03 September 2013

Double Jeopardy: Ahli Parlimen Mesti Arif Undang-Undang




Oleh : Salleh Buang

Rakyat biasa negara ini mesti celik undang-undang jika mereka mahu terus bersuara mempertahankan hak mereka andainya hak itu dicabuli atau digugat oleh mana-mana pihak. Pemimpin rakyat pula, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara), mesti arif undang-undang jika mereka mahu terus dihormati dan disanjungi rakyat biasa.

Kalau Ahli Parlimen jahil undang-undang, terutama dalam hal perkara yang asasi, mereka tak layak terus menduduki dewan yang mulia itu. Baru-baru ini ada Ahli Parlimen dari sebuah parti pembangkang (yang jelas tidak senang dengan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dua perayu dalam kes pembunuhan Altantuya) mendesak agar ini dibicarakan semula.


Saya rasa ramai warga negara ini sudah pun tahu tentang prinsip “double jeopardy". Barangkali Ahli Parlimen tersebut terlupa atau terlepas pandang mengenainya. Hendaknya dia tidak jahil langsung. Secara mudah prinsip penting ini bermakna seorang itu tidak boleh dibicarakan kali kedua bagi kesalahan yang sama setelah ia dibebas dan dilepaskan (dipanggil autrefois acquit) atau disabit dan dijatuhkan hukuman (dipanggil autrefois convict) oleh mahkamah di penghujung satu perbicaraan yang sah.

Prinsip penting double jeopardy telah sejak awal lagi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita. Perkara 7 Fasal (2) menyatakan “Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama…."

Perkara 7 Perlembagaan terletak dalam Bahagian II, iaitu mengenai “Kebebasan Asasi". Dengan lain perkataan prinsip double jeopardy ini adalah satu perlindungan yang penting sekali bagi setiap warga negara ini di bawah undang-undang tertinggi negara. Apabila seorang itu telah dituduh melakukan suatu kesalahan dan telah dibicarakan secara sah di hadapan mahkamah, dan akhirnya dia telah disabitkan dan dihukum atau telah dibebas dan dilepaskan, dia tidak boleh dibicarakan sekali lagi bagi kesalahan yang sama. Jika ada kesalahan lain, dia masih boleh dibicarakan.

Walau bagaimanapun, perlindungan ini ada had dan batasannya. Perkara 7 Fasal (2) yang dipetik di atas tadi seterusnya menyatakan “… kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu".

Katalah misalnya seorang itu telah dibicarakan oleh Hakim bicara di Mahkamah Tinggi dan akhirnya telah disabitkan kesalahannya lalu dihukum. Terkilan dengan keputusan itu, orang itu pun merayu ke Mahkamah Rayuan. Katalah Mahkamah Rayuan berpuas hati, setelah menyemak rekod prosiding yang dikendalikan oleh Hakim bicara di Mahkamah Tinggi dan hujah peguam bagi kedua-dua pihak, bahawa prosiding di Mahkamah Tinggi itu banyak kecacatannya yang tidak boleh dimaafkan lagi.

Dalam situasi sedemikian itu, Mahkamah Rayuan boleh mengisytiharkan satu mistrial telah berlaku dan membatalkan prosiding itu, lalu memerintahkan satu perbicaraan baru diadakan. Situasi begini dibenarkan oleh Perkara 7 Fasal (2), dan prinsip double jeopardy tidak terpakai.

Dalam kes Altantuya ini, Mahkamah Rayuan tidak berbuat demikian. Ia memutuskan sabitan Hakim bicara di Mahkamah Tinggi pada 9 April 2009 lalu itu “tidak selamat" disebabkan ada kesilapan, lalu memberi manfaat keraguan (benefit of the doubt) kepada perayu. Itu saja.

Ini bukan kali pertama mahkamah kita memberi manfaat keraguan (benefit of the doubt) kepada perayu. Di masa lampau, Mahkamah Persekutuan kita telah berbuat demikian dalam satu kes melibatkan Anwar Ibrahim. Kesimpulannya, dalam kes Altantuya ini, tanpa satu mahkamah “yang lebih atas" membatalkan prosiding Hakim bicara, kedua-dua perayu (Sirul Azhar dan Azilah Hadri) yang kini telah dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan tidak boleh dibicarakan semula. Prinsip double jeopardy (larangan perbicaraan berulang) ini adalah hak mereka di bawah Perlembagaan.

Apa yang boleh dilakukan ialah Mahkamah Persekutuan terus mendengar rayuan pasukan pendakwa andainya rayuan diteruskan. Sementara itu, semua pihak perlu ingat bahawa disebabkan kes ini masih lagi dalam proses rayuan ke peringkat terakhir (dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan), kes ini masih lagi bertaraf sub judice dan kita perlu berhati-berhati membuat sebarang komen agar kita tidak melakukan penghinaan mahkamah (contempt of court).

Sehubungan itu, saya terkejut membaca komen N Surendran, ahli Lawyers for Liberty (LFL) dan naib presiden PKR dalam ruang siber (sila lihat “So, who killed Altantuya?" di http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/08/23/so-who-killed- altantuya/).

Bukan hanya setakat menghina keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai satu keaiban negara (a national embarrassment), ahli politik pembangkang muda ini juga menyatakan “We expected this from the beginning since it was a set-up to hide the truth and protect the guilty."

Tidakkah ini satu tuduhan yang keterlaluan?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...