11 January 2014

Isu Bughah : NGO Perak Sokong Mufti Perak




IPOH 11 Jan - Anggota 10 badan bukan kerajaan (NGO) di Perak semalam berhimpun secara aman di Dataran Stesen KTM di sini bagi menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berhubung isu 'bughah' atau penderhaka pada Isnin lepas.
  
Lebih 100 anggota daripada Suara Anak Muda Perak, Suara Anak Muda 1Malaysia, Wira Perkasa Perak, Kelab Belia Kinta, Persatuan Sukarelawan Aman Jaya, Majlis Belia Negeri Perak, Sekretariat Hal Ehwal Bandar, Persatuan Ibu-Ibu Tunggal Perak, Persatuan Kelab Belia dan Kesatuan Anak Muda Islam Perak, menyertai perhimpunan aman bermula kira-kira 2 petang.
  
Pengerusi Barisan NGO Perak Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata pihaknya akan berdiri teguh dan bersama-sama menyokong kenyataan Mufti Perak.
  
"Agama bukan tempat untuk dipolitikkan dan kita akan tolak apa sahaja agenda yang menjurus kepada memporak perandakannegara," katanya.
   
Ketua Wira Perkasa Perak Mohd Hafez Mubin meminta umat Islam menyokong Harussani kerana kenyataannya berhubung isu itu bukan untuk memudaratkan Islam dan negara.
  
"Jika pihak yang buat perhimpunan guling kerajaan itu tidak berniat untuk gulingkan kerajaan mereka tak perlu terasa dengan apa yang mufti katakan itu," katanya.
  
Isu 'bughah' atau penderhaka terhadap pemerintah adil yang dibangkitkan Harussani bagi membidas peserta perhimpunan haram pada sambutan Tahun Baharu 2014 terus dipolemikkan apabila kenyataan tokoh agama itu dikecam pelbagai pihak.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...