13 January 2014

@AzminAli @Khalid_Ibrahim Pemecatan Azmin : Tidak Layak Atau Wujud Konspirasi Terancang


Laporan penyingkiran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi antara topik hangat yang diperkatakan ketika ini. Ada yang mengatakan keretakan hubungan antara Azmin dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah merupakan punca kepada pemecatan itu.

Malah tidak kurang juga yang mengatakan, ia adalah merupakan antara usaha Khalid untuk memastikan pengaruh politik Azmin dapat dikurangkan. Azmin ketika dihubungi bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu, mengesahkan telah pun menerima surat mengenainya.

Walau bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya menyatakan akan membuat pengumuman mengenainya pada mesyuarat lembaga pengarah PKNS yang akan dipengerusikan oleh Khalid, 20 Januari ini.

Polemik perebutan kuasa antara Azmin dan Khalid bukanlah perkara yang asing khususnya di kalangan penyokong kedua-dua belah pihak. Malah Azmin sebelum ini dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melibatkan beberapa isu tertentu.

Kali terakhir Azmin mengkritik pentadbiran Abdul Khalid ialah pada 28 November lalu apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Malah, sebelum itu, Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid.

Di kalangan penyokong Azmin, mereka merasakan Menteri Besar Selangor itu dilihat sebagai lemah dan tidak layak untuk menerajui kerajaan negeri. Manakala di pihak Khalid pula, mereka melihat Azmin sebagai pengacau kerana cuba memonopoli kepimpinan PKR.

Mungkin disebabkan faktor itu juga, Khalid baru-baru ini ada membayangkan akan turut bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan PKR Mei ini. Sekiranya tiada calon lain yang berminat untuk menawarkan diri, pertandingan itu bakal menjadi medan penentu bagi mengukur kekuatan antara mereka.

Walaupun ada yang mengatakan Azmin tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk kekal sebagai Timbalan Presiden, namun faktor sokongan Wan Azizah tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana Wan Azizah juga mempunyai ramai penyokong setia yang jelas tidak berkenan dengan watak dan peribadi Azmin.

Malah ketika PKR berdepan dengan kemelut untuk melantik Menteri Besar Selangor, ‘suara’ Azizah ternyata berjaya untuk menyingkirkan Azmin. Walaupun menurut sumber, Anwar sebelum ini telah bersetuju dan berjanji untuk melantik ‘anak emasnya’ itu bagi menggantikan Khalid.

Persoalannya apakah pemecatan ini disebabkan Azmin memang tidak layak atau sememangnya wujud campur tangan pihak tertentu untuk menyingkirkannya?
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...