PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengakui
terkilan apabila kenyataannya untuk berhenti daripada bidang lakonan menerima
kecaman dan cacian daripada pengguna internet.
Sofi berkata, pandangan negatif sehingga
melanggar tatasusila kemanusiaan yang ditulis di blog-blog itu bukan sahaja
mengguris hati, malah mampu membunuh kerjaya dan semangatnya untuk berkarya.
"Saya takut untuk membaca blog selepas
menerima cacian berbaur hinaan di internet terhadap kenyataan berhenti berlakon
baru-baru ini.
"Kalau mereka benci sekalipun tidak
perlulah untuk mencaci saya sehingga melanggar tatasusila kemanusiaan yang
boleh menjatuhkan maruah seseorang," katanya.
Tambah Sofi, dia berharap pihak pengurusan
blog itu sendiri perlu sedar tentang bahaya perkara ini dan mengawal mesej yang
ditinggalkan di blog mereka.
Katanya, sebagai individu yang menjadi
mangsa kecaman tersebut, dia berhak untuk mengambil tindakan undang-undang jika
ianya melampau batas.
"Kebanyakan mereka tidak membaca
secara keseluruhan sesebuah artikel dan salah faham dengan kenyataan tersebut.
"Saya pelik kenapa mereka terlalu
marah dengan kenyataan tersebut sedangkan sebelum ini ada sahaja artis yang
berbuat demikian, namun masih ada lagi dalam industri," katanya.
Kata Sofi, dia tidak menolak kemungkinan
kebencian masyarakat timbul berikutan watak antagonis yang sering
dilakonkannya.
Dalam pada itu, Sofi yang turut ditanya
tentang keputusan berhenti berlakon berkata, dia hanya akan berlakon watak yang
dapat membersihkan namanya daripada pandangan negatif masyarakat.
Dia yang juga bakal mengarahkan filem
pertama berjudul Gangsterock ini percaya karya tersebut mampu merubah persepsi
masyarakat terhadapnya.
"Saya harap diberi peluang sekali lagi
dalam memberi sumbangan kepada industri seni tanah air.
"Kali ini saya yakin filem Gansterock
tidak mengecewakan dan mengembalikan kepercayaan penonton terhadap file-filem
tempatan," katanya.
Dalam perkembangan lain pula, Sofi juga
bakal keluar dengan album rock pertamanya berjudul Kasi Sengat pada 3 Mac
depan.
No comments:
Post a Comment