Keempat-empat pemimpin Pemuda UMNO yang dicalonkan untuk bertanding jawatan
Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti Oktober ini yakin mampu
memberi sumbangan berguna khususnya dalam membawa hasrat orang muda sekiranya
terpilih.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
menerima dengan hati terbuka pencalonannya untuk bertanding jawatan itu dan
menyifatkannya sebagai proses meremajakan UMNO.
"Proses ini sering dilaung-laungkan oleh Presiden UMNO yang juga
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengumumkan empat pemimpin
utama sayap itu bertanding jawatan MT iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk
Razali Ibrahim; Reezal yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO; Pengerusi Biro
Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan Pengerusi Unit Media Baharu
Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz.
Sementara itu, Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
menyifatkan pencalonan tersebut sebagai amanah yang perlu dipikul oleh semua
calon.
"Pencalonan ini juga dilihat sebagai proses transformasi UMNO
khususnya dalam membawa suara orang muda di peringkat MT. Kami akan mencuba
sedaya upaya untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin
jika dipilih nanti," ujarnya.
Sohaimi pula menegaskan, pencalonan tersebut perlu dilihat sebagai satu
lembaran baharu kepada pemimpin muda untuk membawa suara orang muda dengan
lebih berkesan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda dan barisan
Exco yang memberi sokongan penuh kepada kami untuk bertanding jawatan MT. Saya
yakin dengan kombinasi pemimpin senior dan muka baharu bakal memberi perspektif
segar dalam mesyuarat MT nanti jika dipilih,"jelasnya.
Bagi Tun Faisal pula, peluang tersebut dilihat sebagai satu kaedah untuk
meremajakan UMNO mengikut kehendak generasi muda.
"Sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada golongan muda
menyertai MT dan seterusnya mampu memberi kelainan dalam parti. Saya berjanji
akan menggunakan pengalaman dan ilmu khususnya di dalam media baru untuk
bersama-sama memperjuangkan suara golongan muda," katanya.
No comments:
Post a Comment