Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh memberitahu dia hampir tidak dapat beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini kerana sudah merancang terlebih awal untuk mengerjakan ibadah umrah pada 20 Januari 2014.
“Saya sepatutnya dah batalkan hasrat untuk membuat persembahan di AJL memandangkan tarikh Umrah sudah dirancang terlebih awal sebelum AJL lagi. Namun, bapa Nina suruh saya teruskan juga dengan AJL dan kami menunda tarikh Umrah kepada tarikh yang baru iaitu pada 27 Januari 2014.
Ini kali keempat saya mengerjakan Umrah. Kali ini lebih istimewa kerana saya bakal ke sana bersama kedua-dua belah keluarga. Saya berasa bersyukur kerana seluruh keluarga faham dengan situasi saya,” ujar Noh ketika ditemui pada sidang media AJL 28 di Hotel Empire Subang, petang Selasa.
Noh bakal mempersembahkan lagu duet bersama Aizat Amdan, ‘In Love With You’ pada malam kemuncak itu. Jelas penyanyi ini lagi, dia dan Aizat mengambil pendekatan untuk melakukan persembahan secara santai.
“Ini kali ketiga saya beraksi di pentas AJL dan kalau dilihat pada persaingan sengit tahun ini, rasanya tiada harapan untuk kami menang. Jadi, persiapan kami lebih relaks dan sempoi kerana kami tak nak terlalu tertekan dalam pertandingan ini,” ujar Noh sambil mengulas mengenai konsep ‘Game On’ pada penganjuran kali ini.
“Tidak dinafikan saya agak buntu apabila menerima konsep ini. Saya juga agak tertekan memandangkan Aizat merupakan juara pada tahun lepas. Saya risau orang akan ingat saya nak tumpang populariti dia, namun bagi saya lagu ini sendiri memang sudah kuat,” tutur suami kepada Mizz Nina ini lagi.
Aizat ketika ditemui melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana ini merupakan penyertaan pertamanya secara duet di pentas AJL. Walaupun dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Yuna berjudul, ‘Terukir Di Bintang’ pada AJL 27, namun Aizat tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang pada edisi kali ini.
“Macam Noh, dia lebih relaks membuat persediaan, jadi saya perlu kerja lebih sikit untuk seimbangkannya. Semestinya saya nak menang tapi untuk elak rasa kecewa, saya akan fokus dengan persembahan saja. Saya akan melakukan yang terbaik untuk lagu ini,” ujar Aizat mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment