04 September 2013

Ajak Dialog : @anwaribrahim Terdesak Dan Ada Muslihat




Cadangan Anwar Ibrahim mengadakan dialog terbuka antara kerajaan dengan pakatan pembangkang bagi membincangkan isu-isu kebangsaan yang perlu ditangani adalah suatu muslihat politik dan sifatnya terdesak. Mengapa sekarang Anwar mahu berdialog mengenai pelbagai isu sedangkan jalan yang dipilihnya dulu adalah reformasi melampau, demonstrasi jalanan, demonstrasi ala Arab Spring dan seumpamanya.

Anwar dalam banyak hal menjadi masalah besar kepada Malaysia kerana sanggup melakukan apa saja dan bercanggah dengan apa yang dilakukannya semasa dalam kerajaan berbanding sebagai Ketua Pembangkang. Isunya jelas, Anwar ingin menjadi Perdana Menteri tetapi proses demokrasi tidak membenarkan ia terjadi.


Lalu Anwar mencari helah hasil Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) dengan mengadakan demonstrasi ala Arab Spring di seluruh negara tetapi kecundang di tengah jalan. Semasa sidang Parlimen bermula beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen sementara pengikutnya berbaring di luar Parlimen membantah keputusan pilihan raya. Apakah maknanya ini semua?

Sebelum pilihan raya terjadi, Anwar menggunakan Jusuf Kalla bekas Naib Presiden Indonesia iaitu sahabat lamanya dan kenalan Datuk Seri Najib Tun Razak juga untuk menandatangani suatu perjanjian yang melibatkan keputusan pilihan raya kerana merasa terlalu yakin akan menang dan menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13. Seperti dijangka Najib tidak menandatangani dokumen itu dan cita-cita Anwar tidak menjadi.

Khabarnya seperti yang disebut oleh Senator Ezam Mohd. Noor yang dipetik dari blog "www.rbfonline.net" Anwar menawarkan Kerajaan Perpaduan dengan melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan empat Menteri lain daripada PKR. Kalau maklumat ini benar, ia adalah sesuatu yang aneh dan pelik, mengapa PKR dan Pakatan tidak dilibatkan sama.

Kemudian timbul pula isu dialog kebangsaan yang nampaknya lunak tetapi seperti kata pepatah "Terkilat ikan di air sudah diketahui jantan betinanya". Menjelang hari kemerdekaan, Anwar membuat perutusan tentang pemerintahan hari ini tidak bersikap bebas dan adil.

Ia bukan perkara baru. Sejak 2005 lagi Anwar telah bercakap dengan pihak NED (National Endowment for Democracy). Dalam suatu program yang dipengerusikan Oleh Presiden NED, Carl Gershman di New York pada 1 Disember 2005, Anwar turut mendakwa falsafah kebebasan dan keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia telah dirampas oleh parti pemerintah.

Hal yang sama terjadi dalam siri-siri surat Anwar kepada anggota-anggota Kongres menceritakan hal yang serupa tentang Malaysia. Timbul soalan di mana ketaatan Anwar terhadap Malaysia. Sedangkan Anwar pernah bersama dengan kerajaan dalam tempoh yang agak lama. Anwar bersama melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan membuat kecaman terhadap pembangkang. Mengapa dulu lain sekarang pula lain.

Lazimnya cadangan untuk berdialog lahir daripada rasa terdesak dan muslihat politik tertentu. Pada hemat penulis berdialog adalah sesuatu yang baik kalau niatnya baik. Tetapi sejak Anwar keluar daripada kerajaan, muslihat politiknya tidak menggambarkan niat itu.

Apakah ini gambaran Anwar sedang mengalami keadaan yang terdesak kerana beberapa kes mahkamahnya akan didengar dalam bulan-bulan mendatang ini. Penulis percaya kes-kes mahkamah ini sangat merunsingkan Anwar. Mengapakah baru sekarang mahu memilih jalan dialog sedangkan telah sekian lama Anwar tidak memilih jalan itu?

Penulis percaya kalau Anwar berniat baik mengadakan dialog sejak dulu lagi, dialog atau muzakarah harus berlaku. Perpecahan umat Melayu kini terkait langsung dengan gerak kerja politik Anwar. Selepas menghina Malaysia di luar negara dan selepas beberapa usaha memburukkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan berlaku, maka baru dialog hendak dilakukan.

Pada hemat penulis, dialog yang bermuslihat tidak perlu, kerana asas dialog adalah ikhlas. Anwar dilihat tidak ikhlas mencari kebenaran dan keadilan. Membaca gerak kerja politik Anwar sejak awal sehingga kini terlalu banyak agenda peribadi yang menjadi matlamat politiknya. Kalau ada isu-isu kebangsaan, Parlimen adalah tempat yang terbaik untuk perbincangan terjadi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...