13 January 2014

@Shilaamzah Shila Amzah Akan Ambil Tindakan




HATINYA geram, jiwanya membara tatkala melihat pihak lain cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya. Kebaikan dan toleransi selama ini hampir hilang angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi Shila Amzah dia begitu terusik dengan sikap tidak bertanggungjawab orang yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat akaun Facebook (FB) palsu mewakili dirinya.


"Selama ini saya tak pernah kisah dengan akaun palsu yang sengaja dicipta oleh banyak pihak. Kalau nak ikutkan berpuluh-puluh akaun palsu yang mereka wujudkan menggunakan nama saya.

"Tapi kali ini saya benar-benar geram sebab pemilik berkenaan menyebarkan fitnah dengan memuat naik gosip artis lain, menyiarkan hadis-hadis yang entah dari mana sumbernya dan macam-macam perkara lain.

"Kemuncaknya bila dia mengatakan saya berkahwin di laman FB berkenaan awal tahun lalu dan ramai peminat yang percaya," luah Shila kesal.

Menjelaskan perkara berkenaan, Shila melalui bapanya ND Lala mahu mencari siapakah dalang di sebalik laman sosial tersebut untuk tindakan lanjut.

Untuk makluman FB palsu berkenaan dianggotai lebih 200,000 pengguna.

Sikap keterlaluan dan penyebaran cerita tak benar semakin menjadi-jadi sehingga mempengaruhi peminat yang percaya bulat-bulat laman sosial tersebut miliknya.

Paling terkesan apabila ada peminat yang menyerangnya di Twitter dan Instagram selepas membaca status yang dimuat naik oleh pihak berkenaan tentang isu-isu semasa yang bersifat fitnah.

"Ada kalanya pemilik tersebut ‘curi’ gambar status saya untuk dimuatkan di FB berkenaan. Bila dah melampau memang saya kena ambil tindakan.

"Memang kami dah sepakat untuk mencari siapakah dalang FB tersebut. Negara kita ada undang-undang dan mungkin dengan menggunakan saluran tersebut sahaja barulah isu ini reda.

"Kalau tak melampau tak mengapa. Jangan sampai menjatuhkan maruah orang, mengadu-domba dan mereka-reka cerita yang tak benar. Dia menjatuhkan maruah saya," tegas Shila.

Tidak mahu mengesyaki siapakah dalang tersebut, Shila menganggap semua itu merupakan kerja orang yang kurang senang dengan dirinya dan sengaja mencari masalah.

TOLAK CINTA

Menganggap tahun 2014 sebagai tahun penuh cabaran buat dirinya, penyanyi lagu Masih Aku Cinta ini berharap agar dirinya bebas daripada sebarang kontroversi.

Jika tahun-tahun sebelum ini namanya panas gara-gara isu cinta yang tak menjadi, Shila sudah menolak perasaan cinta jauh-jauh agar boleh memberikan fokus terhadap kerjayanya.

"Saya tak boleh terus mengharapkan apa-apa tentang cinta. Saya pun masih muda dan masih banyak perkara lain yang perlu difikirkan daripada terus memburu cinta.

"Buat masa ini fokus saya hanyalah kepada kerjaya. Saya pun tak mahu ulang, ungkit atau sebut lagi tentang hal masa silam. Semuanya menjadi pengajaran kepada saya," jelasnya.

Mengakui hari-hari yang dilalui semakin menyesakkan dada dengan jadual yang begitu padat, Shila tidak menganggap perkara berkenaan sebagai satu beban.

Semuanya dilakukan sebagai usaha untuk menempatkan diri sebagai penyanyi yang berbakat dan disegani di rantau Asia.

Menyasarkan untuk mengadakan konsert solo pada tahun ini, Shila sudahpun merancang mengadakan persembahan di Kuala Lumpur dan China sebagai simbolik kejayaan dirinya menjadi anak seni yang berjaya.

"Semuanya masih dalam perancangan dan saya kena buktikan usaha saya selama ini bukan sia-sia. Kalau tidak ada aral melintang sedikit masa lagi saya akan melancarkan album Mandarin di sini terlebih dahulu.

"Selepas itu barulah album tersebut akan dilancarkan di China dan mengukuhkan lagi nama Shila Amzah di sana," tambah gadis yang berusia 24 tahun ini lagi.

Pada awal Februari depan Shila akan berangkat ke Perancis bersama ThomasJack, Azlan and The Typewriter dan Goldkartz sempena Festival Midem 2014.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...