SHAH ALAM - Perang Twitter antara ahli dan pemimpin PKR terus hangat di laman sosial itu, hari ini.
Terbaharu Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad turut membidas bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.
Nik Nazmi melalui Twitternya berkata, Faekah tidak perlu bercakap soal politik ekoran tidak lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Kata sudah bukan Setiausaha Politik, tapi masih banyak cakap soal politik.
"Anda perlu tahu masa anda sudah tamat," tulisnya.
Semalam, media melaporkan, Faekah yang juga penyokong Abdul Khalid mula membela majikannya itu dengan membuat serangan balas dan menyifatkan pihak yang mengejar jawatan bernafsu besar.
Faekah juga turut menasihatkan supaya ahli politik belajar mengenai undang-undang sebelum malakukan apa-apa tindakan.
"Yang mengejar bernafsu besar, yang mengendong patutkah berjiwa besar?"
"Ahli politik di luar Selangor, belajarlah Perlembagaan negeri, proses dan prosedurnya. Jangan menghina sultan dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri," katanya.
Susulan itu, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilaporkan telah membidas kembali kenyataan Faekah.
"Lebih baik turun ke Kajang dan bantu kempen PR dan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada meracau di rumah.
"Atau sudah tak relevan," katanya.
Dalam perkembangan sama, ketika dihubungi oleh pihak media bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia itu berhubung kenyataannya di laman mikro itu.
"Saya tidak mahu komen lagi.
"Kalau sudah tahu itu, cukuplah," ujarnya ringkas.
No comments:
Post a Comment