09 December 2012

RAKYAT SEMAKIN HILANG MINAT DENGAN PERJUANGAN PAKATAN



Kuala Lumpur (SGB) – Di saat pimpinan pakatan pembangkang begitu ghairah mengatakan sokongan rakyat yang semakin kuat untuk bersama mereka, hampir saban hari terpampang di dada akhbar dan media arus perdana ahli-ahli dan penyokong pakatan yang tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.


Pelbagai isu telah dibangkitkan antaranya kegagalan pimpinan pakatan dalam mengurus tadbir kerajaan negeri, kegagalan menunaikan janji-janji dalam manifesto yang lalu, parti yang dilihat semakin hilang hala tuju dan sebagainya.

Walaupun bermacam-macam tuduhan dan tohmahan dilemparkan, kononnya mereka-mereka tersebut bukan terdiri dari ahli parti. Serta tidak kurang juga dengan dakwaan yang mengatakan bahawa mereka telah dibayar oleh pihak tertentu.

Terbaru seorang ahli Pas dari kawasan Tanjung, Arif Ibrahim dilaporkan telah menghadiahkan sebiji kek pahit kepada Lim Guan Eng sempena hari jadi Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang ke-52. Guan Eng dihadiahkan dengan sebiji kek bersalut krim putih di bahagian luar manakala di dalamnya berwarna hitam sebagai simbolik terhadap kerajaan DAP yang hanya indah khabar dari rupa.

Arif yang memberikan kenyataan selepas upacara penyerahan kek tersebut mengatakan orang luar mungkin melihat negeri ini seronok untuk didiami tetapi pada hakikat rakyatnya hidup menderita.

“Sepanjang mentadbir negeri ini, mana rumah mampu milik untuk rakyat? Guan Eng sering mencanang mereka lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) tetapi semasa era BN dulu, mereka ada bangunkan projek perumahan rakyat (PPR) sedangkan DAP langsung tiada,” katanya

Tambah Arif, biarpun beliau bukan penyokong BN tetapi daripada pengamatan sebagai rakyat, pendekatan yang digunakan BN adalah lebih baik dalam usaha membangunkan negeri ini.

“Guan Eng juga dilihat terlalu keras hati dan sukar untuk memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan yang pernah dilakukan,” tegasnya lagi.

Seterusnya penyokong-penyokong tegar pakatan di Pulau Pinang juga dilaporkan mula memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) berikutan hilang kepercayaan kepada kepimpinan pakatan berkenaan.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian Bukit Gelugor, Roslan Rahman Shah berkata berkata beliau keluar daripada PKR sejak dua tahun lepas setelah mendapati PR gagal menunaikan janji-janji mereka kepada pengundi terutama orang Melayu di negeri ini.

“Waktu mereka mahukan undi kita, macam-macam mereka janji tetapi selepas menang langsung tidak peduli rakyat terutama di akar umbi,” katanya kepada pemberita.

Di dalam perkembangan yang lain, seramai 1,500 ahli Pas di enam cawangan utama dalam Dun Selama, Perak nekad tidak keluar mengundi pada PRU13 nanti sekiranya pimpinan Pas pusat bertegas dengan keputusan yang dibuat. Sebelum ini terdapat ura-ura keputusan Pas pusat dan negeri untuk meletakkan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari sebagai calon di Parlimen Larut pada PRU13.

Keputusan tersebut telah menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan ahli Pas Larut kerana Yang Dipertua Pas Kawasan Larut, Dr Mohd Dhari Othman yang sebelum ini telah disepakati untuk diletakkan bertanding dikatakan akan digugurkan. Datuk Fauzi dikatakan lebih berpotensi untuk menang walaupun baru menyertai Pas selama 4 bulan.

Ketua Pas Cawangan Sungai Bayor, Ahmad Zanian Md Shuhor berkata, semua ahli Pas di cawangan Kampung Tapah, Kampung Garok, Kampung Teluk Mas, Sungai Bayor, Kampung Air Kuning dan Redang Panjang kecewa dan membantah keputusan tersebut.

Selain dari Fauzi, Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri, Mohd Akmal Kamaruddin yang berasal dan tinggal di Batu Kurau turut dikatakan akan diletakkan sebegai calon untuk bertanding di DUN Selama. Sedangkan menurut Ahmad Zainan, Mohd Akmal masih muda dan belum cukup berpengalaman sedangkan Mohd Dhari begitu banyak pengalaman serta berpendidikan tinggi.

“Lebih mengecewakan apabila kini seperti wujud tindakan mengutamakan kroni kerana Mohd Akmal adalah menantu kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

“Hal ini kerana, menjadi kezaliman, penganiayaan dan penghinaan terhadap beliau yang telah sekian lama mengabdikan diri kepada perjuangan Pas,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan anak muda di Kuala Nerang, Kedah juga dilaporkan, mengistiharkan keluar dari Pas ekoran kecewa dengan hala tuju dan perjuangan yang dikatakan sudah tersasar daripada perjuangan asal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...