12 December 2012

SELAMATKAH ISLAM DI MALAYSIA

 
Ada pengertian lebih besar sebenarnya boleh 'dibaca' di sebalik kenyataan seorang pemimpin muda daripada sebuah parti pembangkang baru-baru ini berhubung kedudukan Islam dan hala tujunya di negara yang kita cintai ini. Yang lebih dibimbangi, jika apa yang dinyatakan itu adalah berdasarkan kepercayaannya dan bukan sekadar perjuangan politik semata-mata.

Jika benar, perkembangan ini umpama 'jam loceng' yang menyedarkan kita bahawa usaha 'meliberalkan Islam' di Malaysia kini semakin berani dinyatakan secara terang-terangan.

Mengapa ini berlaku? Antara sebabnya yang tidak dapat dinafikan adalah kesibukan berpolitik menyebabkan umat Islam kian lupa tentang tanggungjawab sebenar yang menanti mereka.

Peluang yang ada digunakan sebaik-baiknya oleh kelompok-kelompok tersebut untuk mengembangkan kepercayaan mereka.

Dalam masa sama, kuasa yang dikejar seolah-olah membenarkan golongan tertentu di negara ini sanggup melakukan apa sahaja atau apa yang disebut sebagai 'matlamat menghalalkan cara'.

Menerusi forum-forum atau perbincangan yang diadakan dari semasa ke semasa, menjelaskan kepada kita bahawa Islam liberal dan fahaman pluralisme sememangnya wujud di negara ini.

Namun, golongan tersebut tidak diberi ruang untuk menyatakan pendapat mereka secara terbuka kerana kerajaan yang ada tidak membenarkan aliran ini daripada berkembang.

Ini kerana umat Islam di negara ini berpegang kepada ajaran Ahli Sunah Waljamaah yang sentiasa tegak di atas landasan Islam berdasarkan hakikat al-Quran dan hadis-hadis.

Keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia. Negara jiran ini (Aceh) suatu ketika dahulu pernah digelar serambi Mekah dan menjadi tumpuan ulama, namun perubahan masa dan pengaruh luar berjaya merubah kepercayaannya.

Keterbukaan pihak pemerintah terhadap soal beragama turut mendorong umat Islam di negara itu 'memilih kepercayaan’ mereka sendiri.

Maka apa yang berlaku ialah bercambahnya golongan liberal dan fahaman pluralisme iaitu kumpulan yang melihat tindakan ulama sebagai penghalang kemajuan yang sepatutnya dicapai.

Golongan ini juga sering membawakan hadis-hadis tertentu dalam konteks hubungan Islam dengan agama-agama lain. Pada hal, sebagaimana kita sedari, hadis-hadis tersebut tidak membicarakan hubungan Islam dengan agama lain tersebut.

Kejayaan paling besar mereka adalah apabila kepercayaan terhadap ulama di negara itu sedikit demi sedikit berjaya dihakis. Hal ini menyebabkan hari ini perkahwinan berbeza agama di Indonesia bukan lagi sesuatu yang luar biasa selain gejala murtad turut dilaporkan semakin berleluasa.

Lebih menakutkan apabila ada pihak mendakwa pengaruh Kristian mungkin akan mengambil alih kedudukan Islam di negara itu suatu hari nanti.

Hakikatnya, dengan populasi penduduknya kira-kira 200 juta umat Islam dan teramai di dunia, Indonesia tidak diisytihar sebagai negara Islam.

Perkembangan ini sebenarnya amat menggusarkan kita. Adakah Malaysia sedang menuju ke arah proses asimilasi agama seperti apa yang dialami di Indonesia? Jika kenyataan pemimpin muda dari parti pembangkang di awal artikel ini diambil kira, perasaan ini wajar wujud.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...