11 January 2014

Lahad Datu : Tiger Keluar Kau Dari Sini


Satu daripada lima pasukan VAT69 yang ditempatkan di beberapa kawasan bagi mengepung Kampung Tanduo belum mengumpul maklumat yang mencukupi berkaitan kumpulan penceroboh Sulu ketika mereka diserang pada 1 Mac.
  
"Ketika itu, kami belum mengumpul maklumat yang cukup berhubung lokasi penceroboh bersenjata itu kerana ia perlu dilakukan secara taktikal," kata Supt Mancha Anak Laga di Mahkamah Tinggi di sini yang bersidang di Penjara Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas.
  
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ram Singh, Mancha berkata sebahagian tugasan beliau dalam operasi tinjau rapat di kampung itu ialah menilai kekuatan penceroboh, lokasi kubu dan pondok sentri mereka.
  
Ketika ditanya apa maksud "Tiger! Keluar Kau dari sini. Ini bumi kami" yang dilaungkan penceroboh ketika berdepan pasukan VAT69, Mancha berkata ia membawa maksud mereka mencabar pasukannya agar meninggalkan kawasan itu.

"Adakah kesemua penceroboh berlari ke arah kamu dan pasukan kamu ketika mereka melaungkan perkataan itu?" tanya Ram dan Mancha menjawab: "Ya."
  
Mancha berkata tujuan penceroboh berkenaan berlari ke arah pasukannya ialah untuk menyerang kerana beliau nampak pihak musuh mengacukan senjata masing-masing ke arah mereka.
  
Terdahulu, ketika disoal balas peguam Datuk N.Sivananthan, Mancha berkata beliau nampak beberapa penceroboh lari ke arah Kampung Tanduo apabila kejadian berbalas tembakan berakhir, namun pasukannya tidak mengejar mereka.
  
"Saya sudah berkhidmat dalam pasukan VAT69 selama 28 tahun dan seorang yang berpengalaman.
  
"Jika saya mengejar penceroboh berkenaan, ada kemungkinan saya akan diserang hendap oleh penceroboh yang bersenjata," katanya.
  
Mancha juga berkata selain senjata dan parang yang ditemui di lokasi kejadian berbalas tembakan selepas itu, turut ditemui ialah sebuah beg namun beliau tidak membuka untuk melihat isi kandungannya.

Tiga puluh individu berdepan pertuduhan melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas. Tertuduh terdiri 27 rakyat Filipina dan tiga rakyat tempatan.
  
Antara pertuduhan yang mereka hadapi ialah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menganggotai kumpulan pengganas, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
  
Bagi kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup manakala bagi pertuduhan menganggotai dan melindungi anggota kumpulan pengganas, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup serta denda.
  
Bagi kesalahan merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas pula boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun.
  
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung bersambung 15 Januari depan.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...