03 September 2013

Bersedia Laksanakan PPPM




Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, tokoh pendidik ini berseloroh kelmarin apabila ditanya akan usianya. Katanya, beliau lebih suka umurnya disebutkan terbalik, 67 daripada 76 tahun. Sambil tertawa kecil, beliau yang ditanya wartawan apa yang akan difikir dan direnungkan saat ini sebaik sahaja Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan mengeluarkan satu resolusi memperingatkan kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu, kata orang lama ini:

"Saya tidak persoalkan dasar itu dan cuma kita perlu sesuaikan dengan keadaan. Mesti ada penilaian dari waktu ke waktu serta suatu pembetulan dilakukan. Kalau ada satu perancangan seperti mana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kita mesti pastikan ia mencapai matlamat dan ini bergantung kepada kemampuan kita melaksanakannya. Dan akhir sekali, jentera yang melaksanakannya mestilah bersedia," kata beliau.

Ikuti luahan hati Abdul Rahman dalam perbualan selama 15 minit dengan penulis menerusi telefon kelmarin.

1. Soal perpaduan

"Inilah yang saya risau sangat selepas selesai PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13) yang akibatnya apa yang ternampak begitu nyata. Iaitu pertama, soal perpaduan negara masih tidak ada. Kedua, (sentimen) perkauman masih tebal. Kita sudah merdeka 56 tahun yang bertujuan untuk membentuk satu pasukan (bangsa Malaysia), namun sampai sekarang soal perpaduan tidak ada. Ada, tapi tak nampak.
Kenapa? Barangkali sistem pendidikan kita yang menghala kepada dua sistem yang saya tidak tahu adakah negara lain mempunyai konsep yang sama. Bahasa pengantar kita bahasa Melayu dan satu lagi bahasa Cina dan Tamil walaupun di sekolah rendah.

Sekarang, ada pula sekolah swasta Cina lagi. Kalau seseorang murid itu dari sekolah rendah, dia akan memasuki pula sekolah menengah Cina. Bila masanya akan ada perpaduan kalau tidak ada titik pertemuan.

Dong Zong (Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) pula mahukan guru-guru yang mengajar bahasa Melayu ke sekolah Cina mesti lulus bahasa Mandarin. Apa kaitan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu?

Justeru, dalam hal ini, Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan yang berlangsung kelmarin bersetuju untuk memperbetulkan keadaan ini iaitu pasukan untuk pendidikan ini perlu teruskan pencapaian tiga matlamat."

2. Matlamat

"Tiga matlamat itu adalah yang pertama, sistem pendidikan perlu dibentuk untuk melahirkan perpaduan. Malaysia didiami masyarakat majmuk. Kalau dibiarkan soal ini dengan mengikut cara sendiri atau masing- masing, perpaduan tidak akan tercapai.

Kalau ada perpaduan pula, oleh kerana kita di Malaysia, kita perlu junjung hasrat negara yang perlu ada sikap keMalaysiaan. Rancangan-rancangan berteraskan kaum perlu ada supaya jangan ada anasir-anasir yang 'pecah' iaitu anggap segala-galanya berlandaskan nasionalisme. Di Malaysia ini, perlu ada sifat kebangsaan, sejarahnya panjang dan perlu ada penilaian kesetiaan.

Dan kalau ada perpaduan dan jika ada kewarganegaraan, itu pun masih belum lengkap. Pendidikan harus mencipta kemajuan untuk negara. Dari segi pendidikan, ia harus bertitik untuk kemajuan akan datang. Yang belum maju dimajukan. Ini bererti sekolah-sekolah luar bandar perlu dibantu untuk maju. Segala pendidikan perlu berteraskan aspek-aspek ini kalau tidak nanti akan bercanggah."

3. Jangan benarkan ia...

"Kalau kita bercakap soal mahukan perpaduan, maka apa yang dituntut oleh Dong Zong inilah yang boleh mengundang perpecahan. Orang ini akan minta kalau sesuatu itu bercanggah (dengan semua). Sepatutnya jangan dibenarkan tuntutan-tuntutan sebegini. Kalau dilayan, memanglah salah kita.

Cuma, ia boleh dibenarkan asalkan memenuhi tiga syarat tadi. Kalau ini tidak ada sifat kewarganegaraan dan kebangsaan, jika dibenarkan, tak tahulah. Kalau ada perpaduan tapi tak ada kemajuan, salah juga. Kalau tidak ada keMalaysiaan, tak boleh juga. Perlu ini semua digabungkan.

4. Nak buat macam mana, masa berubah...

"Ya, saya setuju bahawa keadaan berubah dari semasa ke semasa. Dulu kita kekurangan, sekarang negara bertambah maju dan orang-orang ini ambil kesempatan nak itu ini. Bagi saya, dengan keadaan berubah ini menyebabkan kerajaan berasa kajian yang berlaku dulu harus diperbaiki supaya negara bertambah maju. Apa bentuknya masyarakat untuk masa hadapan?

Kalau itu bentuknya, maka kita harus aturkan pendidikan ke arah itu. Misalnya, perlu belajar dua bahasa sedangkan dulu tidak ada keperluan ini. Sebabnya sekarang kita masuk dunia sejagat - dunia tanpa sempadan. Dulu kita cuma belajar, kini perlu juga mencipta. Kalau kita dulu lain, sekarang lagi lain untuk memenuhi kehendak masa depan.

Jadi, dalam hal ini saya hendakkan satu ketegasan daripada pihak kerajaan. Bimbang, semua akan bimbang. Kalau tidak ada ketegasan lagilah kita bimbang dalam mencipta yang baik untuk negara. Jangan dialunkan oleh permintaan yang tidak sesuai dengan masa depan negara.

Ini, politik, politiklah juga tapi perlu berlandaskan kepada sifat kenegaraan. Politik perlu sama dengan harapan kenegaraan. Politik ke arah salah jangan kita ikut. Justeru, Kongres mesti ambil kesempatan ini kerana keadaan akan berubah dari waktu ke waktu. Perlu sesuaikan dengan keadaan pendidikan hari ini kerana kita cukup takut kalau tersalah arah. Kalau penilaiannya di pertengahan jalan, kalau terserong, kita masih boleh perbetulkan balik.

5. Masalah besar kalau...

“Orang yang fikirkan pelaksanaan dasar ini mesti pastikan ia selari dengan orang yang akan melaksanakannya. Fikiran mesti selari. Kalau orang bawah tak tahu, hanya orang atas sahaja yang faham, pasti pelaksanaan dan matlamatnya tidak akan sampai. Ini masalah besar. Kita ada hampir 500,000 guru. Ini bilangan yang cukup besar. Mesti ada gerakan untuk menyediakan mereka faham dasar ini dan boleh melaksanakannya.

Ini kita kena fikir baik-baik bagi mengelak akhirnya matlamat tak sampai. Kita mesti ingat! keadaan cukup berbeza dari sekolah ke sekolah. Keadaan yang melingkungi orang (murid dan guru) di Kuala Lumpur berbeza dengan mereka di pedalaman dan luar bandar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...