jelas Pas bukan parti dominan. Sebab itu umat Islam-Melayu janganlah terpedaya dengan mainan dan dakyah politik Pas dan pakatan songsang ini.

Bagaimana mungkin sebuah parti yang hanya akan bertanding 60 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi mahu menjadi parti dominan? 

Bagaimana parti yang hanya boleh memenangi tidak lebih 30 kerusi Parlimen nak menjadi parti pembela umat Islam-Melayu? Apa yang terjadi di Kelantan itu hanya sebagai satu lagi siri bukti dan keterangan yang memperjelaskan lagi kepada kita umat Islam-Melayu bahawa Pas bukanlah satu agama.

Masuk Pas bukan makna masuk syurga. Undi Pas bukan bermakna sokong Islam. Sebaliknya, Pas membuktikan kepada kita umat Islam-Melayu bahawa ia bukan sahaja bersedia membuang peraturan yang di buat sendiri selama 20 tahun.

Malah Pas sanggup memecat ahlinya sendiri demi kepentingan politiknya, Pas bukan sahaja sanggup menggadai institusi perkahwinan dan anak isteri, malah Pas membuktikan ia parti politik yang sanggup membuang dasar perjuangan negara Islamnya semata-mata untuk meraih undi.

Pas adalah contoh klasik falsafah politik Machiavelli - matlamat menghalalkan cara. The end justify the means! Jangan kata nak jadi parti dominan atau alternatif bagi umat Melayu-Islam kerana Pas sudah muncul menjadi Partai Si-Kitol.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...