15 January 2014

@realDrMAZA @ustazfathulbari @Dr_Fadlan Surat Terbuka Untuk DR Asri




Assalamualaikum Dr Mohd Asri Zainul Abidin,

Pada pengamatan saya, saya dapati anda tidak segan silu untuk memisah dan mengasingkan politik daripada agama(Islam) seolah-olah politik itu satu entiti, dan agama (Islam) satu entiti.

Bukti terbaru dapat saya kemukakan adalah melalui sebuah tulisan anda yang bertajuk "Patutkah politik dicampur agama" dalam Malaysiakinionline beberapa hari lepas.


Saya berasa pelik, bagaimana seorang agamawan tokoh seperti anda yang diidolai oleh jutaan pengikut, terutamanya dalam kalangan remaja dan orang muda, tergamak berfahaman yang begitu menyeleweng. Saya berasa sangat kasihan pada mereka yang sebahagian besarnya kurang ilmu agama. Tanpa banyak soal, mereka terus sahaja menelan bulat-bulat apa sahaja pendapat atau pandangan atau buah fikiran atau kata-kata anda.

Tidakkah anda faham bahawa tiada suatu juzuk walau sebesar zarah sekalipun yang terpisah atau terasing daripada agama (Islam)? Bukankah Islam itu satu keseluruhan cara hidup yang terangkum dalamnya setiap gerak-geri kita manusia beriman: dan tiap gerak-geri kita itu dikira dosa dan pahalanya oleh Allah SWT.

Maka kalaulah juzuk sebesar zarah tidak terpisah atau terasing daripada agama (Islam), bagaimana mungkin aspek politik yang teramat besar signifikannya itu boleh terpisah atau terasing daripada Islam? Dengan kata lain, aspek politik itu ialah suatu juzuk yang maha penting dalam Islam itu sendiri.

Oleh yang demikian, amat mustahil sekali politik itu terpisah atau terasing daripada agama (Islam), padahal aspek politik pemerintahan negara merupakan amanah Allah SWT paling utama yang dipertanggungjawabkan kepada insan hamba Allah sebagai khalifah-Nya di muka bumi-Nya ini demi mensejahtera dan memakmurkannya.

Saya merayu agar Dr Mohd Asri memberikan respons pencerahannya demi kebenaran dan kebaikan bersama.

Maafkan saya. Saya ikhlas.

Wassalam.

Daripada: Ibnu AbdulRahman.
-tranungkite-
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...