03 September 2013

Al-Azhar: Satu Kebanggaan, Harapan




Oleh : Dr Ismail Ibrahim

Saya bersama empat orang kawan kelulusan Kolej Islam Malaya (KIK) melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar dalam tahun 1962, iaitu merupakan penerima biasiswa pertama Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Kami kelulusan Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya pada masa itu telah diiktiraf oleh al-Azhar sebagai pemegang Ijazah Pertamanya, oleh itu kami diterima untuk meneruskan pengajian di dalam program Pengajian Siswazah bagi mendapatkan ijazah Sarjana Lengkap (MA).

Kami berlima, Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman, Ustaz Ismail Arifin dan Dr. Kasim Salleh, saya dan Ustaz Ahmad Awang, telah berjaya mendapatkan ijazah Sarjana dari al-Azhar, satu kebanggaan bagi pelajar Tanah Melayu dan kelulusan Kolej Islam Malaya.

Maka kini nampaknya al-Azhar itu sendiri telah datang ke negara kita ini, sebagai kampus antarabangsanya yang pertama dan julung-julung kali didirikan di luar Mesir. Hal ini tentulah amat membanggakan, terutamanya al-Azhar adalah merupakan sebuah institusi pengajian yang telah berusia lebih dari seribu tahun dan telah membuktikan kemampuannya melahirkan jutaan graduan dari seluruh pelosok dunia.

Tanah Melayu sendiri banyak menerima graduan al-Azhar yang pulang dengan penuh kewibawaan dan telah membangunkan pendidikan Islam dan ilmu agama yang progresif, juga pejuang kemerdekaan dan kemodenan, termasuklah pengaruh aliran pembaharuan agama yang diwarisi dari Syeikh Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abdul.

Maka dari sudut ini kita amatlah mengharapkan bahawa kehadiran al-Azhar ke negara kita akan berjaya membawa satu aliran pendidikan dan pengajaran agama yang lebih maju dan berjaya lagi dalam mendaulatkan Islam sebagai agama universal dan global.

Walau bagaimanapun harapan kita amatlah tinggi juga agar pengajian yang dibawakan oleh al-Azhar di negara kita ini akan juga berkembang seiring dengan pendidikan Islam yang telah lama berkembang di negara kita mulai dari pendidikan rendah sehingga ke peringkat tinggi, yang telah mencapai tahap sejagatnya yang agak mantap dengan kehadiran beberapa buah institusi pengajian tinggi Islam moden di sini.

Pendidikan ilmu wahyu yang kita warisi dari sistem pengajian al-Azhar telah kita kembangkan di negara ini dengan kesepaduan ilmu peradaban dan tamadunnya yang berasaskan ilmu akliah manusia, yang telah mencorakkan pendidikan Islam moden pada masa kini dengan kesarjanaan agama dan profesional manusia dalam individu seorang Muslim itu.

Konsep kesepaduan ilmu wahyu dan ilmu akli manusia ini telah lama dilaksanakan di negara kita, iaitu sampai ke kemuncaknya dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa di Malaysia pada tahun 1982-83 lagi, sebagai salah satu hasil dari resolusi Kongres Pendidikan Islam Antarabangsa yang diadakan di Mekah dalam tahun 1977.

Ekoran itu, lahirlah beberapa buah institut pengajian tinggi lainnya di negara kita yang membawa konsep ilmu dan pendidikan Islam yang hampir sama seperti Universiti Sains Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin dan sebagainya.

Oleh itu, adalah diharapkan juga bahawa kesepaduan ilmu dan konsep pendidikan Islam yang telah didahului oleh Malaysia dalam sistem pendidikan agama ini hendaklah diberikan perhatian oleh al-Azhar kampus Malaysia, agar ia berjalan selari dengan cita-cita dan objektif pendidikan Islam di negara ini.

Umat dan manusia global pada masa kini amat memerlukan pemahaman dan pengetahuan yang mantap dalam ilmu wahyu dan ilmu peradaban atau tamadun Islam itu sendiri tanpa terpisah-pisah seperti aliran pendidikan Islam tradisional. Ilmu Wahyu yang menekankan tentang bidang ritual, ibadat dan pendidikan agama dalam kerangka kefahaman umat Islam secara tradisi itu haruslah dilengkapkan dalam perhubungannya yang kuat dengan ilmu yang melonjakkan tamadun umat manusia ke peringkat tinggi untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Malaysia telah menjadi pusat pembangunan ilmu peradaban Islam dalam bidang sains dan teknologi, kewangan dan perbankan, makanan dan industri halal, serta kelahiran modal insan yang amat komited kepada nilai dan peradaban Islam sebagai pemimpin dan pemikir Islam yang unggul, kerana pendidikan Islam juga haruslah mampu melahirkan para pemimpin yang berkualiti dan pemikir yang jauh pandangannya.

Malah Malaysia telah berjaya menjadi model pembangunan masyarakat manusia yang aman damai dalam kepelbagaian kaum serta agama, budaya dan bahasa, iaitu sebagai satu hasil dari pengaruh Islam yang dibawa oleh para sarjana Islam puluhan tahun dulu dari Mesir, Mekah dan negara-negara Islam lainnya, yang juga diwarisi dari para sarjana dan ulamak Islam nusantara, dari Jawa, Aceh, Patani dan Tanah Melayu sendiri. Inilah sebenarnya peradaban Islam yang dibangunkan oleh orang Melayu dari seluruh Nusantara, di mana terdapatnya warisan ilmu Islam di tangan umat Melayu itu sendiri.

Islam dalam kualiti dan kefahamannya yang tinggi disertai dengan peradaban dan nilai akhlaknya menurut al-Quran dan al-Sunnah sebenarnya telah diwarisi dan diperkembangkan dengan pesatnya oleh Raja dan rakyat Melayu di Nusantara ini, iaitu mengikut acuan budaya, bahasa dan adat istiadat Melayu itu sendiri, yang masanya amat sesuai untuk kita perkenalkan kepada dunia umumnya pada masa kini.

Maka kini, kehadiran al-Azhar adalah merupakan satu kekuatan dari sebuah institusi pengajian tinggi yang unggul dalam bidang ilmu Islam, dan kekuatannya itu haruslah diperteguhkan lagi dengan sistem pendidikan Islam ala Malaysia yang menjadi tunjang kekuatan umat dan tamadun Islam di dunia ini.

Kekuatan institusi tradisi itu haruslah diseimbangkan, malah disepadukan, dengan kekuatan pendidikan dan kebudayaan Melayu Nusantara, yang telah pun terkenal dengan empayar Melakanya, peranan Kesultanannya dalam Syariah dan kanunnya, dan keunggulan Perlembagaan negara sekarang yang telah memberikan kedudukan yang tinggi kepada Islam.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...