12 January 2014

Ayah Kejar Anak Dengan Pisau, Sebab Tak Dapat Nasi Untuk Sarapan




KOTA BHARU – Akibat amuk dan kejar anak dengan pisau hanya kerana tiada nasi untuk sarapan pagi, seorang pendawai elektrik dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Zaidi Johari, 42, selepas mahkamah mendengar keterangan balas mangsa.


Tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengacu pisau dan mengejar Noor Baiti Ithrah Zaidi, 20.

Kejadian tersebut berlaku di rumah mereka di Kampung Aril Pauh Lima, di sini, pada jam 10 pagi, 12 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang lapar tiba-tiba memarahi pengadu yang sedang membaca buku. Tindakan pengadu menjawab leteran bapanya itu menyebabkannya berang dan mendakwa pengadu kurang ajar.

Walaupun pengadu telah bangun dan mahu keluar membeli nasi, tertuduh tetap mengamuk sehingga mencapai pisau di dapur lalu meluru ke arah pengadu menyebabkan anaknya itu lari menyelamatkan diri.

Pada prosiding semalam, dia merayu hukumannya diringankan berikutan sudah insaf dengan kesalahan tersebut, namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan ugut membabitkan ahli keluarga semakin berleluasa.

Nik Habri pula menasihatkan tertuduh supaya mengambil pengajaran terhadap hukuman yang dijatuhkan dan mengingatkannya agar mendidik anak dengan cara yang betul termasuk menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Berdasarkan keterangan balas, mangsa mengaku dia memang sudah biasa terkena sepak terajang tertuduh, namun, hanya kali ini dia membuat laporan polis. Mangsa bagaimanapun tetap menyayangi bapanya itu dan berharap tertuduh akan berubah apabila bebas kelak.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...