04 September 2013

Rakyat Mesir Semakin Bosan




Oleh : Herman Hamid

Lambang 'R4bia' atau jari empat memang cukup popular ketika ini dalam kalangan penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi termasuk di Malaysia. Lambang itu merujuk kepada Dataran Rabaah yang bermaksud empat iaitu lokasi tragedi berdarah 14 Ogos lalu di Masjid Rabiatul Adawiyah.

Namun sepanjang lebih seminggu berada di Kaherah, tidak sekali pun penulis dapat melihat rakyatnya memakai baju berlambangkan 'R4bia' mahu pun mana-mana kenderaan yang mempunyai pelekat simbol tersebut kecuali pada hari perhimpunan jalanan yang biasanya berlangsung setiap Jumaat.


Selain daripada hari perhimpunan, lambang jari empat itu nyata sepi daripada pandangan walaupun bandar raya ini dihuni 18 juta penduduk yang pastinya sebahagian daripada mereka pernah mengundi Mursi untuk jawatan Presiden tahun lalu.

Nyata, untuk penentang kerajaan sementara Mesir memakai apa-apa simbol berlambangkan 'R4bia' bukan mudah, tidak semudah penyokong pakatan pembangkang di Malaysia memakai baju pertubuhan haram Bersih suatu masa dahulu. Ia kerana ketika ini Mesir masih di bawah perintah darurat yang mula dilaksanakan selepas insiden berdarah 14 Ogos lalu di Dataran Rabaah dan Nahdah.

Dalam tempoh ini, kira-kira 2,000 dilaporkan ditahan pihak berkuasa Mesir atas alasan memerangi keganasan, suatu usaha yang dilihat bagi memberi tekanan kepada kumpulan penyokong Mursi.

Sebab itu, pemerhati melihat gerakan kumpulan penyokong Mursi mulai lemah dan protes duduk di beberapa masjid di bandar raya ini telah dapat ditamatkan pihak berkuasa selepas dua kem penyokong bekas Presiden di Rabaah dan Nahdah di gempur biar pun natijahnya, tragedi itu mengorbankan banyak nyawa dengan dianggarkan kira-kira 1,000 maut.

Namun hasilnya kepada pemerintah sementara yang disokong tentera, tiada lagi khemah penyokong Mursi di Kaherah. Sebagai alternatif, penyokong Mursi kini melakukan protes jalanan khususnya setiap hari Jumaat. Bila ditanya kepada peserta perhimpunan sampai bila mereka akan berbuat demikian, ramai yang mengatakan hanya Allah yang tahu.

Untuk melihat Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden seperti dituntut kumpulan penyokong beliau, perkara itu memang mustahil. Ibarat anjing menyalak bukit.

Sebab itu, bagi sebahagian penduduk yang ditemui, harapan mereka adalah untuk melihat keadaan di Mesir kembali aman setelah hampir dua bulan berada dalam keadaan tidak menentu biar pun mempunyai pandangan politik tersendiri.

Tidak sukar untuk memahami keluhan mereka, sebagai contoh dengan perintah berkurung pada waktu malam, banyak aktiviti terganggu dan perniagaan terjejas apatah lagi masyarakat Arab dikenali dengan kehidupan mereka yang aktif pada waktu malam.

Kafe-kafe yang menjadi lokasi tumpuan penduduk Kaherah minum kopi sambil menghisap shisha yang biasanya beroperasi sehingga awal pagi terpaksa ditutup awal. Peniaga rugi besar.

Namun pihak berkuasa mempunyai sebab tersendiri menguatkuasakan perintah berkurung walaupun ada melihatnya sebagai usaha membolehkan penyebaran propaganda melalui televisyen berlaku lebih berkesan ketika rakyat tiada pilihan kecuali berkurung di rumah.

Yang pastinya, keadaan di Mesir ketika ini bukan sesuatu yang diinginkan untuk berlarutan apatah lagi negara yang mempunyai ribuan tarikan bersejarah ini banyak bergantung kepada aktiviti pelancongan.

Ketika ini pelancong menjauhkan diri walaupun Mesir mempunyai salah satu benda ajaib di dunia - piramid. Pengusaha pelancongan mengeluh, dua bulan perniagaan mereka terjejas teruk.

Maka, rakyat Mesir umumnya berhak berasa bosan dengan apa yang berlaku. Namun semua natijah ini berlaku atas pilihan sebahagian daripada mereka juga apabila seorang Presiden yang dipilih menerusi demokrasi digulingkan.

