01 February 2014

Suami Gila : Sanggup Pukul Isteri Dengan Kapak



Kota Bharu: Sudahlah dipukul dengan menggunakan bahagian belakang kapak di kepala, lehernya pula dirantai dan dikunci dengan mangga seperti hamba.

Begitu nasib seorang suri rumah bersuamikan 'lelaki gila' berusia 26 tahun yang menghukumnya hanya kerana gagal memberikan wang seperti yang diminta dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa berusia 21 tahun hanya dapat diselamatkan selepas bapa mangsa menghubungi polis.

Ibu kepada dua anak termasuk seorang anak perempuan yang baru berusia 50 hari mengalami luka di kepala, leher serta lebam di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Bagaimanapun, suaminya melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.


Mengimbas detik cemas itu, mangsa berkata, sebelum kejadian, suaminya yang baru pulang ke rumah meminta wang daripadanya.

Katanya, dia memberitahu suaminya dia tidak mempunyai wang sebelum diarahkan supaya mencari wang untuknya.

"Saya pergi ke rumah rakan untuk meminjam wang, namun tidak berjaya kerana rakan juga tidak mempunyai wang.

"Kerana ketakutan, saya menghubungi bapa untuk meminta pertolongan sebelum pergi ke rumah ibu saudara yang terletak berhampiran dengan rumah rakan itu," katanya ketika ditemui di HUSM, di sini hari ini.

Menurutnya, suaminya tiba-tiba bertindak menyerangnya dengan kapak sebelum belakang senjata tajam itu mengenai kepalanya.

"Saya nekad melarikan diri menerusi pintu dapur rumah itu, namun ditendangnya sehingga terjatuh. Saya bangun dan lari masuk ke dalam rumah sebelum terjun menerusi tingkap rumah itu untuk menyelamatkan diri.

"Dia bagaimanapun berjaya menangkap saya dan mengheret saya balik ke rumah sebelum merantai leher dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga untuk mengelakkan saya melarikan diri," katanya.

Menurutnya, bapanya yang mengetahui kejadian itu menghubungi polis untuk meminta bantuan.

"Dia melarikan diri sebelum polis tiba," katanya yang berkahwin dengan suaminya sejak tiga tahun lalu.

Mangsa berkata, suaminya sudah empat bulan tidak bekerja dan dia yang menanggung keluarga dengan mengambil upah melakukan pelbagai pekerjaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman suspek kini giat diburu untuk membantu siasatan.

"Polis sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Kita minta dia menyerah diri.

"Siasatan awal suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan dadah dan ugutan jenayah" katanya.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...