06 September 2013

Dialog Antara Agama : Satu Tuntutan Sosial Atau Sebaliknya




Bagaimana orang Buddha sembahyang? Bagaimana orang Hindu puasa? Kenapa orang Islam berpuasa dan bagaimana ia dilaksanakan? Bolehkah orang bukan Islam masuk masjid? Kalau tidak, kenapa? Apakah sistem kasta berkait dengan agama Hindu? Kenapa wanita Islam tidak perlu solat Jumaat? Tidakkah ini merupakan satu bentuk diskriminasi jantina?

Yang tertera di atas merupakan sebahagian daripada soalan yang dikemukakan oleh peserta pelbagai kaum Bengkel “Masyarakat Malaysia Hidup Bersama" yang dianjurkan oleh Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) (PPLI) baru-baru ini. Bengkel yang dianjurkan di Homestay Sg. Hj. Dorani, Selangor ini bertujuan memberi ruang kepada para belia daripada pelbagai kaum membuka ruang interaksi serta kerjasama antara mereka ke arah pembinaan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu; dan, menyediakan platform untuk mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk Malaysia.


Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dan mereka perlu bertanding dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Sepanjang tiga hari dua malam ini, para peserta bertanding dalam acara seperti “Night Walk" di sawah padi; mencanting batik; menumbuk padi; membuat layang-layang; gogoh (menangkap ikan dengan tangan dalam sawah padi); dan tarian kuda kepang. Acara kemuncaknya adalah persembahan kumpulan di mana setiap kumpulan diminta mempersembahkan pengalaman mereka sepanjang program ini dalam bentuk lakonan, pantun, sajak, mahupun nyanyian.

Oleh kerana dana untuk program ini diperoleh dari Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan dialog antara agama, maka penulis, selaku Penyelaras Program meletakkan satu syarat untuk menambah markah kumpulan, mereka digalakkan mengemukakan soalan mengenai agama lain secara bertulis. Di kesenggangan waktu, soalan terpilih akan dibacakan dan wakil agama tersebut diminta untuk menjawab soalan yang dikemukakan.

Secara tidak langsung, proses ini menghantar isyarat bahawa sebagai penganut sesebuah agama, setiap individu perlu memahami agamanya dan bersedia untuk memberi penjelasan mengenai agamanya kepada khalayak yang memerlukan. Dalam program yang padat itu, tiga soalan sempat dijawab iaitu, “Bagaimana orang Buddha sembahyang?";Bagaimana orang Hindu puasa?"; dan, “Kenapa orang Islam berpuasa dan bagaimana ia dilaksanakan?"

Ketika jawapan diberikan, semua peserta memberikan sepenuh perhatian. Jujur, ikhlas dan teruja untuk mengetahui jawapannya. Dari situ, timbul pula soalan-soalan lain berkaitan. Misalnya, “Dalam sehari, berapa kali orang Buddha sembahyang?"; “Apakah bacaan dalam sembahyang itu"; “Orang Hindu berpuasa dari pukul berapa sampai pukul berapa?" “Kalau orang Islam itu berada di Amerika dan waktu siangnya panjang, maka apakah dia akan berpuasa untuk tempoh yang lama juga?"
 
Jawapan-jawapan yang diberikan telah menjana lebih banyak soalan bertulis lain. Bukan sahaja belia yang beragama Hindu dan Buddha bertanya mengenai Islam, belia Islam juga mengajukan soalan mengenai agama Buddha dan Hindu.

Soalan-soalan yang diajukan pula betul-betul menjurus kepada agama itu, bagi memenuhi rasa ingin tahu yang ada dalam diri si penyoal. Ia tidak bertujuan membandingkan satu agama dengan agama lain; apa lagi meninggikan satu agama dan merendahkan agama lain. “Inilah dialog antara agama yang sebenar…", bisik hati penulis, yang kerap kali menghadiri dialog antara agama dalam dewan-dewan persidangan yang sejuk dan formal, sejak 20 tahun berada di IKIM.

Soalan-soalan yang terhasil dari para belia pelbagai kaum ini juga menunjukkan soalan-soalan ini telah lama berada di minda mereka. Malangnya, mereka tiada platform untuk mengajukannya. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ada peserta Melayu yang mengaku sebelum menghadiri program ini, mereka tidak pernah ada kawan dalam kalangan bukan Melayu.

Hakikat, program ini mengumpulkan golongan belia dari pelbagai bangsa, mungkin sesuatu yang biasa. Begitu juga, tiada kelainannya apabila program ini diisi dengan aktiviti-aktiviti masyarakat kampung seperti mencanting batik, membuat layang-layang dan gogoh. Namun, apa yang luar biasa mengenai program ini adalah ia memberi peluang kepada belia daripada pelbagai kaum untuk hidup bersama, mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat majmuk dan seterusnya merasakan pengalaman dialog antara agama secara santai tetapi sihat.

Maka, tidak hairanlah dalam acara kemuncak di mana setiap kumpulan diminta membentangkan pengalaman mereka sepanjang program ini, kumpulan Bukhari telah memparodikan lagu “Anak Kampung" dengan selingan sebuah sketsa dialog antara agama. Dalam sketsa ini, seorang belia India bertanya mengenai maksud makanan halal kepada kawan Melayunya. Kawan Melayunya itu pula bertanyakan mengenai kenapa penganut Hindu tidak boleh makan daging lembu dan apa pentingnya burung merak kepada penganut Hindu.

Selaku penyelaras, penulis berasa puas kerana inilah yang diharapkan dari program ini iaitu suburnya dialog antara agama dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan belia yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…"

Berkenal-kenalan bukanlah setakat mengenali kaum lain secara peribadi dan sosialnya. Ia pastilah juga merangkumi agamanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...