Tarikh 30 Jun bermula demonstrasi besar-besaran menentang Mursi. Penentangnya mahu beliau berundur kerana perubahan yang diharapkan selepas jatuhnya rejim Hosni Mubarak tidak berlaku seperti mana diingini.

Bagi mereka, keadaan ekonomi semakin merosot, taraf hidup tidak banyak berubah. Masalah rakyat banyak yang tidak diselesaikan. Lebih daripada itu, Mursi yang berorientasikan Islam dan Ikhwanul Muslimin dikaitkan dengan keganasan.

Pelbagai alasan lain juga diberikan penyokong kerajaan sementara ketika ditemui penulis termasuk tidak kurang yang melabel Mursi sebagai tidak mempunyai kewibawaan untuk memimpin negara. Kepada mereka, Dr. Mursi hanya layak sebagai pensyarah universiti. Bagi kumpulan ini yang sinonim dengan Dataran Tahrir, Panglima Tentera Mesir, Abdul Fatah al-Sissi dijulang kerana pengaruh tentera, Mursi dapat disingkirkan.

Jelas sekali begitu besar peranan pasukan keselamatan kepada negara yang pernah menyaksikan beberapa bekas Presiden mereka berlatar belakang tentera berbanding untuk menghormati kehendak demokrasi yang baru sahaja diputuskan tahun lalu.

Apa pun alasan, kesabaran mereka cukup singkat untuk Mursi walaupun sebelum ini mampu bersabar untuk tempoh 30 tahun dengan seorang lagi bekas Presiden iaitu Hosni Mubarak yang hanya digulingkan pada awal 2011.

Ketika kemuncak Arab Spring di Mesir waktu itu, mereka tanpa mengira fahaman, baik sekular, sosialis, liberal mahu pun pro-Islam, semuanya dapat bersatu untuk menjatuhkan Mubarak tetapi malangnya tidak dapat bersama bagi perkara yang jauh lebih penting, mentadbir negara.

Akhirnya selepas dua tahun setengah, negara yang dianggap lama tidak merasai demokrasi sebenar memilih sekali lagi cara jalanan bagi menumbangkan seorang Presiden. Sebab itu, bagi sebahagian penyokong Mursi mereka tetap bertekad untuk tidak berundur dan berserah kepada Allah kerana percaya perjuangan mereka adalah atas nama kebenaran.

Biar pun Masjid Rabiatul Adawiyah rancak dibaik pulih manakala banyak tembok serta dinding di sekitar bandar raya ini yang sebelum ini dipenuhi contengan tulisan luahan pro-Mursi mula dipadam, namun kemarahan penyokong tegar beliau tidak boleh diredakan dengan semudah itu.

Bagi penentang Mursi pula yang rata-ratanya golongan sekular dan liberal dengan sebahagiannya masih melihat jambang dan janggut sebagai simbol penyokong Mursi, mereka juga kukuh dengan alasan sendiri.

Malah mereka percaya demonstrasi besar-besaran menjatuhkan Mursi selama empat hari bermula 30 Jun itu juga perlambangan suara rakyat. Namun di sebalik konflik berdarah terburuk di negara ini terdapat kumpulan kecil yang turut berdemonstrasi menggesa dana asing disekat di samping yang lebih utama, mereka mahu pertumpahan darah oleh kedua-dua belah pihak dihentikan seperti disuarakan Khaled Wael, 23, serta rakan-rakannya di Hayyu Sabeik, Nasr City Rabu lalu.

Mesej pada baju T yang dipakai mereka mudah, 'Haram menumpahkan darah sesama umat Islam' - pesanan yang cukup tepat bukan sahaja dalam konteks Mesir tetapi kepada seluruh dunia Islam. Biar pun demikian, jika mahu melihat pergolakan politik Mesir berakhir dalam waktu terdekat, perkara itu bukan mudah. Ibarat menanti bulan jatuh ke riba.

Malah protes jalanan minggu ini tidak seperti mana minggu lalu apabila menyaksikan ada nyawa yang terkorban sekali gus memungkinkan tempoh darurat dilanjutkan biar pun penyatuan nasional sedang giat digerakkan. Maka, segalanya mungkin selepas ini tambahan pula bumi Mesir pernah menyaksikan kewujudan Musa a.s dan Firaun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...